|KUMPULAN BLOG MFR
|RANGKAIAN MFR
|MISI MFR
|KOLEKSI TULISAN TOKOH
Keadaan meja saya selepas siap mencetak 45 salinan Ar-Risalah

JALAN PAYAH

Nak mencetus kebangkitan bukan senang. Kita boleh teriak dan memekik untuk bangkit rasa mahu pada kebangkitan pada masyarakat umum. Mungkin ada yang terpesona akan mengikut, ada yang amarah boleh menghangatkan, ada yang gelojak boleh mengombakkan gelora. Tapi kebangkitan bukan cerita satu dua hari. Kebangkitan bukan musim-musim tahi ayam. Kebangkitan bukan soal karisma satu dua pimpinan atau ikon. Kebangkitan adalah jalan sedar dan insaf yang berkesinambungan untuk meraih cita-cita agung.

Di situ kita semua sepakat mengakui mencetus kebangkitan adalah jalan payah, atau kita didendang oleh semangat nasyid Nada Murni dalam sunnah berjuang bahawa berjuang itu menempah susah.

Banyak dari kita takut untuk susah. Tapi lebih banyak yang takut untuk menempah susah dalam perjuangan agama. Kenapa? Kita selalu melihat ramai orang yang takut untuk hidup susah yakni hidup miskin serba kekurangan, akan selalu sanggup bersusah payah untuk lengkapkan diri dengan ilmu atau harta supaya tidak akan mudah menjadi miskin. Di sini kita lihat, orang yang takut susah, sanggup bersusah payah. Tapi bukan dalam perjuangan agama.

Cita-cita agama atau ad-deen kita iaitu Islam, adalah mencapai kemuncak ganjaran Allah iaitu keredhaanNya. RedhaNya adalah kunci RahmatNya.Dan, RahmatNya itu kunci ke SyurgaNya.

Orang yang beriman, merasai kelazatan cita-cita itu, seperti dia sudah merasai kelazatan imannya, lalu memperjuangkannya. Orang yang lemah iman, berasa mahu pada cita-cita itu, tetapi tak rasa lazat untuk memperjuangkannya. Orang yang tidak ada iman, tidak mengerti apa maksud cita-cita itu, dan tak ada idea untuk memikirkannya walau sesaat.


KEBANGKITAN PENYATUAN

Suatu kebangkitan selalu berteraskan penyatuan. Asasnya, hati-hati yang mahu pada kebangkitan itu bersatu. Hati yang bersatu, mudah untuk fikir juga bersatu. Fikir yang bersatu akan buat gerak kerja dan usahanya bersatu. Itu tonggak penyatuan. Hati, fikir, dan usaha. Kebangkitan berjalan kencang dan berombak deras dengan kadar kekuatan penyatuan hati, fikir dan usaha itu.

Kita tak memikirkan soal bilangan. Kebangkitan bukan soal bilangan. 1000 orang yang bersatu dan berusaha untuk bangkit adalah kebangkitan. 100 orang yang bersatu dan berusaha untuk bangkit adalah kebangkitan.10 orang yang bersatu dan berusaha untuk bangkit adalah kebangkitan. Kita memikirkan soal tali persaudaraan. Tali itu adalah penentu bilangan peserta kebangkitan. 10 orang yang bersaudara , tapi 5 sahaja yang bersatu untuk bangkit, kebangkitan itu lemah. 10 orang yang bersaudara, 7 sahaja yang bangkit, kebangkitan juga lemah. 10 orang yang bersaudara, kesemuanya bersatu dan bangkit, itu kebangkitan yang kita mahu cetuskan.

Orang menggelar kita idealis. Kita bukan idealis dengan obses pada cita-cita ideal, tapi kita memegang idealisme mengejar dan mencetus hakikat sebenar suatu perjuangan, bukannya menjadi golongan realisme yang konon berpijak di bumi nyata, tapi nyata hanya menyerah pada arus dan gelombang masa dan tempat. Semua kebangkitan adalah melangkaui dan menjangkaui masa dan tempat. Kebangkitan tidak terikat. Kebangkitan adalah bebas, maka ia deras, ia tuntas, ia kukuh pada asas, al Quran- sunnah tidak terlepas.

Nah, kebangkitan Islam bukan kisah dan dendangan berkala pada jenama dan label. Kita yang bersaudara sebagai muslim, adalah penegak-penegak kebangkitan itu. Kita tiada pilihan untuk duduk berlenggang, mengangguk-angguk bagai burung belatuk, bagai ayam mematuk, bagai kambing tersengguk, atau kucing mengantuk. Kita berkuasa untuk memilih untuk bangkit. Kebangkitan itu jelas. Penyatuan itu mendesak. Kekuatannya akan tersirna.

AZAM POLITIK PADA KEBANGKITAN

Orang yang berkelompok dalam tempurung kepartian yang sempit, ketaksuban yang lekit, sillabus dan modul yang diagung bagai syariat, adalah orang yang sakit. Kebangkitan yang berasaskan penyatuan akan mudah ditolak dengan dua alasan popular. Satu, bersatu itu adalah kamu masuk dalam kelompokku. Dua, bersatu itu adalah kamu mengikut caraku. Kita terlupa, penyatuan itu sangat diperlukan untuk lengkap melengkapi. Apa maksudnya? Ertinya ada caraku dan caramu yang sama, kita padukan. Ada caraku yang kurang, caramu menambah. Ada caraku yang lebih, caramu ditambah. Itu penyatuan. Itu erti dan makna bersatu.

Keegoan yang terhasil dari penghasilan pertubuhan, jemaah, gerakan, parti dan jenama atau firqah itu adalah mereka tahu diri mereka ada kekurangan, tetapi tak boleh diperbaiki, tak boleh diselarikan, tak boleh belajar mempelajari, tak boleh pinjam meminjam, tak boleh lari dari tertib, tariqah, mazhab, sillabus,modul yang hanya dicipta oleh ijtihad manusiawi. Jika benar jalan kita yang kita yakini, tak ada salahnya memperakui kebenaran jalan lain yang punya cita-cita sama itu. Penentunya asas kebangkitan kita, al Quran-sunnah tidak terlepas.

Mungkin di situ jarang kita dengar ada kejayaan dalam kebangkitan Islam secara global. Mengadun dan mengolah satu gerakan yang punya azam politik pada kebangkitan yang kuat, yang mampu menggerakkan segala kekuatan hasil penyatuan tadi- lengkap melengkapi, nampaknya tak banyak buahkan hasil, walaupun kita tahu kekuatan kita cukup padu, cukup lengkap.

Sahabat saya dari Mesir bernama Alaa dalam khutbah Jumaat pertamanya di Gofuku Mosalla di Toyama ini pernah berkata, "Kenapa tidak kita bersatu? Padahal Arab ada minyak, Pakistan ada nuklear, Afghanistan ada tentera, setiap negara muslim ada kekuatan tersendiri." Kita tidak ada penyatuan tadi. Kita tak sama hati, tak sama fikir, tak sama usaha. Sebab itu kita takut dengan idea meroboh sempadan negara dan kebangsaan, untuk tuju cita-cita khilafah. Kita beri alasan bukan-bukan, padahal semua faham itu saja solusi kekuatan kita sebagai saudara, sebagai satu ummah.

Tiadanya keberanian itu adalah punca sebenar azam politik pada kebangkitan kita longgar. Anda boleh lihat satu dua negara lantang dan berani, tapi semua itu tak bermakna untuk kebangkitan yang ingin kita cetuskan. Satu dua keberanian itu boleh dipancung mudah oleh musuh kerana sosok-sosok lain dalam ikatan tali persaudaraan ummah tadi duduk melentok, mengekor dan melutut.

KEBANGKITAN MUSLIM MALAYSIA

Kita biasa dengar, "jika tak boleh buat semua, jangan tinggal semua". Kebangkitan Islam global menuju kebangkitan khilafah itu buat kita tidak percaya , tidak mahu pada usaha ke arahnya. Tak mengapa. Bagaimana pula kebangkitan muslim di Malaysia saja? Masih takut dan kecut? Masih kurang berani dan fobia terlampau? Untuk bersatu di meja perbincangan saja, sudah malu-malu kera. Bagaimana mahu bagai kera diberi bunga?

Soalnya, kita terlalu sayang pada nama kelompok atau terang-terangannya taksub pada politik kepartian. Katanya, parti aku semua betul, parti kamu semua dusta. Memuji parti kamu, liabiliti parti aku. Menghina parti kamu, syarat setia pada parti aku. Angkat parti, puja puji, suka suki, tuju tahi. Tegur parti, kritik-kritik, kena jentik. Kita seharusnya serius. Masa amat genting dan penting. Letakkan nama parti itu di punggungmu. Angkat kembali cita-cita kita. Rasa lazat semula pada perjuangan agama. Satukan hati, fikir dan usaha. Kita cetus kebangkitan muslim Malaysia.

Saya tak setuju Malaysia sebuah negara yang berteraskan Melayu. Rujuk apa teras Melayu itu. Melayu berteras Islam. Lihat darah-darah yang mengalir dalam Kesultanan Melayu kita di Malaysia. Bukan semuanya darah seketurunan. Ada sahaja anak raja berwajah Eropah. Pernikahan mereka berjalan sah bukan kerana keturunan dan darah, tapi kerana Islam. Itu bukti bahawa teras yang kita patut angkat dan pasakkan adalah Islam. Pengumuman Tun Mahathir bahawa Malaysia sebuah negara Islam, jangan jadi jenama sahaja. Kita kena usaha letakkan asas itu jadi tapak, jadi menara, dan jadi kubah Malaysia.

Saya setuju dengan YB Zulkifli Nordin, bahawa kita mempunyai dua pertiga kerusi parlimen dikuasai orang Islam, padahal kita boleh buat bermacam perkara untuk martabatkan Islam di bumi Malaysia. Tapi bukan saja kerana orang Islam dipecahkan oleh 3 parti UMNO-PAS-PKR, tapi yang lebih penting berapa orang Yang Berhormat Muslim di Parlimen Malaysia setuju dengan kebangkitan Islam yang saya sebutkan ini? Berapa ramai mahu mengejar cita-cita agung itu? Berapa ramai rasa kelazatan memperjuangkannya?

Soal latar belakang, sejarah masa silam, kekurangan ilmu atau tidak biasa dengan perjuangan Islam bukan soal yang besar. Saya mahu tahu akan kemahuan para Yang Berhormat saja. Cukup dengan rasa mahu itu, saya akan kutip nama. Kemudian kita duduk mesyuarat. Kita satukan hati, fikir, dan usaha. Ini kebangkitan. Ingatlah Islam itu memimpin, WAJIB memimpin bukan dipimpin. Saya sudi bekerjasama dengan YB Zulkifli Nordin jika benar beliau hanya memperalatkan politik untuk cita-cita Islam. Politik Penyatuan memang tema azam politik saya.

Tapi semua itu punya kekuatankah? Jika mosalla yang kita usaha sebagai pelajar-pelajar Malaysia di bumi Jepun ini, tak mampu kita imarahkan dengan penyertaan aktif dalam aktiviti harian, mingguan dan bulanannya? Kita boleh bermula di sini. Bumi Toyama ini boleh jadi saksi kepada lahirnya para pejuang kebangkitan, yang bukan saja bererti dalam memberi, tapi lebih bererti dalam menyertai, berkorban dan mengabadikan diri dalam perjuangannya. Saksikanlah kita mampu cetus kebangkitan. Insha Allah.

0 komentar: