|KUMPULAN BLOG MFR
|RANGKAIAN MFR
|MISI MFR
|KOLEKSI TULISAN TOKOH
Bismillah.

Saya cuba menjawabnya dengan sebaik mungkin.

Soalan:

Menurut tuan, haram undi non muslim sbb diorg x terima syariat kita..
klu tmpat lain x de calon muslim nk buat mcm mane ye?

Jawapan:

Saya mengharamkan diri saya sendiri sambil berlapang dada dengan hujah para ulama yang mengharuskan undi non muslim dengan syarat-syarat tertentu.

Saya mengharamkan diri saya kerana undi saya merupakan syahadah atau kesaksian bahawa amanah sebagai pemimpin/adun/ahli parlimen itu layak pada seseorang calon itu. Padahal pada saya, amanah seorang pemimpin/adun/ahli parlimen itu adalah mengurus hal ehwal umat.

Mengurus hal ehwal umat wajib dengan neraca hukum Allah. Tanpa merujuk kepada neraca hukum Allah maka kezaliman akan berlaku. Apatah lagi salah satu urusan umat adalah tugas amar makruf nahi mungkar. Dengan pendirian tersebut, saya bersaksi dengan undi saya bahawa seorang non muslim tidak layak memikul tugas mengurus hal ehwal umat menurut neraca hukum Allah, kerana non muslim itu tidak beriman kepada neraca hukum Allah. Apatah lagi mahu memikul tugas amar makruf nahi mungkar tak mungkin disempurnakan oleh seorang non muslim yang tak beriman kepada Allah.

Terlebih lagi saya mengharamkan diri saya mengundi atau bersaksi bahawa non muslim adalah calon terbaik memikul amanah mengurus hal ehwal umat, apabila terdapat calon muslim berwibawa yang wujud di kalangan masyarakat. Wajib mengangkat calon yang paling layak quwwah dan amanah dalam jawatan mengurus hal ehwal umat. Quwwah dan amanah seorang pemimpin yang mengurus hal ehwal umat khususnya tugas amar makruf nahi mungkar, mestilah seorang beriman. non muslim bukan seorang beriman.

Saya berlapang dada dengan hujah ulama yang mengharuskan melantik non muslim dengan syarat-syarat tertentu, kerana mereka menganggap jawatan pemimpin/ahli parlimen/adun bukan jawatan pemimpin tapi hanya jawatan pekerja.

Saya menganggap mereka ahli parlimen/adun adalah pemimpin, kerana mereka bertanggungjawab membuat keputusan dalam hal ehwal umat, khususnya ahli parlimen mereka mempunyai suara undi dalam setiap usul dasar di parlimen, samada undi menyokong atau membantah. Saya mengharamkan diri saya bersaksi seorang non muslim yang tak beriman pada Allah dan hukum islam, untuk mewakili saya dalam parlimen dalam mengundi usul dasar negara.

Contohnya apabila usul meminda perlembagaan negara untuk disesuaikan dengan syariat dicadangkan dalam parlimen, saya tak mahu seorang non muslim mewakili saya dalam mengundi usul tersebut, kerana sebagai muslim saya mahu ahli parlimen itu menyokong usul tersebut. Tapi jika non muslim yang mewakili saya di parlimen, saya tak tahu apakah mereka akan menyokong atau membantah. Jika dia membantah dalam parlimen usul tersebut, maka dia yang menang atas undi saya pastilah dia mewakili saya, pastilah saya bersubahat dalam membantah usul tersebut, padahal usul tersebut wajib disokong oleh semua muslim. Saya mengharamkan diri saya bersaksi untuk seorang non muslim mewakili undi saya dalam menyokong atau membantah usul dalam parlimen.

Ringkasnya, saya menganggap jawatan pemimpin/adun/ahli parlimen memikul tugas dan amanah mengurus hal ehwal umat mengikut neraca hukum Allah, amanah amar makruf nahi mungkar yang diperintahkan Allah, dan mewakili suara rakyat yang mengundi dalam membuat keputusan, menyokong atau membantah usul dalam dun atau parlimen.

Saya berlapang dada dengan para ulama yang berbeza pandangan akan tugas seorang pemimpin/adun/ahli parlimen, kerana mereka meneliti dan menimbang dari sudut yang lain dari apa yang saya teliti dan timbang.

Dalam fiqh awlawiyyat, kita mesti memilih yang boleh beri banyak manfaat pada islam berbanding yang beri mudarat pada islam. Saya memilih seorang muslim berwibawa yang memberi manfaat pada islam berbanding non muslim yang memberi mudarat pada islam dan pada perjuangan menegakkan syariat islam di Malaysia.

Apabila tiada calon muslim, maka menjadi kewajipan semua orang islam mendatangkan calon muslim berwibawa. Jika tiada parti politik meletakkannya, maka parti politik semua memilih untuk berdosa tak menjalankan kewajipan. Maka menjadi kewajipan semua rakyat menasihatkan parti politik tak melakukan dosa dan menjalankan kewajipan. Jika parti politik tetap juga memilih tak mahu letak atas kerana ketidakmampuan, maka menjadi kewajipan rakyat yang mampu mendatangkan calon muslim berwibawa.

Jika semua rakyat juga lemah dan tak mampu mendatangkan calon muslim berwibawa, maka wajib rakyat mengajak non muslim itu memeluk islam. Jika non muslim itu tak mahu memeluk islam, maka wajib rakyat mengajak non muslim itu menyokong perjuangan syariat. Jika non muslim itu menolak untuk menyokong perjuangan islam, wajib rakyat berdoa pada Allah moga diberikan hidayah pada non muslim itu, berdoa moga diberikan hidayah pada parti politik hingga mampu mendatangkan calon muslim berwibawa, berdoa moga rakyat diberi hidayah hingga mampu mendatangkan calon muslim berwibawa.

Jika Allah tak bagi juga hidayah, bermakna parti politik tetap tak mampu letak, rakyat tak mampu letak, non muslim tak mahu jadi muslim berwibawa, maka wajib muslim berwibawa dalam masyarakat tampil menyelamatkan keadaan. Jika seorang muslim berwibawa pun tak wujud di kalangan masyarakat, semua muslim dalam masyarakat adalah muslim korup, maka wajib semua muslim tersebut bertaubat. Maka wajib seorang muslim berwibawa di tempat lain berdakwah dalam masyarakat korup di situ supaya lahir seorang muslim berwibawa.

Jika muslim berwibawa di tempat lain tak mahu datang berdakwah, dan dibiarkan saja tempat itu berterusan ada muslim korup, maka berdosalah semua muslim berwibawa tempat lain kerana tak jalankan kewajipan. Wajib muslim berwibawa di tempat lain bertaubat. Jika muslim berwibawa di tempat lain itu tak mahu bertaubat,maka automatik dia bukan lagi muslim berwibawa melainkan muslim korup juga.

Maka koruplah semua muslim, dan itulah waktunya kiamat akan tiba. Hanya waktu itu saja, muslim korup tadi terpaksa memilih non muslim sebagai pemimpin kerana seorang muslim korup (bersifat nifaq, tak mahu bertaubat, tak mahu jadi muslim berwibawa,tak mahu dakwah, tak mahu ajak non muslim kepada islam, tak mahu memimpin non muslim, tak mahu memimpin semua manusia kepada Allah) layaklah dia berpemimpinkan seorang non muslim yang tak beriman pada Allah kerana iman muslim korup juga sudah luntur kerana meninggalkan makna iman sebenar dan tak mahu laksanakan kewajipan memimpin dunia ini.

Antara dalil yang menyatakan pemimpin mengurus hal ehwal umat mesti neraca hukum Allah:

"Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepadamu akan kitab (al Quran) dengan membawa kebenaran supaya kamu berhukum (mengendalikan urusan) manusia dengan apa yang telah diajarkan oleh Allah kepadamu, dan janganlah kamu menjadi penentang orang-orang yang tidak bersalah untuk menjadi pembela kepada orang-orang khianat" (an nisa: 105)

Hadits Abdullah bin Umar ra. Bahwasanya Rasulullah saw bersabda: “setiap kamu adalah pemimpin yang akan dimintai pertanggungjawaban atas kepemimpinannya. Seorang amir yang mengurus keadaan rakyat adalah pemimpin. Ia akan dimintai pertanggungjawaban tentang rakyatnya. Seorang laki-laki adalah pemimpin terhadap keluarganya di rumahnya. Seorang wanita adalah pemimpin atas rumah suaminya. Ia akan diminta pertanggungjawaban tentang hal mereka itu. Seorang hamba adalah pemimpin terhadap harta benda tuannya, ia kan diminta pertanggungjawaban tentang harta tuannya. Ketahuilah, kamu semua adalah pemimpin dan semua akan diminta pertanggung jawaban tentang kepemimpinannya. (Muhammad Fuad Abdul Baqi, Al-Lu’lu Wal Marjan, (Semarang: Al-Ridha, 1993), Hal. 562-563)

Hadits ma’qil bin Yasar, dari hasan bahwasanya Ubaidillah bin yazid mengunjungi Ma’qil bertanya kepadanya: bahwasanya saya akan ceritakan kepadamu suatu hadits yang saya dengar dari Rasulullah saw saya mendengar nabi saw bersabda: “tidak ada seorang hamba yang diberi tugas oleh Allah untuk memelihara segolongan rakyat, lalu ia tidak melakukan sesuai dengan petunjuk, melainkan ia tidak memperoleh bau saya” (Muhammad Fuad Abdul Baqi, Al-Lu’lu Wal Marjan, (Semarang: Al-Ridha, 1993), Hal. 263-264

Dalil perintah amar makruf nahi mungkar:

“Dan hendaklah ada diantara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, dan menyuruh kepada yang ma’ruf dan mencegah dari yang munkar. Mereka itulah orang-orang yang beruntung.” (Ali Imran: 104)

Telah dilaknati orang-orang kafir dan bani Israel dengan lisan Nabi Daud dan Isa Ibn Maryam. Yang demikian itu disebabkan mereka derhaka dan selalu melampui batas.Mereka satu sama lain tidak melarang tindakan mungkar yang mereka perbuat.”
 (Al-Maidah: 78)

dalil supaya tak bersubahat berikan ketaatan atau mengangkat pemimpin kufur perintah Allah:

hadis Ubadah bin Somit ra berkenaan mencabut ketaatan apabila melihat kufur bawahah yang berlaku kepada pemerintah, hadis disepakati oleh Bukhari dan Muslim.

Maksudnya : “Nabi salallahualaihiwasalam telah memanggil kami, lalu kami berbaiah dengannya. Baginda berkata ketika berbaiah, supaya kami dengar dan taat, samada ketika kami dalam keadaan cergas (senang), atau dalam keadaan benci, keadaan susah atau dalam keadaan mudah, Dan kami dipesan agar tidak menanggalkan urusan kepada ahlinya (mencabut ketaatan kami kepadanya) melainkan setelah kamu melihat kekufuran yang nyata disisi kamu daripada Allah yang menjadi bukti (keterangan).” (Hadis sahih riwayat Bukhari ms. 13 Jilid 8 di dalam Fathul Bari, Muslim dan Tirmidzi)

Khatabi berkata yang dimaksudkan “Bawahh” itu ialah kekufuran yang jelas yang dizahirkan. (Lihat : Fathul Bari Jilid 13 ms. 8.)

Imam An-Nawawi pula berkata : “Yang dimaksudkan dengan kufur di sini ialah maksiat, makna hadis ini ialah tidak menarik ketaatan di dalam urusan pemerintahan mereka sehingga kamu melihat kemungkaran yang tersangat jelas yang pasti dilakukan oleh mereka daripada kaedah Islam.” (Lihat : Sahih Muslim dengan Syarah oleh Imam Nawawi Jilid 12,ms. 229)

Imam Al-Kasymiri menyatakan : “Menjadi dalil dari hadis ini juga, harus mengkafirkan ahli kiblat, walaupun mereka tidak keluar dari Kiblat seperti masih lagi solat mengadap Kiblat. Ini adalah kerana boleh jadi mereka melakukan kekufuran dengan tidak iltizam (tidak tetap) dan tidak pula mereka menukar Millah oleh kerana itu sebelum mengkafirkan mereka diperlukan bukti keterangan kerana orang yang keluar dari Millah atau Kiblat tidak perlu lagi bukti keterangan kerana telah jelas benar kekufuran mereka.” (Ikfar Al-Mulhidin dengan ayat penulis ms. 22)

Imam Al-Qurtubi telah menyebut :

Maksudnya : “Tiada khilaf dikalangan ulama bahawa sesungguhnya tidak harus diserahkan kepimpinan kepada orang yang fasiq.” (Jami Ahkam Al-Quran Jilid 1 ms. 270)

Jika ahli kiblat (muslim) yang menunjukkan kekafiran atau fasiq pun disuruh mencabut ketaatan (menolak untuk diangkat menjadi pemimpin) apatah lagi yang sudah sedia tidak beriman (non muslim).

Dan banyak lagi dalil-dalil umum mahupun khusus yang menyokong hujah untuk tidak bersubahat menyokong/memberi kesaksiah/mengangkat/taat pada pemimpin kufur, fasiq, zalim dan sebagainya.

Sekian dahulu jawapan saya.

Moga terjawab.

Sekian.

Terima kasih.

mfr