|KUMPULAN BLOG MFR
|RANGKAIAN MFR
|MISI MFR
|KOLEKSI TULISAN TOKOH
saya yang teruk dan buruk sedang merenung

Misi Damai

Bagi melegakan manusia-manusia yang rupanya masih tak faham apa itu damai, dan apa pula misi damai hendak lakukan maka saya karangkan entri ini dengan penuh rasa cinta dan kasih sayang dan harapan semoga damai tercetus dan terhapuslah benci dan huru hara.

Memang itu hanya istilah bodoh yang saya tonjolkan kerana memang ada segelintir orang yang berbahasa melayu tak faham apa itu ISLAM tapi faham apa itu DAMAI. Jika saudara-saudara muslim di Amerika berusaha mencanangkan "ISLAM is PEACE" bagi menghapuskan Islamphobia, maka saya sukacita mencanangkan "MISI DAMAI" yang sebenarnya hanya terjemahan "PEACE MISSION", atau sebenarnya nak dibawa adalah "ISLAM".

Islam diketahui sama ambilan istilahnya dari salam yang bererti sejahtera. Tapi bukanlah erti islam itu sejahtera. Namun sejahtera itu terkandung dalam Islam. Sejahtera, aman, damai, cinta, kasih sayang semuanya adalah gambaran-gambaran suasana yang terhasil dari "RAHMAH".

Bukankah Rasulullah s.a.w membawa rahmah ke seluruh alam? Bukankah umat baginda diminta mengambil suri tauladan yang baik dari baginda? Bukankah rahmah yang tersebar itu adalah merujuk pada tersebarnya Islam dengan usaha dakwah? Bukankah dakwah itu tugasan yang diwariskan nabi pada umat baginda? Bukankah dakwah itu dikerjakan dengan hikmah? Maka dakwah ISLAM disebar dengan hikmah akan membawa rahmah, seterusnya menghasilkan sejahtera, aman, damai, cinta dan kasih sayang.

Mudah sahaja, siapa yang memusuhi MISI DAMAI, adalah mereka yang tak mahu sejahtera, aman, damai, cinta dan kasih sayang tergambar dalam dunia ini.

Manual Surat

Sebenarnya sudah tak perlu dihurai lagi bagaimana bawaan damai itu oleh saya, kerana setiap pendirian saya telah saya tulis semuanya ke dalam satu surat yang sudah menyebut segala gerak kerja dan pendirian saya termasuk dalam bawaan MISI DAMAI ini.

lihat satu persatu untuk memahami. Benar, saya sekarang sedang mengajar manual memahami surat saya yang ditulis januari lalu.
http://alhikmah-diari.blogspot.com/2008/01/surat-terbuka-buat-penyinggah-blog-ini.html

Oleh itu sesiapa yang mahu entri padat, maka surat itu jawapannya. Tapi barangsiapa yang tak faham surat saya, maka entri ini manualnya.

Kita mula dengan point nombor 5 :

"5.Saya menyeru dan menawarkan damai"

Mari lihat pengisiannya:

"Saya menyeru dan menawarkan damai. Atas keyakinan islam ini agama yang mempromosi kedamaian, maka saya dengan bersungguh-sungguh mempromosikan damai sebagai matlamat dan jalan."

mari lihat point seterusnya,

"Kita menuju damai. Kita bertindak damai."

Baik, mari lihat contohnya pula dalam ayat seterusnya:

"Adakah suatu yang rancu fikiran saya bila menawarkan damai buat kelompok yang saya iktikad sebagai sesat? Bukan sekadar syiah, malah saya beriktikad kristian itu sesat, agama buddha dan hindu itu sesat. Saya juga menawarkan damai buat penganut kristian, buddha dan hindu. Apakah saya bersalah kerana menawarkan damai buat penganut syiah?"

Baik, mari saya huraikan sedikit.

Dalam al-ahkam.net ada sebuah thread:
http://al-ahkam.net/home/modules.php?op=modload&name=MDForum&file=viewtopic&t=35946

Dalam thread itu ada yang mengkafirkan syiah.

seperti ini:

"Ana masih ingat lg ms pergi seminar pemikiran syiah yg dianjurkan oleh Jab.mufti wilayah...resolusi yg dicapai...syiah tidak kafir...cuma salah akidah je.punyalah terkejut beruk kami semua.... Mengarut betul malaysia ni"-sheikh al jawhar

"mengaji dulu syeikh.. enta tak kaji syiah apa enta tau....
sudah berpuluh tahun org duk kaji syiah.
walaubagaimanapun, syiah yg dikafirkan itu merujuk kepada
syiah majoriti, jika tidak dikafirkan kita akan sebut syiah _ _ _ _ "-tanpanamax

"setiap orang yang mengaku dirinya sebagai syiah bermakna dia mempunya dan berpegang kepada akidah2 tersebut.
lalu apakah kita akan mengatakan orang yang berpegang dengan akidah tersebut yang jelas bercanggah dengan al-quran sebagai seorang Islam..??
jadi bagi saya setiap orang yang mengaku dirinya adalah syiah maka ia terkeluar dari islam."-abu naaielah

Nah, apabila saya melihat saja perbuatan takfir itu, saya teringatkan wawancara Dr Yusuf alQaradawi tentang perjuangan Hizbullah menentang Israel pada tahun 2006.
http://ustaznasrudin-tantawi.blogspot.com/2006/08/wawancara-syeikh-yusuf-al-qaradawi.html

Dr alqaradawi menyebut:
"Saya tidak membezakan antara Syiah dan Sunnah, meskipun Syiah berbeza dengan kita dalam beberapa perkara cabang. Mereka tetap terdiri daripada ahli La ilaha illallah.

Mereka mempunyai persamaan dengan kita dalam banyak perkara-perkara prinsip. Mereka bersama-sama dengan kita dalam lingkungan umat Islam, sebahagian yang tidak terpisah daripadanya."

Walaupun Dr Yusuf alQardawi bukan tokoh yang sama manhaj seperti yang saya sebutkan dalam point nombor 2:

"2.Saya sunni syafiiyun.

Saya seorang sunni. Saya mengiktiraf mazhab asyairah dan maturidiah untuk diajarkan pada saya untuk diiktikad dalam hati demi memahami akidah Islam seorang sunni. Saya mengiktiraf mazhab syafie untuk diajarkan pada saya untuk dijadikan panduan beribadat dalam Islam seorang sunni."

Namun, Dr Yusuf alQardawi adalah rujukan utama dalam perselisihan salafiyyah di al-ahkam.net.Seperti tentang takfir Asyairah, al-ahkam.net dengan otaknya sifoo zain-ys mengambil pendirian sama dengan Dr Yusuf alQardawi yang menganggap pentafsiran akidah Asyairah dan Salafiyyah hanya berbeza dari kaedah takwil sahaja. Ia termasuk khilafiyyah yang tidak mengkafirkan mana-mana pihak.

Oleh itu, saya menganggap ketika saya masuk ke dalam thread yang ada takfir syiah itu, saya sudah tertanam niat damai sunni-syiah yang dibawa sama oleh Dr Yusuf alQardawi. Jika damai sunni-syiah yang dibawa oleh Dr Yusuf alQardawi ini dibenci oleh kelompok salafiyyah al-ahkam.net maka ketahuilah point nombor 6 dalam surat saya akan berjalan:

"6.Saya berperang dengan musuh tapi tidak melampaui batas

Saya berperang dengan siapa yang memerangi saya. Saya berperang dengan siapa yang memerangi agama saya. Saya berperang dengan siapa yang memerangi negara saya. Namun saya berperang untuk mempertahankan "damai". Supaya "huru-hara" dan "kacau-bilau" tidak mengganti "damai" yang ada, maka saya memerangi mereka yang berniat mencetuskannya. Saya tidak melampaui batas supaya nanti akan jelas kelihatan saya mahukan damai, sedang yang memerangi saya mengkehendaki huru hara dan kacau bilau. Jika mereka mendakwa mereka juga pejuang "damai", lalu "damai" dan "kasih sayang" yang saya tawarkan ditolak, mereka memilih juga "perang", maka sesungguhnya mereka memang mahukan "perang" dan bukan "damai".

Dr Yusuf alQardawi juga walaupun menegaskan syiah adalah sebahagian umat Islam, namun beliau tidak teragak-agak memberikan nasihat pada syiah yang melampaui batas sehingga merosakkan "damai" yang cuba dicetuskan beliau antara sunni-syiah itu, merujuk syiah di Iraq, beliau berkata:

"Namun saya mempunyai kata-kata nasihat yang ingin saya sampaikan kepada mereka. Saya tidak bersetuju dan mengutuk sikap fanatik yang ditunjukkan oleh Syiah di Iraq. Saya menyeru agar mereka meninggalkan tindakan keganasan yang mereka lakukan terhadap saudara-saudara mereka dari kalangan ahlis sunnah. Mereka hendaklah menghalang daripada berlaku penyembelihan yang sedang berlaku, kerana ia hanya akan memberikan keuntungan kepada penjajah Amerika dan regim Zionis."

Ketahuilah syiah di Iraq tidak akan sampai hati jika mereka juga adalah pembawa misi damai, iaitu salah satu cirinya tidak mengkafirkan sesiapa yang telah memiliki kalimah syahadah. Syiah di Iraq tak akan sampai hati menyembelih Sunni jika syiah itu memahami Sunni adalah saudara seislam mereka.

Konsep persaudaraan sebagai teras misi damai ini telah saya sebutkan dalam point nombor 7:

"7.Saya menyambut baik siapa yang mahu bersaudara dengan saya.

Saya menyambut baik sesiapa yang menganggap saya saudara mereka. Pastilah saya akan menganggap mereka saudara buat siapa yang menganggap saya saudara mereka. Saya akan menganggap orang yang mengaku Islam itu Islam. Saya akan menganggap orang yang mengaku beriman itu beriman. Saya akan menganggap orang yang mengaku sunni itu sunni. Saya akan menganggap setiap yang mengaku Allah itu Tuhan Yang Esa dan Nabi Muhammad itu pesuruh Allah itu haram dikafirkan. Tidak rugi saya beranggapan sedemikian, kerana sesungguhnya memang manusia itu tidak tahu apa yang ada dalam hati manusia lain, maka menyerah kepada Allah itu jalan yang baik."

Baik, bagaimana pula jika Sunni pula tidak menganggap Syiah sebagai saudara seislam mereka?

Nah, maka sunni itu pulalah yang akan mengambil tempat orang-orang syiah di Iraq, yang telah mengganggu proses damai sunni-syiah yang ingin dicetuskan oleh Dr Yusuf alQaradawi.

Jika ada syiah yang disembelih oleh sunni ketika itu, maka sunni yang benci "MISI DAMAI" akan bertepuk tangan dan sebut "padan muka". Oleh itu, bagaimana kita yang membawa misi damai boleh menjadi sunni yang sebegitu? Oleh sebab itulah Dr Yusuf alQaradawi tidak memilih menjadi sunni yang bencikan "misi damai", maka beliau tidak mengkafirkan syiah walaupun menyedari syiah yang fanatik di Iraq telah pun mengkafirkan sunni.

Perbuatan kafir-mengkafir memang akan mengganggu DAMAI. Tak perlu nak pergi jauh, cukup kita meninjau suasana politik di Malaysia, apa yang telah jadi apabila perbezaan politik akhirnya berakhir dengan kafir-mengkafir? Kesannya cukup parah, apabila masing-masing merasakan PERMUSUHAN. Ya, itu adalah sebaris dengan istilah lain yang anti-damai, huru-hara, benci, bermusuh.

Adakah umat Islam bermusuh dengan semua kafir? Tidak, umat Islam tidak bermusuh dengan semua kafir. Kafir zimmi diberikan hak mereka, sakitkan kafir zimmi bermakna sakitkan Rasulullah s.a.w. Namun, adakah pengkafiran sesama Islam akan berakhir seperti layanan baik pada kafir zimmi? Tidak. Kerana pengkafiran umat islam akan menyebabkan umat islam yang dikafirkan itu dianggap munafik dan musuh dalam selimut. Maka anda faham kenapa PAS boleh bekerjasama dengan DAP tapi tidak UMNO, bukan? Maka anda juga pasti faham mengapa ada Sunni yang mengkafirkan Syiah akan berkata, "Syiah lebih bahaya dari Yahudi". Ya, itu kesannya.Ada Damai? Tiada.

Bagaimana berhadapan dengan orang benci MISI DAMAI?

Mari lihat point nombor 6 saya bahagian akhir:

"Saya tidak melampaui batas supaya nanti akan jelas kelihatan saya mahukan damai, sedang yang memerangi saya mengkehendaki huru hara dan kacau bilau. Jika mereka mendakwa mereka juga pejuang "damai", lalu "damai" dan "kasih sayang" yang saya tawarkan ditolak, mereka memilih juga "perang", maka sesungguhnya mereka memang mahukan "perang" dan bukan "damai"."

Jika sekadar mereka menyatakan "syiah akan kafir jika.." maka kita boleh berhusnuzon bahawa pihak tersebut mengingatkan akan "perkara-perkara yang membatalkan akidah islam" menurut manhaj atau mazhab masing-masing. Kita sunni juga boleh jatuh kafir jika sekadar meninggalkan solat dengan sengaja. Walaupun sebahagian pendapat tidak jatuh kafir namun berdosa besar.

Tetapi apabila ada pihak dengan yakin menyatakan "syiah adalah kafir" atau memang beriktikad "syiah bukan islam", maka tentulah pendapat-pendapat sebegini adalah pendapat yang memusuhi syiah. Atas kerana beriktikad kafir antara satu sama lain, maka sunni dan syiah berperang di Iraq.Jika Dr Yusuf alQaradawi menyebut syiah yang mengkafirkan sunni adalah syiah fanatik,maka tidak mustahil sunni yang mengkafirkan syiah adalah sunni fanatik.

Jika saya tawarkan damai, seperti Dr Yusuf alQaradawi menawarkan damai untuk sunni dan syiah merasakan mereka adalah saudara seislam telah ditolak dengan kenyataan yang menentang persaudaraan damai itu, maka tentulah pihak ini tidak sukakan damai, tapi mahukan perang.

Apa yang kita perlu pastikan adakah pendirian-pendirian yang mengatakan syiah kafir atau takfir syiah ini dibuat dengan keyakinan bahawa syiah sememangnya wajib dianggap kafir non muslim, atau mereka hanya berpendirian begitu namun menyokong akan MISI DAMAI ini.walaupun hal itu amat pelik dan aneh dari segi prinsip.

Sebab itu, apabila saya memasuki thread mengenai takfir syiah di al-ahkam.net , saya ingin mengenalpasti pendirian manusia-manusia yang beriktikad syiah itu kafir. Adakah mereka menganggap syiah kafir, tapi tak memusuhi syiah ertinya sanggup mencapai DAMAI? atau mereka sedang menjana kebencian terhadap syiah supaya nanti akan berlaku PERANG? ketahuilah "PEACE MISSION" adalah untuk mengelak "WAR". "NO WAR BUT PEACE" itu cogan kata misi damai untuk menenteramkan dunia dari perang.

Saya tahu ada dua versi utama salafiyyah di al-ahkam.net. Pertama, adalah mengangkat manhaj yang dibawa oleh Dr Yusuf alQardawi. Mereka ini selalunya bersikap hati-hati dan tak mudah jatuh hukum. Sebahagian besar mereka menyambut baik MISI DAMAI yang saya bawa. Kedua, adalah mereka yang mengangkat manhaj arab saudi. Fatwa-fatwa arab saudi diambil sebagai rujukan utama berbanding fatwa kontemporari Dr Yusuf alQaradawi. Oleh sebab itu, bagi mengesan pendirian kumpulan yang mentakfir syiah itu adakah merujuk fatwa arab saudi, maka saya bangkitkan isu Mekah yang dibenarkan dikunjungi syiah termasuk melampirkan gambar Presiden Iran di kawasan tanah haram.

Saya masih memantau 4 individu yang mentakfir syiah dengan nyata. Adakah mereka khilaf sesama sendiri? Itu saya tak pasti kerana saya masih mengkaji pendirian mereka.

Bagaimana yang benci Pendamai

saya sedar diri saya bukan pendamai yang baik. pernah saya tulis suatu masa dahulu dalam blog ini mengenai "Entri Perasan" ,"Surat Cinta Yang Hilang", dan "Blogevolusi" yang masing-masing adalah entri bersiri mengisahkan diri saya. Saya berasa malu setiap kali membaca semula entri-entri tersebut, maka beberapa kali saya menutup blog ini, dan memindahkan entri-entri yang punya manfaat untuk muhasabah mengenai perjuangan sahaja ke arkib di forum saya. Kemudian saya membuka blog alhikmah-diari ini semula dengan "surat terbuka buat penyinggah blog ini" menjadi entri pertama dan utama.

Saya sedih apabila dihina. tapi saya sedar diri saya hina. Maka saya cuba berlatih memuliakan saudara saya yang menghina saya. Ini adalah apa yang saya belajar dari jamaat tabligh selama berkhuruj di bumi Jepun ini. Jika ada orang-orang yang kita ketuk pintu kemudian menghina kita hanya kerana kita mahu bercakap mengenai kebesaran Allah dan keutamaan dakwah, kita mesti membalas penghinaan itu dengan pujian.

Ini juga baik sebagai kaedah mengurus hati kita. Hati kita ini ada banyak penyakit dan penyakit itu kebanyakannya datang dari nafsu amarah yang jahat. Namun dengan kaedah memuji saudara yang menghina kita, dan menanamkan keyakinan husnuzon tahap tertinggi ke atas saudara kita, maka amarah itu akan hilang. Apatah lagi jika kita menambah dengan kehinaan diri di hadapan Allah, dengan kita yakin bahawa Allah sedang melihat kita dan hati kita. Dengan sifat tawadhuk dan berusaha menanam sifat hina di depan Allah, maka kita tak akan marah jika orang menghina kita. Malah kita setuju dengan mereka.

Ini mungkin kaedah yang salah bagi sesetengah orang yang yakin, kita tak wajar merendah diri sangat dan mesti yakin akan keupayaan dan kebolehan diri. Tapi ketahuilah, dengan cara yang saya amalkan ini, saya telah berjaya menghapuskan sifat benci pada orang, marah pada orang, dendam pada orang. Dan dengan mengingat setiap penghinaan yang pernah dipalit ke muka saya, saya telah berjaya menghapuskan sifat riyak, perasan bagus, bangga diri, angkuh, sombong,ketika diberikan pujian. Malah saya berjaya menanamkan sifat kehambaan pada Allah, ingat bahawa kita tak punya apa-apa melainkan meminjam dari Allah semata-mata, dan selalu insaf mengenai ajal yang bakal tiba.

Oleh itu, jika orang menyampah dengan cara saya membawa misi damai, saya mohon maaf. Saya tak mampu nak membawa misi damai dengan berdamai di satu pihak A yang benci B dengan pura-pura sokong A, kemudian berdamai dengan pihak B yang benci A dengan pura-pura sokong B. Apa yang saya bawa adalah misi damai yang menghapuskan kebencian A dan B. Maka sesiapa yang sukakan A dan B berdamai, akan menyokong misi damai. Tapi sesiapa yang bencikan A dan B berdamai, dan mahu terus bermusuh akan bencikan misi damai termasuk pendamainya sekali.

Saya tegas dengan misi damai saya. Saya seru damai dan saya berbuat damai. Berbuat damai ertinya saya tak membalas penghinaan orang terhadap saya kerana bawakan misi damai, malah saya balaskan dengan pujian melambung selayak kata-kata mereka yang bersaksi pada diri mereka sendiri. Bila mereka kata saya bodoh, maka saya puji diri mereka pandai sambil mengaku diri saya bodoh. Itu adalah cermin buat diri mereka. Mereka akan malu dan insaf jika mereka sebenarnya tidak pandai atau sama bodoh. Mereka akan syukur jika mereka benar-benar ada kepandaian yang saya ini bodoh tentangnya.Saya akan terus iktikad mereka adalah pandai berdasarkan penghinaan mereka itu.

Begitu juga jika puak yang bencikan misi damai memerangi saya, ertinya menjadikan saya musuh mereka, maka saya akan memerangi mereka juga tapi tidak melampaui batas. Jika mereka memerangi saya kerana perbuatan saya melanggar perjanjian DAMAI, maka saya akan memerangi diri saya sendiri (nafsu) untuk kembali di trek DAMAI.

Saya rasakan tulisan ini cukup. namun jika masih tak cukup lagi, saya akan karangkan siri kedualah pula, tapi ketahuilah hati saya amat benci untuk terangkan misi, tapi saya hanya mahu menjalankan misi. Saya rasa surat terbuka saya sudah menjelaskan segalanya.

NOTA

*Misi saya bukannya dalam alam maya, tapi alam realiti! Ada orang fikir misi yang saya jalankan adalah dengan masuk berforum.Berforum adalah sebahagian usaha saya mengkaji pendirian dan manusia. Dan misi damai ini bukannya semata-mata sunni-syiah. Sunni-syiah itu hanya sebahagian sahaja isu dalam misi damai yang panjang. Misi Damai adalah beban dakwah untuk menyebarkan islam dan menghadirkan rahmah dalam suasana setempat. Antara usaha misi yang sedang berjalan di Gofuku Toyama adalah dengan aktiviti di Gofuku Musolla yang telah berjaya diwujudkan pada tanggal 6 April 2008 lalu. Misi Damai itu sebahagian pula dari agenda Renassaice Hikmah yang merupakan point terakhir saya dalam surat terbuka. Hadirnya saya di Jepun menuntut ilmu kejuruteraan ini juga sebahagian rancangan saya dalam Renassaice Hikmah. Mereka yang langsung tak ambil tahu dari awal pembentangan cita-cita saya semasa saya tingkatan dua di SMKRP Klang dulu tak perlu nak bising-bising komen apa itu misi saya. Sekali kamu tak peduli , tak payah peduli langsung. Kamu tak terjejas dengan misi saya.

----------
di samping saya tegas dengan mereka yang berusaha mengkafirkan syiah, saya juga tegas dengan syiah yang mengkafirkan para sahabat. Misi Damai menghapuskan sikap kafir mengkafir sesama islam. antara video saya menentang usaha syiah mengkafirkan sahabat, baca description juga sambil menonton:

http://www.youtube.com/watch?v=EYG7eXDEKFA

http://www.youtube.com/watch?v=T9aBSqfRQCY

http://www.youtube.com/watch?v=HhXHI6IRjto
Gofuku Musolla ,Toyama
Japan 930-0887 Toyama-Ken Toyama-shi Gofuku 9 Ku 441-37



(sebuah manual cinta untuk diriku sendiri)

Rasulullah s.a.w bersabda,

"Ada tiga jenis manusia yang di dalam dirinya terdapat manisnya iman. Iaitu, hendaknya Allah dan RasulNya lebih dicintai daripada selain keduanya; hendaknya mencintai seseorang hanya semata-mata kerana Allah, dan hendaknya membenci kekufuran sesudah Allah menyelamatkannya dari kekufuran itu, sebagaimana ia tidak suka dilemparkan ke dalam api."

Tujuan kita diciptakan adalah untuk beribadah kepada Allah s.w.t. Allah s.w.t itu Tuhan Yang Esa. Kita adalah umat manusia yang diutuskan kita penutup segala Nabi iaitu Muhammad s.a.w. Sebelum kita sudah ada beribu umat manusia dan sudah beratus nabi diturunkan buat membawa peringatan dari Allah s.w.t. Kita wajib beriman kepada Allah dan Rasul. Tidaklah dikira ibadah kita andai kita bukan orang beriman. Tidaklah layak syurga bagi kita andai kita bukan orang beriman. Satu hari kita pasti mati. Dunia ini sementara. Setiap jiwa yang hidup itu pasti mati. Matilah kita dengan mati yang beriman. Jika mati dalam kekufuran, maka neraka tempat kembali, dan itu adalah seburuk-buruk tempat kembali.

Untuk menguji hidup dan ibadah kita, ada nafsu dan syaitan yang akan menggoda. Syaitan itu tak dapat kita ubah dan kawal, kerana itu adalah musuh yang nyata buat kita sampai kiamat. Manakala nafsu itu mampu diubah dan dikawal untuk menuju ke arah kebaikan. Kelazatan itu suatu nafsu. Kemanisan itu suatu nafsu. Kelazatan dan kemanisan iman itu adalah nafsu orang-orang beriman, sekurang-kurangnya kita berusaha ke arah itu jikapun kelazatan dan kemanisan itu belum datang pada kita. Kerana apa? kerana kita mahu menjadi hambaNya yang beriman dan bertaqwa. Sesungguhnya itulah golongan yang diredhai Allah. Kita mahu Allah redha diri kita. Kita mahu Allah redha hidup kita. Kita mahu Allah redha ibadah kita.

Merujuk pada hadis yang dibaca tadi, dapatlah kita tahu ada 3 golongan yang merasakan kemanisan iman.(3 kriteria orang yang rasa kemanisan iman)

1) Allah dan RasulNya lebih dicintai daripada selainnya

Nafsu berkeupayaan membuatkan kita mempunyai sifat cenderung pada sesuatu. Jika nafsu yang sudah tewas pada syaitan, maka nafsu itu sering cenderungkan kita pada maksiat dan perbuatan mungkar. Namun, nafsu yang sudah dikawal dengan iman (iktikad dalam hati) kepada Allah dan RasulNya, maka nafsu itu buat kita cenderung pada kebaikan dan hal-hal yang diredhai Allah.

Rasulullah s.a.w bersabda,
"Tidak layak seseorang dikatakan beriman, sehingga saya lebih dicintai olehnya daripada dirinya, anak-anaknya,kedua orang tuanya dan semua orang"

Allah s.w.t berfirman,
"Katakanlah , 'Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku, nescaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu'. Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani" (ali imran:31)

Janganlah kita yang mahu menjadi beriman ini, mahu menjadi orang yang layak dikatakan beriman seperti sabda Rasulullah tadi, dan dengan itu perlu benar-benar mencintai Allah dan Rasul bercerita soal cinta tanpa mendahului segala cinta di dunia ini dengan cinta Allah dan RasulNya.

Betapa memang ada di kalangan kita ini yang terlupa untuk hadirkan cinta Allah dan Rasul ke dalam dirinya, akan tetapi tak kenal penat lelah untuk mencari cinta manusia (suami atau isteri untuk dinikahi).

Betapa memang ada di kalangan kita ini, berasa bimbang kerana usia semakin lanjut (20 an 30 an belum bernikah), belum lagi ada pasangan hidup, belum lagi dapat memikat mana-mana manusia untuk dinikahi walaupun usaha mengurat dan usaha melamar sudah dibuat hampir 20 kali. Betapa kita ada bimbangkah untuk pastikan diri kita ini sudah ada rasa cinta pada Allah dan RasulNya mendahului segala cinta di dunia?

Betapa memang ada di kalangan kita ini, berasa sedih, hubungan cinta yang diikat dengan manusia terlerai, berasa hidup sudah tak bererti kerana ditinggalkan kekasih cinta hati ulam jantung hempedunya, betapa berasa frust menonggeng berguling kerana lamarannya ditolak gadis cun lagi solehah lagi comel lagi baik sopan santun ayu lagaknya. Namun, adakah kita berasa sedih jika hubungan kita dengan Allah terlerai? (meninggalkan solat, melupakan Allah, menjauhi majlis zikrullah, majlis ilmu mengingati Allah). Betapa adakah kita tahu hidup kita sebenarnya menjadi tidak bererti bukan bila kekasih hati kita meninggalkan kita, akan tetapi bila Allah 'meninggalkan' kita, membiarkan kita atas kerana kita tidak mahu lagi mendekati Allah.

Betapa kita mampu mendahului cintakan Allah dan RasulNya melebihi segalanya kerana siapa lagi yang bersama kita, menjaga dan melindungi kita jika bukan Allah? Hatta semasa berak, ibu kita tak mampu nak bersama kita, hatta isteri kita tak mampu manjaga kita, hatta anak-anak kita tak mampu menemani kita, akan tetapi Allah sentiasa melihat dan menjaga kita walaupun semasa berak. Oksigen terus disumbangkan untuk membolehkan kita bernafas. Pernafasan yang betul membantu kita membuang najis dengan senang walaupun najis kita busuk tetapi tidak pula kita termuntah kerana berak. Allah memberikan banyak nikmat. Itu baru semasa berak, belum lagi tidur. Semasa tidur walaupun kita tidur dengan isteri kita, namun mampukah isteri kita menjaga telinga kita dari dimasuki serangga sepanjang kita tidur? Tidak. Isteri kita pun ngantuk walaupun dia kata kasih pada kita, walaupun dia teman kita, tapi bila lena, dia mimpi apa kita pun tak tahu. Allah tidak tidur. Kita tidur, tapi Allah terus menjaga dan memberi nikmat pada kita. Subhanallah!

Betapa kita mampu cinta akan Rasulullah s.a.w. Berita tentang tauhid dan akidah untuk beriman pada Allah ini hanya tercapai bila didatangkan Rasulullah s.a.w. Malah, Allah sendiri memerintahkan kita cintakan Rasul. Jika kita kata sudah cinta Allah, mengapa pula kita tak mahu mencintai kekasih Allah yakni Muhammad s.a.w? Oh, selawatlah kita ke atas Rasul junjungan kerana para malaikat dan segala makhluk juga berselawat ke atas Nabi. Bagaimana mahu mengikuti rasul jika tiada rasa cinta akan Rasul? bolehkah kita cenderung untuk mengikuti seseorang tanpa ada rasa minat pada orang itu? ya, Rasulullah itu ada suri tauladan yang baik untuk kita ikuti. Mencintai rasul akan buat kita sayang akan sunnahnya, akan cinta untuk mengikutinya, akan cinta untuk bersuri tauladan yang baik jua.

2)Mencintai seseorang semata-mata kerana Allah.

Kita mencintai Rasulullah s.a.w semata-mata kerana Allah. Kerana Rasulullah kekasih Allah. Kerana Rasulullah mengajarkan kita jalan-jalan yang diredhai Allah. Jalan-jalan yang akan buat Allah mengasihani kita. Kerana Allah menyuruh kita suka dan redha dengan apa yang disukai dan diredhai olehNya. Apa yang disukai Allah adalah dipamerkan oleh kesukaan Rasulullah. Kerana Allah meredhai RasulNya. Meredhai para sahabat baginda. Meredhai orang-orang soleh. Kita cintakan Rasul, sahabat baginda dan orang-orang soleh semata-mata kerana Allah.

Lalu mengapa pula kita mesti mencintai seseorang kerana mukanya yang hensem, comel, kacak, lawa, segak, ayu, cantik, dan sebagainya? Ketahuilah jika kita mencintai seseorang kerana nafsu kita ke atasnya, kerana tubuh badannya mengeliurkan, kerana kita rasa kalau peluk dia best, kerana kita rasa kalau buat seks dengannya amat mengghairahkan, kerana kita mahu diri kita dibelai, dipeluk, dijilat, dikorek dan sebagainya, ketahuilah kita tak akan merasakan kemanisan iman.

Marilah kita sama-sama menghindari pujukan nafsu untuk kita jatuh hati ketika pandang buah dada orang, jatuh hati kerana terliur dengan aurat rambut orang, jatuh hati kerana lirikan manja, terjatuh hati dengan rengekan suara yang mengada-ngada gedik gelenyar, terjatuh hati dengan raba-rabaan sentuhan keji yang berdosa, terjatuh hati dan tergoda dengan semua nafsu kesyaitanan yang membuatkan kita terlupa untuk mencintai Allah dan RasulNya, maka tinggalkanlah walaupun kamu lazat dengannya. Itu kelazatan yang akan melemparkan kita ke dalam api. Marilah kita kasih dan mencintai semata-mata kerana Allah. Bagaimana? apa yang buat kita cenderung dan cinta itu adalah apa yang Allah juga redha dan sangat kasih akannya.

Marilah kita cintakan orang-orang yang berjuang di jalan Allah. Kerana Allah kasihkan orang-orang yang berjuang di jalanNya. Marilah kita cintakan orang-orang yang menuntut ilmu sebagai penghambaan pada Allah. Kerana Allah juga kasih pada orang-orang berilmu. Marilah kita cintakan orang-orang yang berakhlak dengan akhlak yang diajar oleh Rasulullah. Kerana Allah sukakan orang-orang yang menjaga akhlak. Marilah kita cinta akan orang-orang yang cintakan Allah dan RasulNya. marilah kita jatuh hati pada orang-orang sebegini. Marilah kita jatuh hati pada orang dengan sebab-sebab begini. Lalu apa patut kita buat untuk menunjukkan rasa cinta dan membuktikan cinta itu semata-mata kerana Allah? Marilah kita tunjuk dan buktikan dengan mematuhi adab-adab, batas-batas, dan segala sunnah Rasulullah s.a.w.

Betulkah kita jatuh hati dengan seorang perempuan kerana solehahnya dirinya atas tujuan semata-mata kerana Allah, jika kita menggoda perempuan itu untuk membuat perkara mungkar? mengajar perempuan itu suatu yang dilarang oleh Allah dan RasulNya? membawa perempuan itu ke lembah maksiat dan kejahatan nafsu kita? Celaka betul ya. Lalu kita mendakwa pada si perempuan, "aku mencintaimu kerana Allah". Celaka ya, nak menipu celaka betul ya. Begitu jugalah si perempuan jika mencintai si lelaki kerana sifat warak dan taqwanya, namun mengajak si lelaki untuk melanggar sunnah baginda, menggoda untuk berbuat maksiat, atau menghilangkan rasa lazat si lelaki untuk beriman dan bertaqwa, untuk berjuang dan berjihad, untuk zuhud dan berkorban kerana mahukan si lelaki lazat dengan dirinya semata-mata. Itu pun celaka juga.

Lalu jika sesudah bernikah atas niat kerana Allah, mengapa pula di dalam perkahwinan boleh timbul nafsu mendahului cinta pada Allah? Kerana main seks dengan isteri tidak best seperti disangka sebelum bernikah, maka kita berkasar dan menganiayainya, lalu menceraikannya iaitu perbuatan halal yang Allah murka. Kita rasa seronok bercerai? Kita seronok walaupun tahu perceraian itu Allah tak suka? Kita bercerai sebab tak puas seks dengan isteri? lalu kita kata kita kahwin kerana Allah. Lalu kita kata cinta isteri kerana Allah. Tapi sebenarnya kita kahwin sebab kita cintakan seks (gila seks). Sebenarnya kita cintakan isteri sebab nak puas main seks. Celaka ya.

Jika si isteri tak rasa cenderung nak melayan suami sesudah berkahwin, lalu apa makna si isteri kata cintakan suami kerana cintakan Allah dan RasulNya? Jika kita tak ikut sunnah baginda yang mengajar supaya isteri melayan suami, suami melayan isteri, layan melayan, mesra bermesra, belai membelai, kasih mengasih, supaya rumah jadi rumahku syurgaku. Mengapa tidak kita menerima isteri atau suami kita sebagai jodoh yang sudah ditentukan Allah? Bukankah apa yang Allah beri kita sebagai rezeki dan jodoh itu suatu yang terbaik buat diri kita? Mengapakah kita tidak menerima dengan penuh penghargaan dan syukur atas jodoh itu, padahal jodoh itu datang dari Allah cinta kita yang pertama dan utama? Lalu apa makna cinta seseorang semata-mata kerana Allah jika pemberian Allah tidak kita hargai dan menikmatinya dengan penuh seronok dan gembira?

Mengapa atas sebab-sebab kelemahan pasangan kita , mahu kita akhirkan dengan perceraian? Sebab suami makan berbunyi, kita nak cerai. Sebab isteri tak mandi pagi, kita nak cerai. Sebab suami bulu hidung tak buang, kita nak cerai. Sebab isteri kentut masa tidur, kita nak cerai. Sebab suami dengkur semasa tidur, kita nak cerai. Sebab isteri masak tak sedap, kita nak cerai. Adakah kita tak redha dengan apa yang Allah redha? Dan apakah kita tak benci dengan apa yang Allah benci? Perceraian itu Allah benci, kita mesti benci sama!

Lainlah jika bersama dengan pasangan kita itu menjurus kita ke neraka Allah. Maka kezaliman sudah berlaku. Suami murtad atau isteri curang. Isteri curang atau nusyuz pun masih boleh dididik. Menasihati, mengasing tidur, atau memukul untuk mengajar, semuanya boleh dibuat untuk menghargai si isteri. Isteri itu tanggungjawab dan amanah Allah buat sang suami. Mendapat isteri atau mendapat anak, kedua-duanya boleh dinikmati dan dihargai dan disyukuri dengan membawa dan memimpin mereka ke jalan benar. Didik dan tarbiyah.Itu baru cinta kerana Allah.Tak cukup keupayaan didik mengapa berani berkahwin? Tidakkah itu kahwin bukan kerana Allah? Nak kahwin kerana Allah mestilah siapkan diri untuk menjalankan amanah dengan baik, bina diri, tuntut ilmu, siapkan diri dengan kepimpinan, kerana selepas perkahwinan nanti Allah turunkan tugasan baru sebagai suami dan ayah.

Berkahwin dengan pilihan jemaah, berkahwin dengan pilihan ibu ayah, lalu selepas kahwin tidak hargai jodoh kita, ertinya kita letakkan perkahwinan itu semata-mata kerana cintakan jemaah, kita letakkan perkahwinan itu semata-mata kerana cintakan mak ayah. Jika itu situasinya, bukanlah kita berkahwin dan cinta isteri kita semata-mata kerana cintakan Allah. Kita tak akan layak berasa kemanisan iman.

3)membenci kekufuran sesudah Allah menyelamatkannya dari kekufuran itu

Setelah kita tanamkan cinta pada Allah dan Rasul. Setelah kita tanamkan cinta seseorang kerana Allah. Kita mestilah berasa benci jika cinta itu hilang. Kita mestilah benci jika iman itu hilang. Kita mestilah benci keadaan diri kita yang tiada cinta pada Allah dan Rasul atau rasa cinta seseorang semata-mata kerana Allah. Kita mestilah benci untuk kembali kepada keadaan yang jahil semula.

Kita mestilah hargai apa yang telah datang pada hati dan jiwa kita iaitu rasa cinta yang amat sangat kepada Allah dan Rasul. Sehingga apa sahaja yang Allah suka, kita suka. Apa sahaja Allah benci, kita benci. Apa sahaja Rasulullah suka, kita suka. Apa sahaja Rasulullah benci, kita benci. Sehingga pasangan yang kita kasih pun kerana Allah kasihkan orang-orang soleh dan solehah, maka kita kasih pasangan kita kerana dia soleh dan solehah. Kita suka kebaikan sebab Allah suka kebaikan. Kita datang dari Allah dan kita kembali padaNya. Semua nikmat dan pemberian di dunia hanya untuk menguji betapa kita cintakan Allah, lalu taat dan beriman padaNya, beribadah padaNya, dengar dan taat ajaran Rasulullah yang datang dari Allah.

Kita tak mahu dan benci serta memandang celaka semua sifat celaka. Kita memandang keji semua sifat yang keji. Kita tegas dengan iman kita walaupun orang musyrik benci.

Kita yakin islam agama yang menang. Menganut islam bererti kita menang. Melaksanakan ajaran Islam bererti kita menang. Islam agama yang Allah redha. Maka kita mesti redha dan sayang Islam. Apa sahaja yang Allah redha kita redha. Apa sahaja Allah benci , kita benci. Kita tak malu untuk memandang karut suatu yang karut walaupun serve nuffnang memberi kita duit. Kita tak akan suka gambar maya karin berposing menjadi hiasan dinding rumah kita, kerana Allah tidak suka maya karin berposing begitu apatah lagi kita jadikan hiasan pula suatu yang Allah tak suka.

Kita dah jadi ustaz yang berilmu, kita tak mahu kembali jadi kanak-kanak tak baligh yang tak ada ilmu. Kita dakwa kita pejuang agama Allah, kita mesti tegas dengan apa yang diperjuangkan agama Allah. Agama Allah memperjuangkan cintakan Allah. Maka kita perjuangkan cintakan Allah. Agama Allah perjuangkan cintakan Rasul, maka kita perjuangkan cintakan Rasul. Betapa hina bila kita memandang sinis orang yang berusaha untuk cintakan Allah, dengan berkata,

"eleh cintakan Allah konon. bila kau kahwin nanti mesti kau ada rasa cintakan isteri kau. kau dah main dengan isteri kau, baru kau tahu sedap tak sedap pompuan. jangan hipokritlah. tak yah lah kau poyo nak kata cintakan Allah semata-mata. "

Ini manusia yang tak mahu rasa kemanisan iman. Sudah Rasulullah berikan kriteria orang yang rasa kemanisan iman, maka kita latih diri kita menuju ke arah itu. Kita mahu cintakan Allah dan Rasul mendahului segalanya. Kita mahu cinta apa-apa semata-mata kerana Allah cintakannya. Ertinya memang kemanisan iman adalah apabila cinta Allah menjadi penentu segalanya. Bila kita berusaha ke arah itu, kita kena ejek.

Apa lagi yang Allah suka? Jihad dan korban.

Allah s.w.t berfirman,

""Hai orang-orang beriman, mahukah kamu aku tunjukkan suatu perniagaan yang dapat menyelamatkan kamu dari AZAB yang PEDIH?

(iaitu) kamu beriman kepada Allah dan rasulNya dan berjihad di jalan Allah dengan HARTA dan JIWAmu.Itulah yang LEBIH BAIK bagi kamu jika kamu mengetahuinya.

nescaya Allah akan MENGAMPUNI DOSA-DOSAmu dan MEMASUKKAN kamu ke dalam SYURGA yang mengalir di bawahnya sungai-sungai dan (memasukkan kamu) ke tempat tinggal yang baik di dalam syurga 'ADN. itulah KEMENANGAN yang besar."

(surah as-saff :10-12)

lalu bila kita kata kita sanggup korbankan jiwa kita semata-mata kerana Allah, boleh pula ada yang menegur "kita kena berani hidup bukan berani mati". Benar, Allah memerintahkan kita hidup dan tidak bunuh diri. Tapi bila sebut "sanggup korbankan jiwa semata-mata kerana Allah" ertinya dia bercita-cita syahid! Allah sukakan orang yang korbankan jiwa untuk syahid iaitu mati dalam berjuang di jalan Allah. Mereka tidak mati sebenarnya, malah mereka hidup. Berani syahid dan tak takut terkorban. Berani hidup untuk syahid bukan berani hidup sebab nak bawa anak bini berjalan-jalan.

sama juga bila kita bercerita soal pengorbanan harta untuk dakwah. Bukankah itu perniagaan yang dapat menyelamatkan kita dari azab yang pedih seperti yang disebut dalam surah as saff di atas. Boleh pula ada yang bertanya, "jika kita berkorban harta, nanti perniagaan kita nak untung apa?"

Ini kisah cinta orang-orang yang menang. Kita mesti benci untuk kembali menjadi orang-orang yang tewas tatkala kita sudah menuju ke arah cinta Allah dan RasulNya.