|KUMPULAN BLOG MFR
|RANGKAIAN MFR
|MISI MFR
|KOLEKSI TULISAN TOKOH

Filem ini bertajuk "Pay It Forward". Bolehlah baca sinopsis yang dihurai dengan baik oleh hamka kereta mayat:

http://keretamayat.blogspot.com/2008/02/pay-it-forward.html

http://keretamayat.blogspot.com/2008/02/pay-it-forward-part-ii.html

atau jika anda tak suka membaca, bolehlah lihat rakaman sinopsis yang ditapis dan disusun semula oleh saya di youtube:

http://www.youtube.com/view_play_list?p=376AD9FD7453016F

cerita ini ada idea yang besar, cuma jalan ceritanya meleret pada bahagian usaha si anak untuk menjodohkan ibu nya dengan cikgunya itu saya tak suka (jadi saya potong hampir 70 minit isi filem ini). Dan di akhir cerita ini, saya fahamlah bahawa cerita ini berkonsepkan dakyah kristian dalam mengembalikan umat kristian terutama penduduk amerika untuk kembali menghargai nilai kemanusiaan demi keamanan dunia.

Tapi bukan fokus pada konsep "pay it forward" yang ingin saya tekankan. Kerana idea "pay it forward" itu juga falsafahnya di terjemah oleh Ustaz Hasrizal dengan cogankatanya "Erti hidup pada memberi" di saifulislam.com . Konsep "pay it forward" itu juga dipegang utuh oleh jamaah tabligh dalam menyebarkan seruan untuk manusia kembali muhasabah akan iman dan memperbanyakkan mendengar kebesaran Allah sebagai amal jariah mereka.

Hari ini, jamaah tabligh tersebar luas bergerak hampir di seluruh dunia. Mereka menyampaikan (tabligh @ memberi dakwah) dan kemudian mengajak yang mendengarnya sambung menyampai dan menyebarkan. Sebenarnya inilah rahsia bagaimana Islam mampu tersebar luas dengan pantas. Kerana usaha menyampaikan sejak dari zaman Rasulullah tak pernah putus.

Dan inilah rahsia tradisi adab menuntut ilmu yang dipertahankan oleh para ulama ahlussunnah yang mengutamakan menuntut ilmu biarlah berguru iaitu dengan jalan talaqqi. Dengan jalan talaqqi maka ilmu diturunkan secara bersanad bukan saja isi ilmu itu malah keberkatannya dengan menurunkan keazaman para penuntut ilmu agama untuk menyambung ajaran Rasulullah termasuk dengan teladan akhlak yang cantik dan indah. Sunnah baginda bukan sekadar sabda baginda, malah patuhlah suri tauladan baginda seluruhnya termasuk penyempurnaan akhlak.

Saya bukanlah orang tabligh walaupun bersedia menyumbang dan menolong usaha jamaah tabligh bila-bila masa yang mampu. Saya juga bukan penuntut ilmu agama malah saya tak pernah bersekolah agama walaupun saya ada impian untuk bertalaqqi dengan ulama. Jika kebiasaan di Selangor, kanak-kanak sekolah rendah akan mengikuti dua sesi sekolah iaitu sekolah kebangsaan dan sekolah agama. Sebelum saya berhijrah ke selangor, di perak kelas fardu ain diadakan atas usaha ustaz ustazah yang meminjam bangunan sekolah kebangsaan pada sesi petang. Saya tak mengikuti sekolah agama selepas berhijrah ke selangor kerana ayah kesuntukan wang.

Apa yang ingin saya sampaikan di sini adalah mengenai IDEA. Betapa sebenarnya seawal usia kanak-kanak sudah punya IDEA. Ini bukan cerita tipu. Ini bukan fantasi. Ia berlaku dalam hidup saya dan rakan-rakan saya. Ia berlaku dalam hidup ramai di antara ayah-ayah kita. Malahan ia telah berlaku di zaman datuk-datuk kita malah lebih awal dan awal dan awal dalam sepanjang sejarah zaman tamadun manusia. Kita tentu pernah dengar kisah kanak-kanak boleh berkata-kata sejak kecil termasuk Nabi Isa a.s. Kita juga tahu betapa Nabi Muhammad s.a.w sejak kecil telah dikenali sebagai al-amin. Kita pernah dengar lagenda Hang Nadim dalam kisah orang melayu. Hari ini kita ada Adiputra yang hebat matematik.

Mungkin masyarakat kita tak sedar, walaupun kanak-kanak bukanlah semuanya genius seperti Adiputra atau seperti sebuah kisah seorang kanak-kanak ajaib di Malaysia yang pada mulanya punya IQ tinggi tapi akhirnya membesar dan bekerja menjual berger dan kemudian berakhir kisahnya di penjara kerana mengedar dadah, namun hakikatnya semua kanak-kanak ada IDEA!

Ibubapa dan masyarakat kita tak memahami, atas sebab fitrah kanak-kanak yang tak matang suka bermain seperti saidina Hassan dan Hussain juga bermain ketika Rasulullah s.a.w sedang bersolat, namun bukanlah satu alasan untuk kita latih kanak-kanak kita menjadi bertambah tak matang dengan suka menipu pada mereka dengan cerita hantu, memanjakan mereka dengan fantasi yang bodoh dari kartun yang bodoh, atau membiarkan ketidakmatangan mereka berleluasa atas alasan mereka masih kanak-kanak.

Bukan pula mesti kita berkeras dengan mereka dengan sistem disiplin yang ditetapkan kita hingga buat mereka menjadi pasif. Akan tetapi ketahuilah dan sedarlah bahawa kanak-kanak menyimpan IDEA paling suci dan ikhlas dari akal yang segar untuk kita gali, asah, dan suburkan biar ia bercambah untuk lahirnya perwira-perwira bagi membela umat di masa hadapan kelak bila mereka dewasa.

Kita boleh tetapkan disiplin dan aturan, khususnya seperti ibadah yang ditetapkan oleh syarak. Dan menerangkan pada kanak-kanak.Namun jangan berhenti setakat itu dan kemudian harapkan kanak-kanak terus mengamalkannya tanpa tahu apa IDEA respon dari kanak-kanak itu terhadap penerangan kita. Mungkin susunan aturan syarak memang tak patut disoal, seperti kenapa Allah memerintahkan kita supaya menyuruh anak-anak solat, dan jika tak solat boleh memukul mereka dengan kadarnya, namun kita wajib tahu adakah penerangan kita sudah dapat beri IDEA pada mereka, atau dengan erti kata lain buat mereka FAHAM? Malah kadangkala apabila kita mendapatkan IDEA respon mereka, kita boleh menguji diri kita, adakah benar-benar kita FAHAM dengan apa yang kita terangkan pada mereka?

Kita mesti sedar bahawa anak-anak punya pertumbuhan IDEA yang tak patut dicantas dengan timbulkan suasana TAKUT pada mereka untuk suburkan IDEA dengan latihan FIKIR, malah tak patut juga IDEA mereka rosak dengan kita semai baja tahi ayam dari fantasi karut hingga buat mereka LALAI, atau kita tanamkan semata-mata IDEA kita untuk mereka jadi PAK TURUT semata-mata.

Di sinilah asas untuk kita memahami BENTUK PENDIDIKAN YANG BUKAN BERORIENTASIKAN PEPERIKSAAN dengan kita sedar-sedarkan diri kita semua sebagai ahli masyarakat bahawa setiap anak-anak kecil itu PUNYA IDEA BERNAS yang boleh kalahkan PAK LAH dan ANWAR IBRAHIM sekalipun!

Asas kenapa kanak-kanak boleh berfikir IDEA BERNAS untuk ketamadunan manusia kembali pada jalan yang diredhai Allah, jalan Islam, kembali pada fitrah (aidil fitri), adalah kerana kanak-kanaklah generasi manusia yang paling dekat dengan sifat FITRAH manusia atas kerana mereka belum dicemari dosa, penyakit hati, dan hawa nafsu. Benar, IDEA mereka belum cukup kuat kerana IDEA perlukan PENGALAMAN. Sebab itu dalam apa juga perkara ORANG TUA sering punya TANGGUNGJAWAB yang berat dalam menangani isu UMAT.

Namun!

Di sinilah kita jumpa kunci untuk bina PENDIDIKAN abad baru yang menghargai IDEA dan BAKAT kanak-kanak untuk disubur menjadi pejuang umat adalah PENDIDIKAN yang menggalakkan FIKIR untuk BERPENGALAMAN. Bukan konsep MENGHAFAL,LATIHAN dan JAWAB SOALAN PERIKSA yang kita agungkan pada masa kini.

Ketahuilah imam syafie memang kuat menghafal, tapi imam syafie berjalan merata mencari guru dan menyebar ilmu di usia muda hingga timbul FIKIR padanya untuk menilai PENGALAMANnya sepanjang perjalanannya itu. Ketahuilah bahawa Imam al ghazali berjalan untuk memberi ruang padanya untuk FIKIR dan kutip PENGALAMAN dari usaha BERFIKIR itu.

Oleh itu sistem sekolah kita perlu diubah untuk menjayakan PENDIDIKAN yang menjayakan FIKIR dan PENGALAMAN ini dengan cara:

1) tetapkan guru-guru dalam pengkhususan bidang mereka pada satu sekolah satu bidang sejak sekolah rendah lagi.

2) anak-anak perlu didedahkan kemahiran dan ilmu yang patut mereka pelajari dengan cara mereka harus belajar merancang dan melakukan kajian dengan mengkehendaki mereka bepergian dari satu sekolah ke satu sekolah untuk meninjau ilmu apakah yang menarik berdasarkan kecenderungan dan bakat mereka.

3) Guru-guru dan pihak sekolah mestilah bertungkus lumus menonjolkan keupayaan aplikasi ilmu pengkhususan mereka itu. sebagai contoh, apakah aplikasi ilmu bahasa yang boleh menyumbang pada ketamadunan manusia (penghasilan karya-karya sastera yang membangunkan minda manusia), atau apakah aplikasi ilmu sains yang boleh menyumbang pada ketamadunan manusia (penghasilan teknologi, inovasi dan rekacipta, dan kajian alam).

Dengan kaedah ini, tiada peperiksaan lagi di sekolah. Sekolah bukan lagi tempat yang menakutkan. Tetapi merupakan majlis ilmu yang digambarkan sebagai taman-taman syurga. Apa tidaknya, sistem pendidikan sebegini mengkehendaki murid mencari guru, kerana mereka berminat dengan ilmu yang ada pada guru itu, mereka dahagakannya untuk menyubur IDEA dan BAKAT yang ada dalam diri mereka supaya bercambah. Di sinilah keupayaan guru untuk menanamkan jatidiri dan sahsiah peribadi dengan menerapkan MATLAMAT yang ingin dicapai dalam setiap ilmu berhasil sampai lalu tertanam dalam diri setiap murid.

Jangan bimbang. Allah s.w.t menjadikan manusia itu berbeza-beza kecenderungan dan bakat mereka sejak lahir lagi walaupun rambut mereka sama hitam , hati dan jiwa mereka punya citarasa lain-lain. Jangan takut dan berkata, jika murid perlu cari guru, maka semua kanak-kanak akan berkumpul di sekolah yang khusus pada ilmu lukisan saja (sebab kanak-kanak sukakan lukisan). Salah! Kanak-kanak sebenarnya bukan ada satu saja kecenderungan, malah sesetengah mereka ada berpuluh kecenderungan dalam masa yang sama! Di sinilah sebab mengapa cendikiawan Islam dulu boleh menguasai pelbagai bidang dalam masa yang sama. Namun, pastinya sebelum melepaskan kanak-kanak itu ke sekolah, Ibu Bapa perlulah mencorakkan kain putih mereka untuk jadi umat Islam dengan mula ajar anak mereka KENAL ALLAH.
http://www.youtube.com/watch?v=3EQGdjoTFTk

Tajuk entri blog ini sangat hampir dengan tulisan ustaz hasrizal di web nya : http://saifulislam.com/?p=1359
itu tidak bererti saya perlu mengulas mahupun kopi & pasta idea ustaz Hasrizal semata-mata. Kenapa perlu begitu sedangkan arena perbincangan dan diskusi mengenai pilihanraya dan kemusykilan yang lebih penting dan mustahak terbentang luas dari 4 kemusykilan dan muhasabah di laman saifulislam itu. Mari saya tunjukkan contoh komen pengunjung saifulislam yang menjadi musykil sesudah membaca kemusykilan ustaz hasrizal terhadap orang muda:

Kak mas:

Confuse, confuse, kepada orang biasa2 cam kak ni yang tak belajar kat Jordan, Mesir ke, UM ke, UKM ke dll. Termasuk orang kampung2, pekerja2 kilang dll yg akedemik tak tinggi. Pengetahuan agama la ni pun kami dapat dari kelas2 di surau, masjid, tV, ceramah & sikit2 baca buku. Jgn la kutuk kami. Sebaliknya kesihankan kami. Dlm negara kita ni, ada pati pemerintah dan pembangkang. Meneliti dari tulisan ustaz, pemimpin dari pati pemerintah ada yang OK & tak OK, & ada juga dari pembangkang yang OK & tak OK.

Tapi bila mengundi kena pilih salah satu saja. Kalau kami pilih drp ke2 parti nanti rosak undi pula, Kalau tak mengundi lansung nanti termasuk golongan pertama.

Cuba ustaz & pembaca2 yang bijak bistari beri panduan kat kak ni secara terus terang, bole kak sampaikan pada yang masih confuse:
Contoh: antara PAS & UMNO nak undi mana, DAP & MCA undi mana, PKR & MIC nak undi mana, dan sebagainya. Seperkara lagi, nak pilih atas nama parti ke atau pilih wakil (tak kira parti apa?). Kerana kadang2 kita berkenan kat wakilnya, tapi parti kita kurang berkenan dan sebaliknya.

Kasihan atau tidak? Majoriti pengundi berdaftar pilihanraya bukan orang muda (merujuk yang pertama kali mengundi) akan tetapi adalah pengundi dewasa yang berkerjaya dan awam kebanyakan. Merekalah lebih punya kemusykilan yang patut diselesaikan dan direnung oleh pendokong-pendokong mana-mana parti politik. Asas utama mengapa timbulnya pengundi awam dari umat islam yang jadi musykil lalu keliru ini adalah telah saya jelaskan kecelaruannya dalam entri sebelum ini: PERLU ADA PARTI ISLAM YANG BENAR-BENAR ISLAM.

Sudah ghaib parti yang istiqamah dan jelas jalan tujunya untuk memberi kepastian umat Islam bahawa mereka adalah golongan terbaik untuk mengangkat daulah Islam di bumi Malaysia. Mungkin dulu kita boleh mempertembungkan UMNO-PAS sebagai perbandingan perjuangan mengangkat daulah. Ketika Anwar berada dalam umno dalam kepimpinan Tun mahathir, bertembung dengan kepimpinan Tuan guru Nik Aziz dan Allahyarham Ust Fadzil Noor adalah berkisar mengenai Islamisasi umno berlawan dengan Daulah berhudud pas.

Islamisasi UMNO ketika itu lemah dan samar kerana perjuangan meletak asas islamisasi seperti bank islam dan universiti islam itu beriringan dengan perletakan asas sekular dan liberal yang tersebar dalam masyarakat dengan berdirinya disko-disko halal beroperasi mahupun maksiat yang diiktiraf di kalangan artis untuk jadi idola anak muda. Maka kita lihat istiqamahnya Daulah Islam berhudud yang dibawa Pas itu lebih tegas, namun kecacatannya terpalit apabila hudud itu gagal diberi imej indah dan mesra.

Memanglah pemimpin Pas salahkan Umno dan media kerana merekalah yang memburuk-burukkan imej hudud dengan kata-kata seperti "hudud itu adalah potong tangan". Padahal hudud itu adalah batas untuk harmoni. Namun bukan budaya pendakwah untuk terus menyalahkan musuh bila imej dakwah terpalit atau gagal. Iktibar seperti Rasulullah s.a.w dibaling batu oleh penduduk Thoif adalah iktibar yang sangat signifikan direnung berulang kali apabila dilihat Rasulullah s.a.w tidak menadah tangan mengadu pada Allah akan kejahatan penduduk thoif terhadap baginda, akan tetapi menadah tangan mohon Allah bantu lancarkan lagi dakwah, perkuatkan lagi diri baginda untuk terus istiqamah berdakwah. Rujuk: http://www.youtube.com/watch?v=iqdPTWMu_Zk

Tapi adalah suatu yang dikesali, apabila para pemimpin PAS baru yang naik selepas pemergian Ustaz Fadzil Noor , menadah tangan lalu berdoa, akhirnya mengambil jalan untuk tidak bertegas dengan jalan yang telah terbina sebelumnya. Kita lihat masalah Daulah Islam berhudud PAS itu dilihat gagal apabila tidak ada imej baik dan mesra, akibat usaha memburuk-burukkannya dari pihak BN. Oleh itu, untuk membaikinya adalah dengan memperkemaskan promosi imej yang memang ditekankan oleh dakwah Islam dalam setiap syiar Islam. Membina masjid dengan ukiran yang indah, memakai pakaian yang baik-baik ketika berjemaah di masjid, atau berzuhud dengan pakaian ihram yang putih ketika haji di mekah, semua itu bukan saja persembahan pada Allah, malah juga persembahan pada orang bukan Islam untuk melihat dan menghayati imej umat Islam lalu terbina keinginan untuk ambil tahu tentang Islam.

Begitulah strategi memperkemaskan imej Daulah Islam berhudud, perlulah mengambilkira budaya berceramah yang lebih sayu dan insaf. Mengajak dengan lembut dengan bermanis muka akan Daulah islam berhudud ketika kempen sebagai penghayatan kepada firman Allah:
Serulah manusia kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalanNya dan Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk.(al-Nahl, ayat 125).

Maka disebabkan rahmat dari Allah-lah kamu berlaku lemah-lembut terhadap mereka. Sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekelilingmu. Karena itu ma`afkanlah mereka, mohonkanlah ampun bagi mereka, dan bermusyawaratlah dengan mereka dalam urusan itu. Kemudian apabila kamu telah membulatkan tekad, maka bertawakkallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertawakkal kepada-Nya,” (Ali ‘Imran : 159).

Ibnu Katsir mengutip perkataan Ibnu Umar ra dalam kitab “Tafsir Ibnu Katsir”,beliau berkata, “Aku menjumpai sifat Rasulullah dalam kitab-kitab terdahulu bahwa beliau tidak berkata kasar, kotor, dan tidak pula berteriak-teriak di pasar, dan tidak membalas perbuatan jelek dengan kejelekan tetapi beliau sangat pemaaf.

Oleh itu misi memperkemaskan misi imej matlamat Daulah Islam berhudud adalah pembaikan akhlak para penceramah dan pendokong PAS dalam berkempen. Ini bukan suatu yang baru atau susah, kerana PAS mempunyai sistem usrah dan tamrin, perkaderan pemuda pemudi PAS berbeza dengan UMNO yang tidak punya sistem tarbiyah parti melainkan kursus kelolaan biro tatanegara. UMNO sukar untuk memperkemaskan matlamat islamisasi Malaysia kerana pertubuhan itu menghimpun para strategis politikus yang lebih ramai , yang berupaya tikam menikam sepak terajang politik (politiking) secara halus, konpirasi, sulit hingga buat ahli mereka habiskan masa dengan strategi-strategi survival karier politik sahaja.

Itu sebab Islam Hadhari yang dicetus Paklah walaupun dibantu kekuatannya oleh YADIM dan JAKIM dengan tokoh-tokoh pejuang Islami yang kecewa dengan PAS kerana tiada hijrah pembaikan imej seperti Ustaz Nakhaie, Dr Sidek Baba, atau tokoh bebas seperti Ustaz Uthman el Muhammady atau Dr Syed Ali Tawfik al attas (anak Syed Naquib yang menentang sekularisme), masih belum mampu menjadi agenda besar penghayatan seluruh isi UMNO.

Malangnya kalau dulu zaman Islamisasi lawan Daulah Islam Berhudud, kini seakan perjalanan politik Islam undur ke belakang semula dengan Islam Hadhari lawan Malaysia Baru. Islam Hadhari itu mungkin tiada beza besar dengan masalah Islamisasi dulu kerana usahanya masih nampak sama, dengan banyaknya usaha perkampungan hadhari beriringan dengan banyaknya karnival maksiat dan konsert. Namun apa kejadah Malaysia Baru perlu menggantikan Daulah Islam berhudud?

Malaysia Baru tajaan PKR pimpinan Anwar yang dulunya menggerakkan Islamisasi UMNO, kini diakui malah diiktiraf oleh DAP sebagai dekat dengan matlamat parti mereka untuk membina Malaysian Malaysia, Malaysia sekular, demokratik dan liberal mirip Singapura. Malah, bukan saja PAS bersegan-segan untuk angkat Daulah Islam berhudud dengan hanya menyebut Negara Kebajikan dengan mendiamkan hudud, malah tidak membantah bila Anwar sebagai sekutu dalam BA menolak mentah-mentah "Daulah Islam". Berakhlak dan berimej baik itu suatu yang baik dalam pembaikan imej, tetapi kendur, diam dan tidak bertegas dengan matlamat itu adalah meruntuhkan terus imej istiqamah dan keseriusan berjuang.

lihat cadangan (Angkatan Mahasiswa Melayu Nasional) AMMN mewakili mahasiswa melayu nasional ini:

Formula yang kedua, BA yang kini hanya terdiri daripada PAS dan PKR, mungkin perlu bertolakansur dimana hanya satu lambang daripada dua parti ini sahaja akan digunakan untuk mewakili BA dalam pilihanraya akan datang atau dengan kata lain, salahsatu parti perlu berkorban lambang untuk sementara waktu semata-mata dalam pilihanraya akan datang. Berikutan sifat PKR yang agak "Malaysia". Saya mencadangkan lambang PKR digunakan untuk mewakili BA. Ini bermakna semua calon BA sama ada daripada PAS, PKR mahupun proksi-proksi BA yang gagal mendapat kelulusan penubuhannya oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS), iaitu Parti Sosialis Malaysia (PSM), Parti Reformasi Insan Malaysia (PRIM) perlu menggunakan lambang PKR dalam pilihanraya akan datang bagi membuktikan kesatuan dan perpaduan dalam BA itu sendiri.

Ini masalah tidak yakin bahawa mempromosi Islam itu suatu yang indah, lazat malah matlamat sebenar perjuangan. Rasulullah s.a.w semasa menandatangani gencatan senjata dengan musyrikin Mekah dalam Perjanjian Hudaibiyah memang bertolak ansur menggugurkan gelaran "Rasulullah" yang dibantah oleh Saidina Umar kemudiannya memahami bahawa bertolak-ansur perlu demi damai. Damai itu merujuk pada berpeluangnya umat Islam menambahgandakan lagi usaha ibadah dan dakwah. Sirah ini bukan merujuk pengguguran matlamat demi damai, yang cuba dihalalkan oleh sesetengah pejuang PAS pada saya berkenaan relanya PAS membisu bila sekutunya menolak Daulah islam mentah-mentah.

Gencatan senjata itu sehingga 10 tahun, namun dalam 10 tahun itulah Rasulullah dan para sahabat menggandakan dakwah. Dakwah ertinya mempromosi Islam. Jika dulu ramai pejuang PAS berulangkali menegaskan usaha berpolitik mereka suatu dakwah kerana mereka mempromosi apa yang Islam boleh sumbang termasuk dalam bidang jenayah dengan hudud, hari ini bila mereka membiarkan pakatan mereka membuatkan mereka bisu dan tunduk bolehlah ertinya menghentikan dakwah untuk tersebar. Jika PKR berasa bangga menolak tuntutan Daulah Islam, bermakna bangga juga promosi ke atas apa yang Islam boleh sumbang yang diperjuangkan dalam Daulah Islam berhudud PAs dulu dihentikan. Bangga hudud tak dipromosikan. Ini seperti gencatan dakwah bertentangan dengan sirah dalam perjanjian Hudaibiyah dan apa yang Rasulullah tunjukkan tauladan dengannya.

Sebenarnya bertegas dengan prinsip dan matlamat Islam adalah intipati kejayaan gerakan Islam dulu termasuk Ikhwanul Muslimin di Mesir dan Hamas di Palestin.

Bila cadangan AMMN seperti di atas terpacul mewakili mahasiswa melayu nasional, bermakna ada kemusykilan yang lebih teruk dan bahaya melanda pejuang muda iaitu tidak yakin Islam itu indah dan wajar menjadi teras dan peneraju. Mereka bukan golongan pertama kemusykilan Ustaz Hasrizal sebagai golongan muda tidakpedulisme, bukan golongan kedua yang ghairah mengharamkan demokrasi dan pilihanraya , bukan golongan ketiga kaum muda salafi yang menyeru taat setia pada pemerintah dan pembangkang sebagai khawarij, malah bukan juga kemusykilan ke empat sebagai golongan yang memaafkan kesilapan dan kesalahan , akan tetapi adalah kemusykilan yang lebih berat iaitu mereka yang sudah tak yakin dengan promosi Islam malah rela parti islami tunduk pada seruan liberal demokratik yang menolak Daulah Islam mentah-mentah.

Jadi jika muncul golongan dewasa yang pening kepala dan musykil seperti salah seorang pengunjung saifulislam itu, adalah petanda awal dan jawapan sebab musabab munculnya 4 golongan muda yang disebut ustaz hasrizal sendiri walaupun perinciannya adalah berbeza dan tidak difahami oleh kebanyakan orang tua mahupun ustaz hasrizal sendiri yang masih muda iaitu:

KEMUSYKILAN 1:

Tidakpedulisme orang muda yang lahir akibat Tidakdipedulisme oleh orang tua mahupun penggerak politik dan pilihanraya negara. Nasihat , harapan dan anjuran orang muda untuk orang tua membudayakan politik sihat, berakhlak dan aman tidak dipedulikan orang tua. Jika orang muda semasa pemilihan ketua kelas di sekolah diajar supaya calon-calon ketua kelas kekal mesra dan berkawan baik, hanya berkempen dengan akhlak dan suri tauladan, tapi orang tua berkempen dengan bermusuh dan menghentam hingga mentelanjangkan peribadi, mengaib dan memalukan orang dengan poster-poster sindiran dan tak berakhlak, memburuk-burukkan orang lain tanpa diri membuktikan lebih baik. Itu tidak sihat. Tidak bolehkah kalau hanya berbuat baik , bertegas dengan dasar dan matlamat, dan bersikap tawadhuk merendah diri serta mengajak orang lain sama membesarkan Allah bukan membesarkan diri dengan kempen "undilah aku, kerana aku boleh buat itu dan ini".

sebab itu harapan untuk orang melayu-islam umno dan pas berdamai selalu saja meniti di bibir siapa saja yang merenung politik tanahair. Tapi siapa yang berkeras mahu kekal bermusuh? Jika bukan golongan tua muda pendokong parti sedangkan majoriti golongan muda dan tua yang tidakpedulisme ini jika ditanya, "mahukah anda melihat umno-pas tidak lagi bermusuh?" mereka akan sahut " Tentu sekali mahu!". Malah mereka sanggup jadi pedulisme jika boleh menyatukan dua parti melayu-islam itu. Tidak hairan jika Parti Mahasiswa Negara yakin jika bertanding boleh beri alternatif buat awam yang kecewa dengan kedua-dua BN dan BA:
http://www.youtube.com/watch?v=Zx7feBzQdh0
dengan kata-kata mereka "BN dan BA sudah tidak relevan". Namun masalah PMN ini di mana letaknya idea baru dan dasar mereka yang berbeza dengan BA dan BN, sekurang-kurangnya nyatakanlah seperti saya yang non partisan ini sudah nyatakan.

malah majoriti sahabat-sahabat saya yang tidak mendaftar mengundi iaitu mewakili berjuta bilangannya (bukan saya seorang saja tidak mendaftar) bukan kerana mereka tak peduli politik, malah sebahagian mereka ada pendirian politik yang jelas, akan tetapi semua pendirian mereka tidak dipedulikan oleh sesiapa, membuatkan mereka ambil keputusan untuk peduli pada bidang fokus mereka saja.

KEMUSYKILAN 2

Golongan yang menganggap demokrasi dan pilihanraya itu haram dan tidak islamik juga berkembang kerana pengamalnya tidak langsung menunjukkan ada daya islamik. Bolehkah idea bahawa demokrasi dan pilihanraya ini haram, berkembang jika semua pendukung demokrasi liberal mengangkat daulah Islam dan tidak menolaknya mentah-mentah seperti dibuat Anwar? atau aksi-aksi kempen pilihanraya mengekalkan daya upaya islamik dengan mengekalkan akhlak, budi pekerti, malah mengajak orang banyak membesarkan Allah berbanding kempen menaikkan diri sendiri yang langsung tak sunnah? Idea golongan ini takkan berkembang jika semua pengamal demokrasi tidak merujuk barat untuk memegang definisinya.

Apa jadi bila perhimpunan rakyat seperti HINDRAF disokong untuk berhimpun kerana akur bahawa demokrasi menghalalkannya keluar dari mulut pimpinan parti islami? bolehkah perhimpunan yang bermatlamat jahat diberikan hak untuk berhimpun dalam Daulah Islam berhudud? Jika pimpinan parti islami merujuk demokrasi islam (walaupun tak tahu nak rujuk negara mana) dalam setiap huraian demokrasi, maka boleh juga kita bersangka baik bahawa demokrasi itu tak merujuk barat. Tapi jika definisi demokrasi akhirnya merujuk kebebasan bersuara, kebebasan berhimpun, kebebasan beragama yang dituding ke arah Amerika untuk tahu sudah cukup demokratik atau tidak kebebasan kita, maka jelaslah pendokong demokrasi tak ada pilihan lain selain merujuk barat.

Memang ada usaha mengaitkan unsur demokrasi juga suatu yang islamik, dengan erti kata lain demokrasi islamik adalah merujuk maqasid syariah. Jika begitu, untuk jadi pejuang demokrasi yang islamik yang bukan menuding jari ke arah Amerika untuk menilai demokratiknya sesebuah polisi, maka mahu tak mahu kena jadi pejuang maqasid syariah. Oleh itu, nak tapis-tapis apa lagi tong najis untuk dibuat minum supaya jadi gelas, jika gelas sudah ada untuk dibuat minum. Kita mungkin perlukan sesuatu dari Barat jika Islam tidak mengkhususkannya, kita boleh pakai kereta barat, internet barat, mahupun telefon barat kerana Islam tak mestikan supaya guna unta, surat dengan utusan berkuda, supaya jadi pejuang sunnah.

Jika demokrasi dan pilihanraya menjadi islamik tidak mungkin golongan kemusykilan ini akan muncul.

KEMUSYKILAN 3

Begitu jugalah dengan fahaman bahawa pembangkang itu khawarij, tak akan muncul jika semua pembangkang jadi pencadang yang mengajak pada hubungan bersaudara dan tidak bermusuh.

bagaimana mungkin kita mahu menuding muka pembangkang sebagai khawarij jika muka yang kita tuding itu orang yang senyum dengan kita, ziarah kita ketika sakit dengan bawa buah tangan, bila mengkritik mereka bukan sekadar kritik tetapi berikan jalan penyelesaian , dengan akhlak, dengan lembut, dengan sopan gentlemen, tunduk merendah diri dengan penuh keinsafan. Orang pun takkan termakan dengan dakwa dakwi khawarij yang kita buat.

Satu perkara lagi yang cukup penting untuk tampil sebagai pencadang lebih dari gelaran "pembangkang yang suka bangkang", adalah bersyukur bila cadangan yang dibuat dipraktik oleh musuh politik kita. Kita cadangkan "bantu orang susah", musuh kita bantu orang susah. Kita cadangkan "bagi orang miskin makan" musuh kita bagi orang miskin makan. Kita cadang "laksana hudud" musuh kita laksana hudud. Yang kita panjatkan adalah syukur kerana musuh kita laksanakan cadangan kita, bukannya kita kempen "itulah musuh kita asyik tiru saja cadangan kita". lepas itu sanggup pula berkata,"kami tak mahu kemukakan cadangan dengan terbuka, nanti kena tiru, undi kami dulu, bila menang baru kami tunjuk cadangan kami". Apa hal?

masalah untuk mengenalpasti imej pembangkang yang mana patut diambil supaya sesuai dengan perjuangan islami dan dakwah mengikut sunnah adalah punca kemusykilan golongan muda yang jadi ultra salafi lalu menuduh semua pembangkang adalah khawarij. Jika hijrah pada identiti pembangkang menjadi pencadang yang bertaqwa , seruan ultra salafi tak akan mendapat sambutan malah ultra salafi itu yang akan jadi khawarij.

KEMUSYKILAN 4

Sebab itu golongan muda yang duduk dalam kemusykilan 4 seperti yang ditulis oleh Ustaz Hasrizal jangan jadi golongan selesa dengan mendakwa "aku adalah golongan 4" jika satu haram idea dan pemikiran tak dibentangkan. Jika mengikut saja mana-mana pemikir muda bentangkan apa-apa idea lalu disambut dengan "wah, syabas" , "hebatnya", "bagus, terkesima aku", "keep it up, salam ziarah" yang bertebaran dalam mana-mana ruang komen laman-laman web hanyalah menjadi golongan musykil yang menginsafi tetapi tidak ada hala tuju mahupun idea yang tegas.

Lebih malang jika jadi golongan pengampu yang bila datang orang memberikan idea kontra pada pemikir yang mereka puja, langsung menghambat dengan "apa ni kurang ajar datang rumah orang cakap kasar-kasar". Padahal mereka pun tetamu juga, bukan tuan rumah pun.Tetamu yang cuba untuk menghambat tetamu lain selayak seperti dia tuan rumah, adalah kurang ajar yang nyata.Jika betul kasar ayatnya , memang layak dihambur sebagai kurang ajar. Tapi jika ayatnya cuma tegas dengan baris ayat cukup sastera dan tidak mengandungi perkataan caci maki, itu bukan kurang ajar malah cukup terpelajar, kerana ada juga yang cuba diajarnya, dari jadi orang yang mengampu semata-mata.Idea pun cuma ulang kopi pasta dari tulisan pemikir yang mereka ampukan itu saja.

Bukan saya mewajibkan semua orang jadi pemikir. Tapi berusaha berfikirlah, dan seruan mengajak pada berfikir ini adalah selari dengan aspirasi qurani dengan akhiran kalamNya menyebut "tidakkah kamu berfikir".

Apa yang saya ingin tekankan di sini adalah, walaupun pilihanraya bersama parti politik yang ada kini sangat memusykilkan kita atas kecelaruan mereka, semua itu boleh diseimbangkan jika:

1- Pimpinan parti politik meletakkan semua kesamaran menjadi jelas
2- pendokong dan penyokong parti politik mengubah suasana politik menjadi islamik
3- bangkitnya pemikir dan idea-idea bernas untuk menenggelamkan gosip politik murahan dan pergaduhan taraf kanak-kanak tadika di kalangan pelepak-pelepak warung politik.





Kalau dahulu saya melihat berjuang kepartian ini suatu yang tidak membina malah tiada fokus jitu. Saya lebih melihat memenuhi keperluan umat yang kosong perlu difokus dan diusahakan lebih dari kita buang masa promosi-promosi-dan promosi jenama parti kita untuk diundi pada pilihanraya. Saya melihat senario itu di depan mata kepala saya sendiri ketika saya kanak-kanak. Orang-orang tua yang aktif politik, mereka sanggup hadapi pahit maung, pukul terajang politik, berpuluh-puluh tahun tanpa akhirnya satu jasa mereka pun tidak ada dalam memenuhi keperluan umat. Selayaknya mereka boleh lakukan sesuatu, tapi mereka mati ke dalam kubur atas nama politikus semata-mata.

Sewaktu itu, saya betul-betul terkilan dengan orang tua. Umat kita tiada penternak ayam yang cukup untuk membekalkan ayam, sehingga akhirnya peniaga ayam islam juga mendapatkan bekalan ayam dari peniaga cina. Bila tiba cina menaikkan harga untuk bekalan ayam, peniaga islam yang membeli bekalan itupun terpaksa menjual dengan harga mahal. Ketika pembeli muslim ingin membeli ayam, harga ayam sudahpun mahal dengan alasan pembekal menaikkan harga. Itu salah satu contoh mudah untuk difahami, apa akan jadi bila keperluan umat dibiarkan diuruskan oleh orang nonmuslim.

Atau sewaktu masa dulu, tiada seorang muslim di negara kita dapat menghasilkan ubat-ubatan untuk pesakit yang ke hospital. Kandungan ubat yang terkandung bahan haram terpaksa digunakan kerana tiada ubat yang halal yang ada di hospital untuk mengubati penyakit itu. Adakah keperluan umat untuk ada seorang ahli farmasi muslim suatu yang remeh? Adakah membiarkan umat bergelumang dengan bahan haram suatu yang lazat dan indah? sangat enjoy dengan situasi itu?

Pastinya tidak!

Sebab itu saya terkilan dengan orang tua yang mati, yang masuk ke liang lahad, hanya meninggalkan nostalgia dan kenangan mereka sebagai politikus, yang berperang sesama sendiri demi memujuk rakyat mengundi dan mengangkat mereka dan parti mereka sebagai pemimpin negara. Orang tua itu tak tinggalkan perniagaan ayam untuk membekalkan ayam bagi peniaga islam untuk keperluan ayam umat. Orang tua itu tak tinggalkan ubat-ubatan halal untuk menyelamatkan umat yang sakit dari diubati dengan ubat haram.

Mungkin ubat dan ayam dilihat sebagai contoh bodoh dari saya. Tapi tahukah kalian, dulunya mee kuning,bihun, kicap dan sos pun tidak pernah dihasilkan orang Islam di Malaysia, malah mereka senang saja membeli mee,bihun, kicap dan sos dari buatan orang kafir tanpa endah haram atau tidak kandungannya. Mungkin kini, sudah ada orang Islam yang menghasilkan bahan makanan itu, namun masih lagi segelintir produk seperti roti mahupun kek dewasa ini dikuasai oleh perniagaan nonmuslim, hingga buat umat Islam tidak kisah menempah roti mahupun kek kerana melihat ramainya umat membeli dari produk itu.

Soal haram-halal satu hal, soal penguasaan dan pergantungan ekonomi umat pada orang kafir sebenarnya hal yang sama penting, kerana situasi ini ibarat meletakkan tengkuk pada pedang musuh. Bila-bila umat Islam boleh dipancung. Lihat saja bila kekurangan bahan makanan, pada siapa umat Islam harap untuk ditingkatkan pengeluaran, kalau bukan syarikat mahupun kilang kafirun untuk membekalkan makanan untuk kita. Sehingga begini situasi kita tanpa segan mahupun malu, bila membaca kalamAllah mengangkat kita sebagai khalifah mentadbir alam, juga mengangkat kita umat Nabi Muhammad yang dipanggil sebaik-baik umat yang diutuskan Allah kepada manusia ini.

Itu baru keperluan umat mengenai makanan dan ubat-ubatan pun belum dipenuhi, belum lagi kita bicara lebih panjang mengenai keperluan teknologi, tenaga pakar, mahupun keperluan umat kepada hiburan islami pun dikuasai genre maksiat bermaharajalela.

Terkilan pada orang-orang tua yang patut meninggalkan sesuatu untuk generasi baru ini wajarkah kita sebagai ORANG MUDA MENGULANGINYA?

Itu yang sering saya ingatkan diri saya. Jika di waktu sekolah rendah, saya sering terkilan dan terluka dengan orang tua, sudahlah mereka tak ambil langkah bertindak kecuali segelintir saja, malah bila saya kemukakan cadangan, mereka sambut dengan gelak tawa dan ejekan saja. Kerisauan pada situasi yang melanda umat wajar dimeriahkan dengan cadangan-cadangan bernas yang patut dikumpul dan ditimbangkan dengan serius, hatta jika idea itu dikeluarkan oleh kanak-kanak berusia 10 tahun pun! Tapi mereka boleh gelakkan saya ketika itu. Memang tak wajar saya ingat kejadian itu sampai saya sudah berumur 23 tahun sekarang, patut saya maafkan saja. Tapi saya tak mampu. Saya tak mampu lupakan bagaimana manusia orang tua yang patut menjadi barisan depan berjuang memenuhi keperluan umat, hanya menyambut dengan gelak tawa pada cadangan yang diberi. Ini bukan masa untuk gurau senda, tapi ini suatu hal yang patut dirisau oleh setiap golongan umat.

Saya membesar dengan perasaan terluka pada generasi tua itu. Mereka bukan saja langsung tak hargai idea dan cadangan, malah mereka sendiri tak ada idea dan pelan rancangan untuk memenuhi keperluan umat! Hasilnya kebanyakan mereka sudah masuk kubur, dan umat Islam malaysia masih lagi hadapi masalah tidak dipenuhi keperluan umat oleh umat Islam sendiri.

Mungkin sebahagian bidang, umat Islam sudah berjaya capai dan sebahagian sudah capai tahap pakar, seperti doktor-doktor Islam di Institut Jantung Negara. Atau di bahagian perbankan Islam juga, sudah ada modal insan dari umat Islam sendiri. Namun, di bidang yang lebih besar dan penting seperti industri halal negara, umat Islam masih lagi bergantung pada kafirun untuk hasilkan makanan halal kita. Ini suatu yang memalukan.

Benar, akhirnya umat Islam merumuskan segala keperluan umat yang gagal dipenuhi itu adalah disebabkan oleh pimpinan umat yang tak berkualiti. Dengan harapan, menggantikan pimpinan umat kepada pihak pejuang Islam yang lebih tulen maka segala masalah umat boleh selesai. Pemikiran ini bukan saja melanda golongan tua yang saya pernah jumpa sewaktu sekolah rendah dulu, malah DITERUSKAN OLEH ORANG MUDA SEGENERASI DENGAN SAYA!

Walaupun saya tak percaya jika pimpinan umat ditukar saja semua masalah boleh selesai, jika umat sendiri tak ada risau dan faham akan situasi yang memalukan umat Islam ini. Saya tak fikir jika TG Nik Aziz jadi Perdana Menteri saja, maka umat Islam boleh menternak ayam untuk membekalkan ayam pada peniaga Islam, padahal usaha itu sudah terbuka sebelum pimpinan bertukar lagi. Jika belum bertukar pun, umat Islam selesa jadi peniaga yang ambil ayam dari kafirun dan selesa jadi tukang beli semata-mata, maka adakah kerisauan umat mengenai keperluan umat yang dikuasai kafirun boleh diambilalih hanya semata-mata bertukar pimpinan, tanpa umat Islam sendiri tiada yang tampil berjuang fokus pada bidang keperluan umat?

Kita bukan hanya perlu ada 2, 3 pejuang Islam. Kita ada beratus bidang yang kronik, dan kita perlukan berjuta pejuang!

Siapa yang boleh memenuhi berjuta pejuang yang FOKUS pada kekuatan diri masing-masing untuk memenuhi keperluan umat jika tidak mereka adalah GENERASI MUDA! Nak harap orang tua lagi jadi pejuang memenuhi keperluan umat? Orang muda hanya perlu rempit, zina, kahwin, beranak, ambil dadah, tengok wayang, konsert, minum arak, bergaduh, bertumbuk, menari, main game, dan jadi kuli pasang poster pilihanraya saja? Tidak, wahai sahabat-sahabatku! Orang muda ada berbelas juta jika kita tolak kanak-kanak walaupun saya yakin di kalangan kanak-kanak itu berjuta yang punya idea bernas untuk menyelamatkan umat, cuma mereka tak dihargai. Jika saya terkilan dengan orang tua ketika saya kanak-kanak dulu, maka saya tak mahu terkilan dengan generasi saya sendiri yang sudah WAJIB mendepani masalah umat!

Pada hari ini saya menyedari bukan setakat bidang-bidang tertentu yang disebut di atas saja yang sudah kronik untuk dipenuhi keperluan umat, malah bidang POLITIK SENDIRI SUDAH KRONIK! Kalau dulu saya tak kisah sangat tentang bidang ini, sebab berpuluh juta orang tua minat pada politik, maka biar saja mereka sendiri fokus pada bidang yang mereka minat sangat ini. NAMUN, hakikatnya bidang yang mereka uruskan ini pun tak mampu memenuhi keperluan politik umat.

Pihak BN mahupun BA, kedua-duanya dipenuhi penipu yang tidak jujur. Masakan umat patut bergantung pada pilihan tak jujur, tak tegas dengan iman dan perjuangan untuk diangkat jadi pemimpin? Bila pihak mahasiswa sendiri tampil ke depan untuk beri alternatif baru dalam pilihan kepimpinan negara, MAHASISWA ITUPUN TAK TEGAS DENGAN KEPERLUAN POLITIK UMAT! Setakat semangat 'student power' jenama gerakan Anwar tahun 70an tak kemana. Setakat nak tunjuk memahami ideologi "rakyat Malaysia" kemudian berlakon bermuka-muka dengan retorik untuk memikat rakyat menyokong kononnya nanti rakyat akan dibela, akan diselamatkan, akan ditolong.

Rakyat yang lemah memang patut dibantu, tapi jika janji manis membantu rakyat akhirnya menjadikan hubungan pemimpin dan rakyat adalah seperti peminta sedekah dan orang kaya, itu bukan memimpin negara! Rakyat mahu harga barang murah, nak pendidikan percuma, nak jalan tak ada tol, nak dapat bantuan rumah percuma, nak tanah, nak macam-macam.Calon wakil rakyat pula janji itu ini boleh beri rakyat semua yang diminta. Yang minta itu rakyat, yang nak bagi itu rakyat juga, pasal takkan ada bantuan jika kerajaan tak ada duit, takkan ada duit kalau tak ada cukai, tak ada cukai kalau rakyat tak bayar cukai, rakyat takkan boleh bayar cukai kalau semua rakyat tak berniaga pun! Saya tak bimbang kebanyakan orang cina suka berniaga walaupun tak dapat bantuan apa-apa. Pelik juga 50 tahun merdeka dengan kerajaan Melayu yang kononnya zalim seperti kata DAP, orang cina menguasai perniagaan.

Orang Melayu UMNO yang kuasai perniagaan pula lari ke negara luar, tak risau dan faham pun perjuangan memenuhi keperluan umat di tanahair sendiri kecuali sebahagian saja seperti Tan Sri Mokhtar al Bukhari.Kita tak mahu orang-orang tua boroi yang fikir untuk senang keluarga dia saja, oleh itu kita wajar jadi orang muda yang fikirkan masalah umat, jadi pejuang, dan bantu umat. Biar kita mati tinggalkan sesuatu untuk umat. Biar selamat satu bidang yang kita kuasai, supaya umat dalam bidang itu tak letak tengkuk atas pedang kafirun. Jadi kaya raya, perut boroi, lepas tu kita masuk kubur juga. Kekayaan tak bawa, perut boroi yang masuk liang lahad pula akan terburai dengan ulat, nak buat apa?

Parti Islam yang kita harap selama ini untuk berjuang negara Islam dan angkat hudud pun sudah main segan-segan. Nak malu apa berjuang negara Islam? Nak malu apa angkat hudud? Kenapa mesti sorok impian dan sudi tak bertanding semua kerusi parlimen atau sekurang-kurangnya melebihi 2/3 supaya nanti jika menang boleh jadi kerajaan Islam kuat. Memanglah kononnya tak bersekutu dengan DAP, tapi dalam tak bersekutu itupun, kerusi kafirun DAP itu dibiarkan tanpa ada calon Parti Islam sebab apa? Pakatan itu tetap ada walaupun PKR yang jadi orang tengah. Kenapa PKR mulia sangat sampai kita biar dia runding hal dan perjuangan kita? PKR terang-terang tak sokong negara Islam dan hudud, dah tu kita biar impian ini jadi bahan ceramah dan bukan tindakan?

Tak cukup duitkah nak letak calon semua kerusi? Tuan Presiden menang kes dapat berjuta, kalau tak cukup duit, duit menang kes itu boleh diinfakkan. Takkan Tuan Presiden tak mahu infak harta ke jalan Allah? Takkan Tuan Presiden yang menyeru nak tubuh negara kebajikan , tak mahu buat kebajikan? Ini bukan soal tak ada duit. Ini soal tak tegas dengan iman dan perjuangan, ini soal tak yakin yang perjuangan ini indah di dalam dan luar.

Siapa kata Islam itu indah bila orang dah masuk islam baru nampak indah? Tak, orang tak masuk Islam pun bila pandang islam, Islam itu nampak indah. Kecuali kalau nampak muslim yang tak amalkan Islam. Memang akan nampak Islam tak indah. Pasal yang tak indah itu muslim yang jahil itu, bukan Islam itu! Rasulullah itu suri tauladan yang baik.Islam yang Rasulullah bawa itu indah, dan Rasulullah itu sendiri indah dengan Islam. Jangan takut pada kafirun yang benci keindahan islam. Memang kafirun yang gelap hatinya akan mengeji Islam. Rasulullah berdakwah di thoif, semua penduduk thoif hina malah baling batu pada Rasulullah yang indah itu. Penduduk thoif hina ajaran yang indah. Sebab apa? Sebab mereka kafirun yang Allah tak beri hidayah. Habis tu, Rasulullah marah? Rasulullah pura-pura ajak pada dmeokrasi? Sebab kalau ajak pada Islam, nanti kena baling batu, jadi Rasulullah ubah taktik lalu ajak pada demokrasi dan liberal? Mana ada! Mengarut!

Rasulullah dari awal dapat amanah dari Allah sampai akhir hayat, maintain ajak pada Islam dan Iman. Mana ada nak sorok-sorok, kecuali masa peringkat awal di Mekah. Tapi Rasulullah sembunyikan seruan Islam, tak bererti Rasulullah patut pura-pura seru pada benda lain! Ini Malaysia dah diumum jadi negara Islam oleh Tun Mahathir yang dipanggil sekular. Tiba-tiba Anwar yang islami tolak untuk berjuang angkat Malaysia sebagai negara Islam. Ini apa pelik punya politik umat ini? Lepas tu Parti Islam pun tersengih-sengih menyendeng belakang tubuh pejuang Islami Anwar yang menolak perjuangan negara Islam dan hudud. Sanggup pula sediakan pejuang-pejuang islami untuk penuhkan jalan-jalan menuntut mengikut suara para pendokong demokrasi liberal, yang akhirnya Anwar yang agung itu yang jadi hero dalam usaha jalanan itu sehingga patuh dan akur setiap butir bicaranya. Dia suruh kumpul, kita kumpul. Dia suruh bersurai, kita bersurai. Kita suruh angkat negara Islam dan hudud, dia kata tak payah! Apa kebenda ini?

Sebab itu keperluan umat pada bidang politik juga sudah kronik. Sudah ramai orang tua dan aktivis politik sudah tak tahu nak bawa malaysia ini pada daulah islam atau tidak. Mereka masih malu-malu kucing tak yakin yang Islam hari ini suatu yang amat diminati untuk dikaji. Di Amerika saudara baru islam bertambah dari sehari ke sehari. Sebahagian mereka lebih islami dari pejuang islam negara kita sendiri, malah ada yang sudah bergelar sheikh walaupun baru menganut Islam pada umur 20 an. Kita orang muda malaysia bagaimana? Masih belum terlambat kita membetulkan langkah untuk tukar jadi pejuang Islam. Islam itu indah, bila kita jadi muslim yang tegas dengan iman dan perjuangan, kita akan nampak indah sama. Kafirun akan hormat, malah mereka yang akan tersengih-sengih malu dengan kita. Adakah menjadi muslim sejati akan buat kita jadi muslim yang ganas macam hantu? Tidak! Akhlak muslim itulah buah paling ranum dalam dunia ini. Bermakna menjadi muslim sejati akan buat kita jadi buah ranum yang sangat disukai oleh sekalian manusia termasuk kafirun.

Kita bukan saja perlukan pada pejuang untuk bidang-bidang kritikal ekonomi dan sosial, malah di bidang politik, kita sudah wajib mendirikan parti islam yang benar-benar islam untuk dijadikan contoh teladan. Bila berkempen, kita sajalah yang berkempen tentang keindahan islam dan promosi kebesaran Allah, kita tak malu berdakwah atas pentas politik bukan untuk seru undi dan angkat parti kita, tapi kita seru umat islam untuk risau akan keperluan umat, kita seru umat Islam wajar kembali pada Allah, kita seru masjid-masjid kita yang kosong penuh diimarah, kita seru kafirun memahami cara hidup dan perspektif islam yang sebenar, jangan terpengaruh dnegan fitnah musuh islam, kita ajar islam, kita tunjuk islam, dan kita biar mereka rasa Islam yang indah. Kita bantu orang susah tak kira masa, kita jujur dan amanah, biar sampai masyarakat akui kitalah generasi al-amin. Tak rugi jadi ahli politik yang baik, jujur dan tegas dengan iman, islam dan perjuangan. Biar orang tua lain bermuka-muka, berlakon dan berpura-pura, mereka mungkin menang, tapi mereka terseksa kerana tak jujur dari mula hingga akhir. Mereka sangka berjuang boleh tipu-tipu, mereka menipu diri sendiri.