|KUMPULAN BLOG MFR
|RANGKAIAN MFR
|MISI MFR
|KOLEKSI TULISAN TOKOH

Dalam kita terus membantu, menyelamat dan berdoa untuk semua mangsa banjir di Malaysia, saya pohon rakyat Malaysia menjadi sedar bahawa Pelan Pencegahan Banjir Secara Konkrit adalah kritikal dan mustahak untuk diadakan segera di Malaysia.

Dulu semasa menjelang PRU13, apabila melihat tiada satu pun manifesto parti politik mengutarakan idea pencegahan banjir di Malaysia secara konkrit, saya merasakan ia patut dimasuk dan dicadangkan dalam manifesto.Namun ada di kalangan kita respon itu adalah tanggungjawab kementerian. Tetapi mereka mungkin lupa, kementerian itu digerakkan oleh dasar kerajaan yang memerintah, dan yang dibincangkan di parlimen.

Yang lebih mustahak, kos pelan pencegahan banjir yang konkrit adalah tinggi memerlukan dana awam yang besar. Jika berbilion kos BRIM dapat dimasukkan dalam manifesto BN , mengapa tidak parti politik ini mengutarakan cadangan projek pelan pencegahan banjir walaupun perlukan kos berbilion juga.

Malah sekarang menjadi bukti bahawa BRIM yang diterima dahulu menjadi tidak berbaloi apabila sekali bencana banjir berlaku, rakyat miskin atau sederhana hilang harta benda sehelai sepinggang. Malah korban nyawa pula tak dapat diganti.

Banyak idea mampu dilaksanakan sebagai pelan pencegahan banjir yang konkrit, antaranya pembinaan terowong air (dalam tanah) atau jalan air alternatif (berbentuk jambatan atau terusan) yang hanya dibuka apabila sungai-sungai di Malaysia melebihi paras bahaya (yang mampu menenggelamkan kawasan penempatan), selain menempatkan semula tanah-tanah kediaman atau kampung ke kawasan yang tinggi atau ditinggikan.

Apabila kita berkata pelan pencegahan banjir ertinya kita membina infrastruktur bagi mencegah banjir, kita tak berkata tentang pengurusan bencana yang hanya fokus pada operasi menyelamat dan membantu setelah banjir berlaku. Saya harap rakyat Malaysia akan bertekad untuk mendesak parti politik mengemukakan manifesto pelan pencegahan banjir yang konkrit ini dalam PRU14 jika rakyat masih mahukan parti politik memimpin negara ini.

Jika tidak, saya harap rakyat mempertimbangkan untuk laksanakan Musyawarah Umat, dengan rakyat sendiri bermusyawarah dan berorganisasi secara komuniti untuk menaikkan ADUN dan Ahli Parlimen sendiri (dengan mencalonkan calon cadangan dari rakyat, dan rakyat bertekad memenangkan calon itu) serta boikot semua parti politik supaya rakyat berkuasa untuk menentukan hala tuju negara, dan bukan lagi parti politik.

Saya harap rakyat Malaysia sudah mula sedar kita perlukan politik yang bawa solusi bukan hanya isu popular untuk diulang-ulang semasa pilihanraya.
Ini harapan akhir saya sebelum PRU14 nanti. Sebelum saya offline bermula 2015.

Rujuk:
1. 6 Perkara tentang parti politik yang jarang rakyat Malaysia sedar menjelang pilihanraya:
https://www.facebook.com/photo.php?fbid=299864753449998&set=a.207854855984322.30218.100002794267166

2. 6 Sifat ahli parlimen yang tidak layak ada dalam Parlimen Malaysia:
https://www.facebook.com/photo.php?fbid=301582366611570&set=a.207854855984322.30218.100002794267166

3. 6 Sifat ADUN yang tidak layak wakili rakyat hanya layak wakili parti politik:
https://www.facebook.com/photo.php?fbid=301188216650985&set=a.207854855984322.30218.100002794267166
Saya sarankan kita semua baca semula dari awal hingga akhir surah Hud. Ada banyak peringatan berguna yang boleh kita gunakan dalam perjuangan dakwah yang sedang dihadapi di Malaysia ini : http://www.surah.my/11

Pada peribadi saya sendiri, saya mengambil iktibar hal berikut:

1. Ada orang di Malaysia yang bersungguh-sungguh meminta agar usaha dakwah tak dijalankan ke atas Non Muslim dengan mendakwa tiada paksaan untuk masuk islam. Mereka memandang suatu yang tak bermoral jika kita sampaikan pesanan-pesanan Allah dalam alQuran kepada Non Muslim, dalam masa yang sama kita sekat ajaran-ajaran agama Non Muslim dari disebarkan. Mereka malah cuba popularkan amalan beragama bersama dengan minta Muslim sama-sama bergembira pada hari perayaan agama-agama Non Muslim, mengucapkan ungkapan-ungkapan syiar agama Non Muslim atas alasan itulah kasih sayang sesama manusia dan perpaduan masyarakat majmuk.

Padahal, tiada paksaan untuk masuk islam bererti kita tak boleh melakukan kekerasan ke atas non muslim, tapi tetap wajib menyampaikan kalam Allah dalam alQuran kepada mereka, seperti mana kisah-kisah Rasul dalam surah Hud ini. Jika kita sudah bacakan amaran-amaran Allah ke atas semua amalan syirik dan kufur manusia kepada Allah, sanggupkah lagi kita berasa gembira melihat rakan-rakan Non Muslim kita bergembira dalam perayaan syirik mereka, malah boleh mengungkap ucapan-ucapan syiar agama mereka untuk berikan mereka rasa lega atas kekufuran pada Allah?

2. Ada orang di Malaysia ini, malu kalau Non Muslim marahkan mereka tatkala kita Muslim bacakan ayat-ayat Allah kepada Non Muslim. Mereka takut diejek, dicela, dilabel, dihina, dituduh, difitnah, padahal lihat bagaimana kaum-kaum yang diutuskan para Rasul buat pada Rasul mereka, penghinaan tak mematahkan semangat para Rasul. Tugas dakwah hanyalah menyampaikan dengan penuh akhlak. Pandailah Allah s.w.t membalas segala keingkaran, kejahatan, dosa-dosa Non Muslim ke atas para pendakwah. Lebih keras azab buat Muslim munafik yang menghalang jalan dakwah dan lebih sudu dari kuah dari Non Muslim dalam mengejek, menghina, melabel para pendakwah. Biar musuh Allah ini panggil kita butthurt ke, dangkal ke, literal ke, ekstremis ke, asal kita jalankan tanggungjawab dakwah yang tiada khilaf di kalangan semua ulama tafsir, fiqh, usul fiqh, ulumul quran, ulumul hadis muktabar di kalangan ahlus sunnah wal jamaah.

3. Dalam surah Hud ini juga, banyak disebut tentang orang yang selamat dari azab Allah dan mendapat rahmat itu adalah yang beriman, sabar dalam mengerjakan amal soleh dan tunduk taat menunaikan ibadat dengan khusyuk. Malah itulah yang disebut sebagai ahli syurga dalam ayat ke 23.
Dalam kita berdakwah memberikan peringatan dan pengajaran kepada Muslim dan Non Muslim di Malaysia, kita kena ingat pendakwah yang mengimpikan syurga itu bukanlah semata-mata sibuk berhujah sana dan sini hingga lupa untuk usahakan iman sendiri, lupa untuk latih diri dengan sabar, lupa untuk perbanyakkan lagi amal soleh lain, dan lupa untuk usaha khusyuk dalam ibadat sendiri. Hujah semata-mata tanpa diperbanyakkan amal hanyalah air liur basi yang tiada kemuliaan di sisi Allah.

4. Dalam dakwah para Rasul yang diceritakan dalam surah Hud, terdapat bermacam jenis golongan yang masih dilihat pada akhir zaman ini. Mereka seperti golongan elit/bangsawan yang memandang hina golongan marhaen miskin pada zaman Nabi Nuh, golongan marhaen yang syirik dan jadi pak turut kepada ketua-ketua seperti kisah kaum Aad pada zaman Nabi Hud,golongan syirik dan percaya kuasa khurafat seperti kisah kaum Tsamud pada zaman Nabi Soleh, golongan LGBT seperti kisah kaum Lut pada Nabi Ibrahim, golongan kapitalis yang tamak harta seperti penduduk Madyan pada zaman Nabi Syuaib, atau golongan pemerintah dan ahli politik bongkak dan angkuh seperti Firaun di zaman Nabi Musa. Semua para Rasul itu dalam menghadapi apa saja golongan, seruan mereka tetap BERIMANLAH KEPADA ALLAH.

Pada pandangan saya, eloklah para pendakwah mengulang-ulang baca surah Hud dari semasa ke semasa. InshaAllah makin banyak kali kita baca, makin banyak lagi kita akan faham erti DAKWAH sebenar. Termasuklah adik-adik yang mahu menjadi pelukis komik dakwah. Janganlah tertipu dengan golongan yang melukis komik fantasi yang bertentangan dengan nilai akidah, kemudian mendabik dada, "Aku juga berDAKWAH". Dakwah tak semurah itu. Bacalah surah Hud dari awal hingga akhir, baru tahu apa mesej agung DAKWAH sebenar. IMAN KEPADA ALLAH. Dan ia tak murah.

Tuntas.

mfr

1. Di Malaysia, garis panduan hukum dan fatwa berkaitan mengucap selamat pada perayaan bukan Islam sudah ada tahun 2007. Garis panduan hukum dan fatwa berkaitan menghadiri jemputan makan makanan halal pada perayaan bukan Islam juga sudah ada tahun 2005. Semua pihak tidak ada masalah dengan hukum dan fatwa ini untuk amalan orang awam Malaysia. Orang awam yang lemah dalam mendalami ilmu, kerana tidak ada masa atau tidak ada keinginan membaca kitab-kitab fiqh atau duduk bertalaqi di depan para alim, boleh mengikut hukum dan fatwa yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Malaysia ini:

http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-kebangsaan/hukum-orang-islam-mengucapkan-tahniah-dan-ucapan-selamat-bersempena-perayaan-agama
http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-kebangsaan/garis-panduan-orang-islam-turut-merayakan-hari-kebesaran-agama-orang-bukan-islam

2. Di Malaysia ini, ada umat Islam yang tak mahu baca garis panduan dan fatwa ini kerana pelbagai sebab, itu tak jadi masalah ASALKAN MEREKA IKUT SYARAT-SYARAT YANG DIKEMUKAKAN OLEH ULAMA FIQH YANG MUKTABAR AHLUS SUNNAH WAL JAMAAH. Ringkasnya, berkaitan ucapan selamat pada perayaan bukan Islam itu ijmak sepakat semua ucapan yang bercanggah dengan akidah, memuliakan syiar agama bukan Islam, bertentangan dengan konsep wala' dan bara' itu semuanya haram dan dilarang.

3. Cuma di situ ada khilaf dalam memenuhi tuntutan berbuat baik sesama manusia seperti yang terakam dalam surah al mumtahanah ayat 8 dan an nisa ayat 86, sebahagian ulama membenarkan ucapan selamat diucapkan dengan ayat-ayat umum seperti "selamat hari raya", "selamat bergembira" dengan menjuruskan ucapan itu sebagai DOA UMUM AGAR PADA HARI PERAYAAN ITU TIDAK BERLAKU MALAPETAKA DAN BENCANA ATAS KEMURKAAN ALLAH KEPADA ORANG-ORANG YANG MENSYIRIKKANNYA. Sebahagian ulama melarang juga ucapan seperti itu kerana BIMBANG umat Islam awam yang mengucapkannya bukan menjurus kepada doa yang umum seperti itu, tetapi mereka BENAR-BENAR MELANGGAR WALA' DAN BARA' dan BENAR-BENAR RASA MAHU MERAIKAN PERAYAAN ITU DAN MAHU BERGEMBIRA BERSAMA-SAMA DENGAN BUKAN ISLAM PADA HARI BERKENAAN, TANPA KISAH SEDIKIT PUN PADA KEMURKAAN-KEMURKAAN ALLAH KE ATAS ORANG-ORANG YANG BERGEMBIRA KUFUR KEPADA ALLAH.

4. Nah, sekarang hal itu sudah pun berlaku. Umat Islam di Malaysia sudah ada yang mengikut faham HARUS MERAYAKAN KRISMAS MALAH MAHU MENGANJURKAN SAMBUTAN KRISMAS seperti apa yang sudah melanda umat Islam Indonesia dan beberapa negara Islam yang lain. Padahal khilaf pendapat ulama hanya sekitar mengucapkan selamat pada perayaan bukan Islam untuk berbuat baik sesama manusia, TAPI ULAMA TIADA KHILAF MALAH SEPAKAT TUNTAS HARAM MERAYAKAN MALAH MENGANJURKAN SAMBUTAN KRISMAS!

5. Sekarang, persoalannya umat Islam Malaysia yang tak mahu ikut garis panduan dan fatwa yang dikeluarkan jawatankuasa fatwa Malaysia ini, mereka juga tak mahu ikut hukum dan fatwa ulama fiqh muktabar ahlus sunnah wal jamaah, MEREKA INI IKUT AJARAN ALQURAN DAN AS SUNNAH ATAU TIDAK? Tuntaslah jawapannya, MEREKA TAK IKUT DAN TAK NAK IKUT.

6. Bukan isu ini saja kita lihat ada umat Islam yang tak nak ikut ajaran alQuran dan assunnah, banyak dah isu macam inilah juga jadinya, kita dah sampaikan, TAPI MEREKA TAK IKUT. Kita kata solat jangan tinggal, TAPI MEREKA TAK IKUT. Kita kata puasa wajib jangan tinggal, TAPI MEREKA TAK IKUT. Kita kata jangan buka aurat, kalau dah pakai tudung, jaga aurat seluruhnya bukan kepala saja, TAPI MEREKA TAK IKUT. Kita kata jangan keluar dating berdua lelaki perempuan, jangan dekati zina, TAPI MEREKA TAK IKUT. Kita kata jangan mencarut kata kotor rosak akhlak, TAPI MEREKA TAK IKUT. Kita kata penuhkan parlimen dengan Undi Muslim Berwibawa supaya usul undang-undang Hudud dan pindaan perlembagaan kepada Pro-Syariat dapat diluluskan, TAPI MEREKA TAK IKUT. Kita kata drama filem dakwah oleh Muslim jangan masukkan aksi jahil buka aurat sentuh peluk gomol tahyul khurafat, TAPI MEREKA TAK IKUT. Kita kata komik yang harus dilukis Muslim wajib berteraskan alQuran dan asSunnah dan tak langgar sunnatullah dalil aqli atau naqli, TAPI MEREKA TAK IKUT. Kita kata belajar akidah, fahamkan wala' dan bara', nak jadi Muslim bukan hanya tahu mengucap dan IC ada status Islam semata-mata, wajib belajar dan dalami ilmu Islam hingga amalan kita benar-benar amalan yang diredhai Allah, TAPI MEREKA TAK IKUT. Banyak dah kita kata, sampaikan, seru mereka, TAPI MEREKA TAK IKUT.

7. Makanya kita kena faham MENGAPA MEREKA TAK IKUT. Mungkin kita SEBENARNYA YANG SALAH. Kita seru mereka guna status fesbuk, emel, surat, mesej, tapi kita tak pergi bertemu mereka dan sentuh hati mereka untuk mereka dengar butir demi butir apa yang diperintahkan oleh Allah dan Rasul. Mungkin kita yang tak pandai terangkan, hingga mereka rasa apa yang kita cakap tak masuk dek akal. Mungkin kita ini yang buruk amal dan akhlak, hingga mereka rasa jijik dengan apa yang kita katakan. MAKA LEPAS KITA DAH USAHA SAMPAIKAN, KITA MUHASABAH DIRI, MOHON AMPUN DARI ALLAH, MENANGIS TAUBAT, DAN KITA PERBAIKI LAGI AMAL, AKHLAK DAN ILMU KITA.

8. Kalau kita dah buat macam-macam pun, apa yang kita sampaikan masih lagi MEREKA TAK IKUT. Kita kena baca semulalah firman Allah:

Katakanlah: Timur dan barat adalah kepunyaan Allah; Allah yang memberikan hidayah-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya ke jalan yang lurus.(al baqarah:142)
Sesungguhnya engkau tidak berkuasa memberi hidayah kepada sesiapa yang engkau kasihi tetapi Allah jualah yang berkuasa memberi hidayah kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya; dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mahu menerima hidayah. (al Qasas:56)

Dan katakanlah: “Kebenaran itu ialah yang datang dari Tuhan kamu, maka sesiapa yang mahu beriman, hendaklah dia beriman dan sesiapa yang mahu kufur ingkar, biarlah dia mengingkarinya.” (al Kahf:29)

Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami, sesungguhnya Kami akan memberi hidayah ke jalan-jalan Kami dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya. (al ankabut:69)

Katakanlah: Taatilah Allah dan Rasul-Nya. Jika kamu berpaling, maka sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang kafir. (Ali ‘Imran: 32)

Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab Suci Al-Quran yang menyatakan segala kebenaran (untuk menjadi panduan hidup) kepada umat manusia seluruhnya. Oleh itu sesiapa yang mendapat hidayah petunjuk (beramal menurutnya), maka faedahnya terpulang kepada dirinya sendiri; dan sesiapa yang sesat (tidak berpandu kepadanya), maka bahaya kesesatannya itu tertimpa ke atas dirinya sendiri; dan engkau (wahai Muhammad – hanyalah penyampai) bukanlah menjadi wakil yang menguasai (keadaan dan bawaan) mereka. (az zumar:41)

Sesungguhnya orang-orang kafir, sama saja bagi mereka, kamu beri peringatan atau tidak kamu beri peringatan, mereka tidak juga akan beriman. Allah telah mengunci-mati hati dan pendengaran mereka, dan penglihatan mereka ditutup. Dan bagi mereka siksa yang amat berat. (al baqarah: 6-7)

Dan (bukanlah tanggungjawabmu wahai Muhammad menjadikan seluruh umat manusia beriman), jika Tuhanmu menghendaki nescaya berimanlah sekalian manusia yang ada di bumi. (Janganlah engkau bersedih hati tentang kedegilan orang-orang yang ingkar itu; kalau Tuhan tidak menghendaki) maka patutkah engkau pula hendak memaksa manusia supaya mereka menjadi orang-orang yang beriman?
Dan tiadalah sebarang kuasa bagi seseorang untuk beriman melainkan dengan izin Allah (melalui undang-undang dan peraturanNya) dan Allah menimpakan azab atas orang-orang yang tidak mahu memahami (perintah-perintahNya). (Yunus:99-100)

"Dan jika ada segolongan dari kamu beriman kepada wahyu (perintah-perintah Allah) yang aku telah diutuskan untuk menyampaikannya, dan segolongan lagi tidak beriman, maka sabarlah sehingga Allah menjalankan hukumNya di antara kita semua, dan Dia lah jua sebaik-baik hakim".(al a'raf: 87)

Tuntas.

mfr
Tuan Saiful Nang menulis:

KRISTIAN DAN ISLAM : LIHAT CONTOH BORNEO BETUL-BETUL NANTI PM PUN JALAN TUNDUK TUTUP MUKA KERANA 1MALAYSIA DAH LAMA ADA DI SANA.
Tindakan PERKASA yang merentap ucapan krismas di hadapan pejabat DAP dan juga kenyataan dalam laman HT yang minta umat Islam berwaspada kerana perayaan krismas itu dikatakan bertujuan untuk mengkristiankan orang Islam.
Tindakan pertama itu wajar diberi pelempang ramai-ramai. Tindakan kedua yang mengatakan ia satu usaha penyebaran agama Kristian di kalangan orang Islam sangat lari dari kenyataan.
Hari ini, kita banyak sangat salahkan agama lain yang menjalankan rutin dan ritual harian atau mingguan mereka. Kita mahu orang hormat Islam, biarlah orang hormat Islam kerana kita juga hormat orang lain. Biarlah Islam itu menjadi tinggi berbanding yang lain kerana ia memang tinggi bukannya jadi tinggi dengan menjatuh atau memburukkan yang lain.
Di Sabah dan Sarawak, bila krismas sahaja orang Islam juga beraya sama. Semasa Aidilfitri, orang kristian juga rayakan bersama walaupun sebelum laungan SATU MALAYSIAA!! (sambil acungkan jari telunjuk ke langit). Itu baru namanya perpaduan dan toleransi beragama.
Ibu-ibu dan bapa-bapa, terapkan aqidah dalam diri anak-anak kita sehingga berakar dan bertunjang. Kemudian jangan risau kalau ada ribut ataupun angin. Ini kerana kita tak didik anak-anak kita dengan kuat pegangan kepada Islam sehingga berakar umbi, kita nak salahkan orang buat krismas, orang buat ucapan krismas, orang edar air minuman dari gereja, takutkan orang gereja hantar bantuan banjir, takut dengan orang kristian beri bantuan orang gelandangan dan banyak lagi.
Jika hanya dengan masuk ke dalam gereja dan boleh buatkan orang Islam jadi Kristian, itu bukan salah Kristian...tapi salah didikan dan aqidah yang ditanam oleh ibu bapa yang tidak berakar dan tidak kuat. Tak payah ribut, tapi angin sepoi-sepoi bahasa pun boleh tumbang.
Jangan risau sangat anak jadi Kristian lepas hari Krismas, sebalinya takutlah anak-anak kita yang Islam itu dah pakai baju mengalahkan Lady Gaga, Rihana atau Maria Ozawa. Langsuir pun pandai pakai baju longgar walaupun hantu. Takutlah lebih kepada anasir yang masuk ke dalam handphone anak-anak kita yang tak boleh dikawal sehingga dalam kajian rambang di sebuah sekolah di Selangor oleh seorang guru kaunselling mendapati 7 dari 10 orang anak-anak gadis Melayu tingkatan 1 dan 2 telah merasai seks .
Yang itu dulu patut kita takut. Tukar agama secara rasmi itu sekadar penamat seperti satu perlumbaan marathon dan tukar agama itu cuma PENAMAT kerana sebelum tukar agama mereka telah TUKAR GAYA HIDUP mereka dahulu. Hari ini, bapa-bapa yang garang dengan anak pun tak berani nak cakap banyak bila anak gadisnya keluar dengan baju ketat walaupun bertudung. Siap bagi bajet lagi untuk anak-anak shopping sendiri baju ketat dan baju dalam yang fancy dengan lace ropol-ropol untuk tatapan teman lelaki yang sering projek di hotel 2 jam.
Jangan selalu sangat tuding jari ke orang lain. Orang Hindu sambut Diwali dan Orang Cina sambut CNY bakar mercun semalaman kita tension dan shout marah-marah dalam Facebook tanpa kita sedar sepanjang bulan puasa dan raya kita bakar mercun tak berhenti-henti. Kita hidup 1 negara kongsi-kongsi, pandai-pandailah bertoleransi.
Kristian ialah agama dan ada penganutnya. Mereka hormati kita dan kita juga wajarnya hormati mereka. Jika ada sebahagian penganut agama lain yang biadab tidak bermakna kesemuanya biadab juga. Tak semua orang macam Alvin the Porn Blogger.

SAIFUL NANG
Tuan menyebut: "Di Sabah dan Sarawak, bila krismas sahaja orang Islam juga beraya sama. Semasa Aidilfitri, orang kristian juga rayakan bersama walaupun sebelum laungan SATU MALAYSIAA!! (sambil acungkan jari telunjuk ke langit). Itu baru namanya perpaduan dan toleransi beragama."

Rujuk: https://www.facebook.com/snfanclub/posts/10152655443060958

Saya ingin bertanya, bolehkah saya tahu, adakah tuan redha, suka dan gembira dengan situasi Muslim di Sabah dan Sarawak merayakan krismas? Jika tuan redha, suka dan gembira dengan situasi itu, dari fatwa manakah tuan rujuk harusnya Muslim merayakan perayaan Non Muslim?

Fatwa paling lunak yang saya dapat jejak pun datang dari Dr MAZA dan Majlis Fatwa Eropah yang mengharuskan ucapan tahniah dan selamat sempena perayaan Non Muslim DENGAN SYARAT-SYARAT TERTENTU. Tapi mereka juga mengharamkan perayaan agama Non Muslim.

Dr MAZA menulis: "Sementara Majlis Fatwa Eropah (The European Council For Fatwa and Research) yang dianggotai oleh ramai sarjana muslim membolehkan muslim memberikan ucapan tahniah atau selamat sempena perayaan mereka (Congratulating Non-Muslims on Their Festive Occasions). Ini lebih dituntut apabila mereka terlebih dahulu mengucapkannya semasa perayaan Islam. Ini berteras ayat dalam Surah al-Nisa, ayat 86 yang kita sebutkan tadi. Pun begitu, MEREKA TETAP MENGHARAMKAN MUSLIM MENYERTAI PERAYAAN AGAMA LAIN. Hanya sekadar ucapan sempena perayaan."

"Dengan ini saya berpendapat, boleh mengucapkan selamat hariraya kepada penganut agama lain sempena perayaan mereka dengan syarat ucapan tersebut tidak mengandungi ungkapan yang syirik atau kufur seperti menyebut ‘anak Allah’ atau tuhan selain Allah. Maka, memadai sekadar ‘selamat hariraya’ atau ‘selamat bergembira’ atau seumpamanya. Hal ini lebih dituntut jika semasa hariraya Islam mereka mengucapkannya."

"Namun, seorang muslim TIDAK BOLEH TURUT MERAYAKAN HARI RAYA AGAMA LAIN. sebabnya, perayaan agama merupakan upacara agama. Bukan muslim pun tidak patut disuruh merayakan hariraya kita. Perpaduan antara kita sesama rakyat muslim dan bukan muslim bukan dengan berkongsi hariraya, tetapi dengan keadilan, berbuat baik dan tidak menzalimi antara satu sama lain."

Rujuk: http://drmaza.com/home/?p=1277

Jadi, fatwa ulama yang manakah yang mengharuskan Muslim merayakan Krismas?

Saya tunggu jawapan tuan.

KOMEN-KOMEN YANG MENJAWAB

Bismillah.

1. Saya telah baca semua reply atas komen saya kepada Tuan Saiful Nang di page beliau. Walaupun saya hanya menunggu reply dari Tuan Saiful Nang, namun semua reply tersebut saya ambil berat dan pandang serius untuk diteliti.

2. Saya tidak nampak mana-mana reply yang membantu persoalan saya kepada Tuan Saiful Nang, iaitu:
i. adakah tuan (saiful nang) redha, suka dan gembira dengan situasi Muslim di Sabah dan Sarawak merayakan krismas?
ii. fatwa ulama yang manakah yang mengharuskan Muslim merayakan Krismas?

3. Reply yang hampir menjawab, saya kira datang dari Tuan Tarudi Juha. Malangnya beliau lampirkan suatu yang saya sudah sedia maklumkan dalam komen di atas, iaitu pandangan atau fatwa lunak ulama yang mengharuskan ucapan tahniah dan selamat pada perayaan non muslim DENGAN SYARAT-SYARAT TERTENTU. Walaupun begitu, saranan beliau untuk rujuk e-fatwa memang tepat, iaitu seperti berikut:
http://www.e-fatwa.gov.my/.../garis-panduan-orang-islam...

4. Sekiranya diteliti garis panduan e-fatwa, keharusan Muslim menghadiri perayaan bukan Islam hanyalah menghadiri jemputan MAKAN MAKANAN HALAL DENGAN SYARAT TIADA LANGSUNG UNSUR ATAU SIMBOL KEAGAMAAN BUKAN ISLAM PADA MAJLIS TERSEBUT. Antara unsur keagamaan yang perlu diberi perhatian berkaitan dengan Krismas dalam garis panduan tersebut adalah:
i. tidak menyertakan simbol-simbol agama seperti salib, memasang lampu, lilin, pokok krismas dan sebagainya.
ii. Tidak mengadakan bunyi-bunyian atau hiasan seperti loceng gereja, pokok krismas, kuil atau memecah kelapa;
iii. Tiada percampuran bebas tanpa batas dan adab sopan;
iv. Tiada ucapan-ucapan atau nyanyian berbentuk dakyah keagamaan bukan Islam

5. Melihat kepada perkara-perkara yang perlu diberi perhatian itu, jamuan makan di DALAM RUMAH rakan atau saudara keluarga Kristian yang biasa ada SALIB dan POKOK KRISMAS adalah HARAM UNTUK DIHADIRI. Apa lagi majlis yang memasang lagu-lagu chrismas yang sememangnya nyanyian dakyah keagamaan.

6. Secara tuntasnya, e-fatwa membataskan Muslim hanya harus menghadiri jamuan makan makanan halal yang dijemput oleh rakan atau saudara keluarga Kristian dan bukannya PERAYAAN KRISMAS.

7. Jika maksud Tuan Saiful Nang pada ayatnya "Di Sabah dan Sarawak, bila krismas sahaja orang Islam juga beraya sama" hanya menggambarkan "beraya" itu adalah menghadirkan diri atas jemputan jamuan makan makanan halal semata-mata dengan mengambil kira garis panduan e-fatwa, perkara itu bukan saja berlaku di Sabah dan Sarawak tapi seluruh negeri di Malaysia sama ada pada rumah terbuka besar-besaran atau sekecil-kecil jamuan makan sesama rakan sekerja. Rezeki jangan ditolak, musuh jangan dicari, orang offer makan, kita sambut dengan syukur rezeki dari Allah.

8. Jika maksud Tuan Saiful Nang pada ayatnya "Di Sabah dan Sarawak, bila krismas sahaja orang Islam juga beraya sama" hanya menggambarkan "beraya" itu adalah berasa gembira bercuti bersama keluarga dan membeli belah, maka itu juga berlaku di seluruh negeri di Malaysia tidak kira cuti perayaan, cuti peristiwa, cuti umum, cuti rehat dan sebagainya.

9. Tapi tuan puan harus memandang ayat Tuan Saiful Nang secara keseluruhan iaitu:
i. Tajuknya adalah: KRISTIAN DAN ISLAM : LIHAT CONTOH BORNEO BETUL-BETUL NANTI PM PUN JALAN TUNDUK TUTUP MUKA KERANA 1MALAYSIA DAH LAMA ADA DI SANA. Tuan Saiful Nang jelas mahu memfokuskan pada keadaan "1Malaysia" yang ada di Sabah dan Sarawak tapi TIADA DI NEGERI LAIN DI MALAYSIA. Jadi, ini bukan soal beraya bercuti bersama keluarga atau membeli belah sempena cuti Krismas.
ii. Ayat "Di Sabah dan Sarawak, bila krismas sahaja orang Islam juga beraya sama", itu disambung dengan ayat, " Semasa Aidilfitri, orang kristian juga rayakan bersama walaupun sebelum laungan SATU MALAYSIAA!! (sambil acungkan jari telunjuk ke langit). Itu baru namanya perpaduan dan toleransi beragama." Jelas menunjukkan "1Malaysia" yang Tuan Saiful Nang mahu highlight adalah "berkongsi raya" dengan menganggap itu sebahagian "perpaduan dan toleransi beragama".

10. Ini mampu memberi makna pada ayat Tuan Saiful Nang bukan memaksudkan beraya dengan hanya hadir jamuan makan makanan halal, tapi HADIR DALAM SUASANA PERAYAAN AGAMA SEDANG DIRAYAKAN. Melihatkan Tuan Saiful Nang tidak meletakkan batas dan garis panduan, tentunya majlis yang dibayangkannya dalam memperkatakan "bila krismas sahaja orang Islam juga beraya sama" merujuk kepada perayaan dengan SUASANA KRISMAS dengan tanda salib, pokok krismas, lagu-lagu krismas dipasang dalam majlis itu.

11. Apa-apa pun sekiranya dua persoalan saya kepada Tuan Saiful Nang mampu dijawab, maka kepastian pada IKTIKAD maksud ayat Tuan Saiful Nang dapat dileraikan. Oleh itu, Tuan Saiful Nang perlu segera memberikan jawapan pada dua persoalan tersebut:
i. adakah tuan (saiful nang) redha, suka dan gembira dengan situasi Muslim di Sabah dan Sarawak merayakan krismas?
ii. fatwa ulama yang manakah yang mengharuskan Muslim merayakan Krismas?

Tuntas.

mfr


1. Adik-adikku, akan tiba satu zaman kau akan melihat sahabat-sahabatmu yang Muslim sudah tidak kenal lagi apa itu akidah wala' dan bara' seorang Muslim. Kau akan lihat saudara-saudara dan teman-teman mereka berkerumun tanda menyokong mereka untuk abai dan remehkan saja wala' dan bara' seorang Muslim. Kau pasti akan lihat zaman itu berlaku depanmu nanti.

2. Mereka akan berkata, "Eh, bodohlah kau ini fikir orang Yahudi dan Nasrani cuba untuk menyesatkan orang Islam. Mana adalah! Itu dongeng pak ustaz kau saja! Agama Yahudi dan Nasrani ajar buat baik-baik saja, kau itu yang tak banyak bergaul dengan Yahudi dan Nasrani, itu sebab kau tidak tahu! Aku pun tak faham DARI MANA KAU DAPAT IDEA YAHUDI DAN NASRANI CUBA BERUSAHA MENYESATKAN UMAT ISLAM!".

3. Jangan kau jawab dia, kau diam saja. Kau ingatkan dirimu firman Allah s.w.t, surah Al Baqarah ayat 120: "Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan senang kepadamu sebelum kamu mengikuti agama mereka. Katakanlah, "Sesungguhnya petunjuk Allah itulah petunjuk (yang sebenarnya)". dan jika kamu mengikuti keinginan mereka setelah pengetahuan datang kepadamu, maka Allah tidak lagi menjadi pelindung dan penolong bagimu". Dari mana kita dapat idea Yahudi dan Nasrani cuba berusaha menyesatkan umat Islam adalah DARI ALLAH S.W.T SENDIRI! Itu jawabnya. Tapi kau jangan jawab dulu.

4. Mereka akan berkata lagi, "Apa masalah nak sambut Krismas sama-sama dengan orang Kristian? Setakat nak pakai topi Santa, topi Santa itu bukan datang dari ajaran Bible pun! Itu hanya suka-suka saja! Aku sebut Merry Chrismas macam orang-orang Kristian sebut sesama dia orang, ada aku jadi Kristian? Aku tetap Islamlah!".

5. Kau jangan kata apa-apa. Kau ingatkan dirimu kata-kata Saidina Umar r.a "Janganlah kamu mempelajari bahasa orang A’jam (belajar tiru cakap-cakap yang tak diketahui maksud dengan jelas) dan janganlah kamu memasuki gereja orang musyrik pada hari kebesaran mereka kerana kemurkaan Allah sedang menimpa mereka.” Dan ingat juga kata-kata Abdullah Ibn Umar r.a "Barangsiapa yang menetap di negara A’Jam dan mengadakan perayaan nairuz dan Mahrajan serta meniru mereka sehingga ia mati dalam keadaan demikian maka akan dihimpun bersama mereka pada hari qiamat." Apa saja perlambangan yang berupa simbol sehingga orang memahami sesiapa yang memakai simbol ini sedang merayakan perayaan kafir tertentu, itu adalah sebahagian tasyabbuh (meniru) yang dilarang. Topi Santa memang bukan berasal dari ajaran Bible, tapi topi itu lambang Santa Klaus yang menjadi simbol perayaan Krismas, perayaan penganut agama Kristian.

6. Sesudah itu, ada lagi mereka akan kata, "Kau tau tak, ulama atau ustaz semua itu manusia saja, bukan maksum! Ustaz-ustaz sekarang ini ada macam-macam pendapatlah. Kau ikut pendapat keras, kau jadi keras. Kenapa kau tak nak ikut ustaz yang lembut. Ustaz matrik aku kata, kita orang Islam kena hormat agama bukan Islam. Kau ingat kau menjauhi dari meraikan bersama-sama Krismas dengan orang Kristian ini, orang Kristian akan rasa dihormati tak? Mereka mesti terluka! Kau macam nak hina perayaan mereka! Come on, join je Krismas!".

7. Kau sabar dulu. Ingat sabda Nabi s.a.w dalam hadits Jarir bin Abdillah al-Bajali r.a, ketika dia datang untuk berbaiat kepada Nabi atas Islam. Nabi s.a.w bersabda, “Aku membaiatmu agar engkau beribadah kepada Allah s.w.t dan tidak menyekutukan-Nya dengan sesuatu apa pun, menegakkan shalat, menunaikan zakat, dan menasihati setiap muslim, serta memisahkan diri dari orang musyrik.
Dalam riwayat lain:“Berlepas diri (bara’) dari orang kafir.” (HR. Ahmad dan An Nasaie). Dan ingatlah juga ayat 6 dan 7 surah Al Fatihah, "Tunjukilah kami jalan yang lurus, (yaitu) jalan orang-orang yang telah Engkau beri nikmat kepada mereka, bukan (jalan) mereka yang dimurkai dan bukan (pula jalan) mereka yang sesat.” Sepakat para ahli tafsir bahawa jalan yang dimurkai itu adalah jalan Yahudi dan jalan yang sesat itu adalah jalan Nasrani.

8. Dengan itu, kau perteguhkanlah akidah wala' dan bara' seorang Muslim. Wala' kepada Islam dan Bara' kepada kekufuran. Bangga dan rasa cinta untuk taat patuh berpegang kepada seluruh ajaran Islam sehingga berperibadi luar dan dalam dengan Islam dan corak kehidupan yang membezakan dengan orang kafir, sepertimana jalan-jalan orang yang Allah cinta. Berlepas diri dan berasa benci untuk mengikuti jalan-jalan orang kafir yang ingkar dan yang tidak mahu beriman dan taat kepada perintah Allah yang telah disampaikan pada seluruh manusia, sepertimana jalan-jalan orang yang Allah benci. Itu pokok keimanan, sebagaimana disebut dalam hadis riwayat Ahmad, "“Sesungguhnya cabang keimanan yang paling pokok adalah kamu mencintai sesuatu karena Allah dan membenci juga karena Allah.”

9. Tatkala itu, kau lihatlah apakah sahabat-sahabatmu, saudara-saudara dan teman-teman mereka itu, mahu berperibadi Islam sebagaimana yang Allah cinta dan menjauhi lagi membenci peribadi dan gaya hidup kafirun sebagaimana yang Allah benci? Jika mereka saban waktu menyibukkan diri untuk hidup seperti orang kafir hidup, maka sahlah mereka lupa atau tidak tahu langsung soal akidah wala' dan bara'. Jika mereka itu masih menyibukkan diri untuk hidup seperti orang Islam dengan berusaha sungguh-sungguh mendalami, memahami dan mengamalkan ajaran alQuran dan sunnah,maka syukur mereka masih wala' pada Islam dan bara' dari kekufuran.

10. Dan apabila mereka berkata, "Kenapa kau diam, kau ada nak seru aku apa-apa?". Maka waktu itu, kau serukanlah, "”Sesungguhnya penolong kalian hanyalah Allah, Rasul-Nya, dan orang-orang yang beriman, yang mendirikan solat dan menunaikan zakat, seraya tunduk (kepada Allah). Barang siapa mengambil Allah, Rasul-Nya, dan orang-orang yang beriman menjadi penolongnya, sesungguhnya pengikut (agama) Allah itulah yang pasti menang.” (al-Maidah: 55—56), “Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebagian mereka (adalah) penolong bagi sebagian yang lain. Mereka menyuruh (mengerjakan) yang ma’ruf, mencegah dari yang mungkar, mendirikan shalat, menunaikan zakat, serta mereka taat kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah. Sesungguhnya Allah Mahaperkasa lagi Mahabijaksana.” (at-Taubah: 71), “Janganlah orang-orang mukmin mengambil orang-orang kafir menjadi wali (penolong) dengan meninggalkan orang-orang mukmin. Barang siapa berbuat demikian niscaya lepaslah ia dari pertolongan Allah, kecuali karena (siasat) memelihara diri dari sesuatu yang ditakuti dari mereka. Dan Allah memperingatkan kamu terhadap diri-Nya (untuk murka terhadap kalian). Dan hanya kepada Allah kembali (kalian).” (Ali Imran: 28).

11. Dan jika waktu kau bacakan ayat-ayat Allah itu, mereka tak sedikit pun terlintas mahu taat pada semua yang Allah perintah dalam alQuran dan semua yang diajar Rasul dalam as sunnah, serta mereka tak rasa sikit pun ada rasa sayang dan mahu bersama-sama orang beriman. Tetapi mereka itu terus mahu rasa sayang pada cara hidup orang kafir, sayang nak merayakan perayaan orang kafir, sayang dan gembira melihat kekufuran orang-orang yang Allah murka, lalu mereka itu tak rasa takut akan ditahan kaki-kaki mereka di akhirat nanti oleh orang-orang kafir itu sendiri dengan orang kafir itu berkata, "mengapa kau mahu ke syurga, padahal di dunia kau tidak kisah kami terus dalam kekufuran tanpa kau berikan kami seruan dan peringatan dari AlQuran, kalam Allah yang kau sudah tahu tapi kami belum tahu? Kau malah turut sama bergembira kami merayakan perayaan dari ajaran yang kufur yang Allah murka dan Allah laknat?".

12. Maka ketika itu, kau ingatlah semula firman Allah s.w.t surah Al A'raf ayat 87, "Dan jika ada segolongan dari kamu beriman kepada wahyu (perintah-perintah Allah) yang aku telah diutuskan untuk menyampaikannya, dan segolongan lagi tidak beriman, maka sabarlah sehingga Allah menjalankan hukumNya di antara kita semua, dan Dia lah jua sebaik-baik hakim".

Tuntas.

mfr
Dulu semasa saya cuba untuk melawan ideologi sekular yang melanda pembikinan karya dakwah dalam filem atau drama, orang menganggap saya cuma keyboard warrior. Jikapun betul saya adalah keyboard warrior, orang-orang yang melawan perjuangan menegakkan syariat dalam karya dakwah yang menghujani ruang komen blog saya itu, keyboard anti warrior kah?

Asas kepada pertentangan idea dalam isu ini adalah sebenarnya seruan agar pengkarya dakwah lari dari tipikal dan bergerak kepada kreativiti, yang anti-anti warrior di seberang sana merasakan kita yang menyeru ini adalah tipikal dakwah dan mereka yang menggunakan tipikal gaya perfileman dalam menyampaikan mesej pula, yang sebenarnya kreatif.

Contohnya bagi mereka, jika mahu menyampaikan mesej keinsafan dalam berubah perlulah menunjukkan babak-babak jahil seperti zina, disko, minum arak, buka aurat, seksi dan lain-lain sebelum berlaku transformasi ke arah hijrah islami. Saya anggap itu tipikal. Kerana syariat melarang kita menunjukkan babak-babak jahil sebegitu, maka kita perlu memikirkan penyampaian kreatif dalam menyampaikan mesej berimpak yang lebih berkesan tanpa sedikit pun memaafkan mana-mana babak jahil sebegitu ditonjolkan.

Hari ini saya membaca kenyataan Erma Fatima berkenaan karya Takhta 3 Ratu itu, saya sudah mula bimbang kebangkitan semula ideologi seperti Erma Fatima ini yang saya rasa jujur untuk menyampaikan mesej-mesej baik kepada masyarakat, tapi masih terkongkong dalam tipikal persembahan filem atau teater yang mahu melanggar batas-batas syariat atas nama SENI.

Ya, saya malas mengulas lagi maksud SENI Islami yang bagaimana kita patut gerakkan, kerana sewaktu umur saya masih muda 20-an dulu, jenuh sudah saya menulis panjang lebar mengenainya: http://alhikmah-diari.blogspot.com/…/blok-industri-hiburan-…
Saya merasakan jika saya mahu melawan ideologi menentang syariat yang tanpa malu mengenakan nama syariat compliant pada karya mereka ini, saya patut mulakan dengan komik sebelum ke filem, drama atau teater. Komik hari ini adalah pencetus idea perfileman di masa hadapan.

Apa yang melanda anak-anak muda kita dalam berkarya komik hari ini sama saja dengan apa yang sudah melanda pada pembikin-pembikin filem, drama, teater dakwah yang saya bahaskan dulu. Mereka anggap menyelitkan ayat Quran dan hadis dalam komik, adalah tipikal dakwah, apa yang bukan tipikal bagi mereka adalah dengan MENIRU SEBAHAGIAN TIPIKAL MANGA JEPUN YANG MENYELIT BINATANG-BINATANG GANJIL DAN KUASA-KUASA AJAIB YANG KHURAFAT untuk menyampaikan mesej dalam komik. Hatta di antara mereka mengatakan, mesej komik sepatutnya general tanpa merujuk pada mana-mana agama supaya boleh diterima oleh semua pembaca. Makanya, apakah bezanya lagi KARYA MUSLIM dan BUKAN MUSLIM? Tuntas.

Islam ini berdiri unik dan kreatif. Lihat bagaimana Nabi s.a.w menetapkan azan sebagai panggilan solat untuk umat Islam yang unik tatkala beberapa sahabat mencadangkan meniup trompet seperti Yahudi dan membunyikan loceng seperti Nasrani. Dalam azan ini banyak falsafah dakwah yang kita boleh kaji dan analisis untuk mengambil sikap dan pendekatan dalam penyampaian dakwah termasuklah dalam isu menyampaikan mesej dakwah melalui komik.

Salah satu prinsip asas dakwah adalah menyampaikan suatu yang kita sendiri akan bersungguh-sungguh amal dan lakukan. Seorang muazin tidak akan melaungkan azan ajak orang ke masjid dan solat, dengan dirinya selepas azan, terus balik solat di rumah atau pergi supermarket tanpa bersolat. Muazin akan solat bersama-sama orang yang dia ajak solat selepas melaungkan azan. Begitu juga jika kita mahu menyampaikan dakwah dalam komik, pekomik itu sendiri akan berusaha untuk amal sungguh-sungguh sepertimana mesej yang dia serukan dalam komiknya yang dibaca oleh orang lain. Tuntas.

Maka berkreatif dalam menyampaikan mesej dakwah dalam komik perlu mengambilkira hal-hal amal seorang muslim yang kita sendiri akan buat dan laksana untuk jadi hamba Allah terbaik, yang Allah redha dan Allah kasih.

Kalau kita lukis Superman Sufi yang kononnya islamik kerana berserban dan berjubah, ada kuasa khurafat boleh terbang, belah gunung, sembuh luka sendiri, adalah lagi kuasa-kuasa ajaib tahyul, namun kononnya menyelitkan ayat-ayat Quran setiap kali melawan raksasa dapat dianggap komik dakwah kreatif, itu amatlah meleset!

Isunya bukan selit atau tidak ayat Quran, isunya apakah cerita itu sesuai dengan sunnatullah, dalil aqli dan naqli untuk diamalkan oleh pelukis muslim itu sendiri? Apakah dia boleh terbang dan belah gunung lepas baca komik itu? Apakah Allah perintahkan kita jadi seperti Superman Sufi untuk dapatkan kuasa ajaib supaya jadi pejuang islam? Inilah yang dikatakan mesej yang lalai. Kita tahu apa yang dipersembahkan dalam komik sebegini tak mungkin dapat direalitikan sebagai muslim.

Seperti falsafah azan tadi, mampukah komik sebegini merealisasikan falsafah dakwah sebenar? Allah pun tak suka hal-hal lagha ini. Bacalah surah Al-Mukminun, berjaya orang beriman ini selain khusyuk solatnya, dia juga menjauhkan diri dari perbuatan sia-sia.
Mereka anggap komik-komik sebegini hanyalah simbolik. Kuasa ajaib itu simbol kuasa iman dan taqwa, raksasa ganjil itu simbol manusia pemeras dan penzalim di dunia ini. Tapi tahukah kalian, simbol-simbol superman, batman, spiderman hatta naruto itu walau macam mana kalian bayangkan mereka adalah simbolik tapi anak-anak muda yang JATUH CINTA pada simbol itu, HINGGA SUDAH DEWASA TETAP MERASAKAN RASA KAGUM PADA KEHEBATAN SUPERHERO ITU. Orang nampak hal jatuh cinta ini hal remeh. Tapi cuba tanya mereka yang sudah bergelumang dengan cinta pada superhero ini, adakah mereka merasakan ALLAH LEBIH SUPERIOR tatkala bersemai rasa cinta mereka pada superhero?

Sedih atau tidak melihat anak-anak Muslim sibuk nak pakai baju batman, spiderman atau ironman kerana RASA KAGUM DAN MEGAH PADA SUPERHERO dah ditanam dalam hati. Ada mereka rasa kagum pada Rasulullah hingga mahu berpakaian sunnah Rasulullah? Tidak. Apabila tidak, maka apa sebenarnya yang kita terap pada anak-anak kita ini? IMAN PADA ALLAH ATAU PADA SUPERHERO? Tuntas.

Maka apakah misi KOMIK DAKWAH? Kita tak perlu selit ayat Quran dan hadis jika kita rasa cerita komik kita boleh terjemahkan mesej Quran dan hadis. Tapi jangan sampai hati kita rasa AYAT-AYAT DIALOG KITA LEBIH TEPAT MEMBERI INSPIRASI BERBANDING AYAT QURAN ATAU HADIS. Jangan. Ayat Quran itu kalam Allah. Terjemahannya adalah terjemahan kalam Allah. Allah turunkan ayat itu SANGAT TEPAT, TERANG, JELAS DAN NYATA PADA SEMUA MANUSIA. Ini silap sebahagian anak-anak muda hari ini. Mereka ingat Al Quran diturunkan pada orang Islam saja. Sampai ada yang anggap, kalau kita selit ayat Quran, hanya dituju pada orang Islam. AYAT AL QURAN DI TURUNKAN PADA SEMUA MANUSIA UMAT NABI MUHAMMAD S.A.W! Panggilan tepat kepada seluruh manusia bukannya ayat-ayat general kita, tapi ayat al Quran!

Ada anak muda ini anggap, itu macam memaksa semua manusia ikut Islam. Mereka ini baca sirah atau tidak, Nabi s.a.w dan para sahabat itu berdakwah dari satu kabilah ke satu kabilah, dari satu empayar ke satu empayar itu, ingat dakwah itu suruh buat apa? Dakwah Nabi ajak manusia BERIMAN PADA ALLAH DENGAN SELAYAK-LAYAK SEMBAH. Kabilah-kabilah, empayar-empayar itu semua adalah NON MUSLIM! Maka apa yang takut sangat menyeru pada Islam melalui komik, jika dibaca oleh non muslim?

Baiklah, jika ada yang takut menyalah tafsirkan ayat Quran dan hadis yang diselit dalam komik, dan mahu play safe guna dialog sendiri, itu tidak mengapa. Tidak ada masalah asal cerita kita asasnya ajaran Islam, tujuannya ajaran Islam, ceritanya tak bercanggah dengan sunnatullah, dalil aqli dan naqli, tak ada masalah. Watak-wataknya tak tonjol aksi-aksi jahil yang malaikat malu nak tengok, apalagi kalau Allah dan Rasul dah tegah kita dari menonjolkannya. Kita lemah, kita belajar dari kesilapan, tapi jangan prinsip melukis kita dah terpesong dari landasan sebenar!

Saya juga cuba berusaha tak jadi tipikal dengan istilah tipikal merujuk kepada makna komik yang biasa. Saya kaji makna dan definisi komik, sangat jelas dalam medan kreatif tiada had makna dan definisi. Saya boleh lukis komik dengan dialog panjang, dengan dialog pendek kerana komik tiada letak had minimum dan maksimum dialog standard sebuah komik. Saya boleh lukis komik yang ada 8 panel, 4 panel, tak ada panel langsung pun tak ada masalah, komik tak hadkan berapa bilangan panel atau wajib ada panel dalam standard komik.

Saya boleh sampaikan mesej tutup aurat tanpa tonjol aurat. Saya boleh lukis perempuan tudung labuh tanpa watak lelaki dari awal hingga akhir komik dalam berbicara isu media sosial. Saya boleh lukis macam-macam cara dan kaedah yang tak tipikal, untuk usaha kreatif dalam menyampaikan tanpa langgar syariat.

Secara ringkasnya menjadi kreatif dalam berkomik itu sangat luas. Komik adalah medan kreatif. Tiada satu manusia boleh tetapkan peraturan teknik melukis atau menulis komik. Lukis buruk pun komik, lukis cantik pun komik, lukis garis putus dan menggeletar pun komik, lukis garis sambung kemas pun komik. Semua ini ada contoh dalam komik-komik yang diiktiraf dalam negara mahupun dunia. Siapa yang ada dalam kepala otaknya peraturan-peraturan teknik tertentu, dan menyangka jika orang tak ikut peraturannya itu maka komik orang itu tidak lagi boleh dianggap komik, itulah sebenarnya maksud TIPIKAL. Orang tipikal ini langsung TAK KREATIF!

Jadi Muslim ini memang hebat. Kita dilarang ikut-ikut orang tanpa hujah syariat. Sebab ikut-ikut orang itulah maksud tipikal, jangan ikut-ikut orang tapi ikutlah hujah-hujah syariat dari wahyu Allah dan Rasul yang digariskan oleh para alim muktabar.

Maka, jika batas-batas syariat menetapkan batas-batas dalam melukis, itu tak jadi masalah bagi pengkarya komik. Kita ada macam-macam teknik yang tak langgar batas boleh kita lukis dalam menyampaikan!

Tuntas.

mfr