|KUMPULAN BLOG MFR
|RANGKAIAN MFR
|MISI MFR
|KOLEKSI TULISAN TOKOH
HASIL INTERVIEW KEDAI MAMAK 30 APRIL 2015 AREA MENTAKAB-TEMERLOH DARI JAM 1.00-2.00 PETANG

Disediakan oleh: mfr

LOKASI 1: RESTORAN SHEIKH, MENTAKAB

Pekedai: Saya tak pandai cakap melayu, tunggu bos mari pukul 3.30 petang, boleh interview

Customer 1: Tak boleh interview, saya tak cukup masa

Customer 2: (geleng2, tak mahu interview)

Customer 3: (lambai tangan tak mahu interview)

LOKASI 2: RESTORAN AR ROBAH, MENTAKAB

Pekedai: Nasi+Ayam Goreng+ Sayur, RM5.50. Sebelum GST pun RM5.50.
(disebabkan dia tak naik harga lepas GST, maka saya tak tanya kos)

Customer 1: Restoran Ar Robah harga sama, saya biasa lepak sini. Kalau nak interview, pegi restoran sheikh, sana harga tinggi.

Customer 2: Makan kedai kecik, tak terasa kalau ada naik harga pun. Kalau makan kat paparich sana, itu betul naik harga.

Customer 3: Memanglah pekedai kata tak naik harga, 3 bulan sebelum GST sudah naik harga.

Customer 4: Kalau mahu tahu impak GST pada saya punya bisnes, kena interview lepas satu tahunlah.

Nota: semua pekedai dan customer tak nak direkod video.

LOKASI 3: RESTORAN OLD TOWN JALAN BAHAGIA TEMERLOH

Pekedai: Nasi+Ayam Goreng+ Sayur RM5.50. Sebelum GST harga RM5.00. Ayam goreng naik 50 sen. Supplier ayam naikkan harga. Tak kenal siapa supplier, kena tanya bos. Bos petang baru ada tapi tak tahu pukul berapa.

Nota: pekedai tak nak direkod video.

LOKASI 4: RESTORAN OLD TOWN JALAN DATO BAHAMAN TEMERLOH

Pekedai: Nasi+Ayam Goreng+Sayur RM5.00. Kalau tambah lauk lebih sikit, baru harga tambah sikit. Sebelum GST pun sama RM5.00. Bos bagitau, semua makanan kira sama harga sebelum GST atau selepas GST. Air minuman letak ais baru ada naik harga 10 sen. Sebab harga ais naik kena GST. Supplier ais kena tanya bos. Bos sudah balik.

Customer 1: Saya makan sini ada rasa bajet harian naik sikit, 20 sen-30 sen.

Customer 2: Kalau tanya makan atau minum saja memang tak terasa naik. Kena tanya kos semua hidup baru boleh kata terasa atau tak terasa.

Customer 3: Baru first time makan sini, tak tahu naik atau tak.

Nota: semua pekedai dan customer tak nak direkod video.

Sekian saja laporan interview untuk kali ini. Saya mohon maaf sebab tak dapat rekod video kerana semua orang tak mahu direkod.
Bismillah.

YB Rafizi yang menjadi harapan untuk memberikan idea dan ulasan cemerlang mengenai GST akhirnya telah mengeluarkan video-video penjelasan dari dirinya.

Ini video pertama:

https://www.facebook.com/rafiziramli.keadilan/videos/955475367820304

Ini ulasan saya:

1. YB Rafizi kata semua barang dikenakan GST. Apa yang disembunyikan oleh YB Rafizi? ADA BERATUS BARANG DIKECUALIKAN GST TAK DISEBUT OLEH YB RAFIZI. Mengapa?

2. YB Rafizi memberi contoh Pekedai menjual RM180 + RM10.80 (gst) dan Pengguna kena bayar RM190.80 harga lebih mahal dari SST. Apa yang YB Rafizi sembunyikan? HANYA JIKA RANTAIAN ITU BERAKHIR DENGAN PEKEDAI BESAR YANG PUNYA JUALAN TAHUNAN RM500K YANG BERDAFTAR DENGAN KASTAM SAJA BOLEH CAJ GST PADA PENGGUNA, TAPI JIKA PEKEDAI ITU TAK ADA JUALAN TAHUNAN RM500K DAN TAK BERDAFTAR, MAKA TIADA CAJ GST DAN HARGA BARANG YANG DIBELI PENGGUNA ADALAH RM187.80 (kerana Pekedai tak dapat claim GST 6%) DAN TETAP LEBIH MURAH DARI SST! DAN YB RAFIZI JUGA TELAH MEMBUKTIKAN PADA SETIAP PERINGKAT APABILA CLAIM GST BOLEH DIBUAT, KOS BARANG BOLEH TURUN!!

3.YB Rafizi menetapkan Pemborong mendapat untung RM30 untuk setiap jam yang dijualnya baik sebelum SST mahupun GST. Dan YB Rafizi juga menetapkan Pekedai mendapat untung RM50 untuk setiap jam yang dijualnya. Ini kiraan untung YANG SALAH!

Untung adalah peratusan lebihan hasil jualan dari kos yang dikeluarkan. Jika sebelum ini Pemborong ambil RM30 dari kos RM110, maka peratus keuntungannya adalah 27.3%. Maka untuk mengekalkan keuntungan 27.3% dari jualan, maka sepatutnya untung yang diraih Pemborong dari kos lepas GST, hanya RM27.30 sudah cukup mengekalkan peratus keuntungan dari modal yang dikeluarkan RM100, bukannya RM30. Dan Pekedai pula sebelumnya mengambil untung RM50 dari modal RM140 menjadikan peratus keuntungannya 35.7%. Maka Pekedai sepatutnya mengekalkan peratus keuntungan 35.7% itu dari kos RM127.30, cukup dengan keuntungan RM45.45 bukan RM50!!

Apa yang YB Rafizi sembunyikan? YB Rafizi buat BUKAN mengekalkan peratus keuntungan dari modal yang dikeluarkan tapi MENINGKATKAN peratus keuntungan selepas GST!! Contoh Pemborong dan Pekedai yang digunakan YB Rafizi jenis peniaga TAMAK kerana meningkatkan peratus keuntungan selepas pelaksanaan GST!!

MAKA JIKA SAYA PERBETULKAN CONTOH YB RAFIZI:

Pengilang menjual RM106 kepada Pemborong. RM100 adalah kos Pemborong dan RM6 GST yang boleh tuntut semula. Pemborong menjual dengan keuntungan 27.3% maka harga jualan menjadi RM127.30+ RM7.64(GST). Maka kos Pekedai adalah RM127.30. Keuntungan jualan Pekedai adalah 35.7%, maka harga jualan menjadi RM172.75 + RM10.40 (GST). Maka Pembeli membeli dengan jumlah RM183.15, tetap lebih murah dari SST!!

ATAU UNTUK LEBIH JELAS:

Pemborong

Semasa SST
Kos: RM110 , Untung: RM30 , Harga jam: RM140, Peratusan untung: 27.3%
Semasa GST kiraan YB Rafizi
Kos: RM100, Untung: RM30, Harga jam: RM130, Peratusan untung: 30%

Sepatutnya Semasa GST dikekalkan peratusan keuntungan semasa SST
Kos: RM100, Untung: RM27.30, Harga jam: RM127.30, Peratusan untung: 27.3%

Jika Pemborong ada modal RM1000,
semasa SST dia boleh beli 9.1 jam berharga RM110, dia jana untung (RM30x9.1)=RM273

semasa GST dengan kiraan YB Rafizi, dengan modal RM1000 dia boleh beli 10 jam berharga RM100, dia jana untung (RM30x10)=RM300 (untung dia lebih dari semasa SST maka nanti akan hasilkan harga jualan lagi tinggi pada Pekedai)

sepatutnya semasa GST ambil untung RM27.30 saja supaya kekalkan peratus untung 27.3%

maka, dengan modal RM1000 dia beli 10 jam berharga RM100, dia jana untung (RM27.30x10)=RM273 (dengan ini untungnya hampir sama dan tak berkurang pun dengan semasa SST dan bolehlah harga dijual pada Pekedai menjadi lebih murah)

Pekedai

Semasa SST
Kos: RM140 , Untung: RM50 , Harga jam: RM190, Peratusan untung: 35.7%
Semasa GST kiraan YB Rafizi
Kos: RM130, Untung: RM50, Harga jam: RM180+RM10.80: RM190.80, Peratusan untung: 38.5%

Sepatutnya Semasa GST dikekalkan peratusan keuntungan semasa SST
Kos: RM127.30, Untung: RM45.45, Harga jam: RM172.75+RM10.40: RM183.15, Peratusan untung: 35.7%
Harga Pembeli bayar: RM183.15 (murah RM6.85 dari harga SST RM90)RM90)

Jika Pekedai ada modal RM1000,
semasa SST dia boleh beli 7.1 jam berharga RM140, dia jana untung (RM50x7.1)=RM355

semasa GST dengan kiraan YB Rafizi, dengan modal RM1000 dia boleh beli 7.7 jam berharga RM130, dia jana untung (RM50x7.7)=RM385 (untung dia lebih dari semasa SST maka nanti akan hasilkan harga jualan lagi tinggi pada Pengguna)

sepatutnya semasa GST ambil untung RM45.45 saja supaya kekalkan peratus untung 35.7%

maka, dengan modal RM1000 dia beli 7.9 jam berharga RM127.30 dari pemborong, dia jana untung (RM45.45x7.9)=RM359 (dengan ini untungnya hampir sama dan tak berkurang pun dengan semasa SST dan bolehlah harga dijual pada Pengguna menjadi lebih murah, dan dia tak kurang untung pun)

Ini membuktikan YB Rafizi mendapat harga jualan yang lebih tinggi dari semasa SST dalam kiraannya kerana beliau telah menaikkan peratus keuntungan kedua-dua pemborong dan pekedai dalam contohnya itu dan bukan kerana caj GST, oleh itu video ini GAGAL mencapai motifnya.

Soalan saya kepada YB Rafizi:

1. Mengapa YB Rafizi tak nyatakan bahawa ada beratus barang dikecualikan GST?

2. Mengapa YB Rafizi tak nyatakan result harga jika Pekedai adalah tak berdaftar GST, buktinya harga lebih rendah dari SST.

3. Mengapa YB Rafizi menggunakan contoh Pemborong dan Pekedai yang tamak yang menaikkan peratus keuntungan selepas pelaksanaan GST, padahal jika YB kekalkan peratus keuntungannya, result harga akan lebih rendah dari SST.
3 soalan untuk YB jawab dengan jujur dalam video pertama. Saya tunggu video seterusnya, harap lebih kukuh hujahnya tanpa penyembunyian fakta.

Selamat maju jaya YB, jadilah jujur, jgn cuba mainkan intelektual rakyat marhaen!
--------TAMAT KOMEN FOKUS VIDEO---------

***Nota untuk pembaca selain YB Rafizi:*****

Saya ulas video di atas yang berhujah guna teori matematik, dan saya buktikan kiraan sebenar tak menaikkan harga. YB Rafizi wajar faham jika teori matematik tak mampu menegakkan hujah realiti harga barang naik, maka jangan berhujah guna teori matematik. Jangan berhujah menyembunyikan fakta.

Kalau mahu memaparkan realiti, tunjukkan realiti interview bersama peniaga-peniaga yang ada di realiti. Biar mereka tunjukkan akaun mereka pada rakyat. Biar mereka jelaskan kos dan untung yang mereka jalankan. Kita akan nilai benarkah GST yang menyebabkan mereka naikkan harga atau mereka sendiri tamak untuk naikkan harga.

Saya tak pernah kata realiti harga barang turun. Harga barang memang banyak naik sebab saya sendiri tahu realitinya dunia perniagaan Malaysia dikuasai oleh kapitalis-kapitalis yang langsung tak ada kesedaran sosial, mereka tamakkan keuntungan, langsung tak fikir dosa pahala dalam timbangan barang dan menjual, langsung tak kisah pasal hukum gharar dan sebagainya. Mereka ini memulakan domino effect pada harga pasaran. Hanya segelintir peniaga yang beriman dan faham hukum, tahu tanggungjawab sosial ke atas permainan harga. Kita support peniaga baik, kita bankrapkan peniaga jahat. Gunakan kuasa pengguna sebelum PRU, masa PRU gunalah sepuas hati kuasa pengundi pula. Apa nak jadi pada Malaysia ini bergantung pada kebijaksanaan kita rakyat marhaen.

Bab kiraan matematik YB Rafizi dalam video salah tetap salah. Beliau nak buktikan harga barang naik kerana GST tapi semasa mengira matematik naikkan margin keuntungan peniaga, dah sah harga naik. Nak adil mengira, kekalkan peratus keuntungan, lepas tu baru tengok result kiraan GST akan naikkan harga barang atau tidak. Saya fokus pada video, saya bukan fokus pada situasi permasalahan realiti. Saya ada pendirian tersendiri mengenai permasalahan cukai. Saya harap Malaysia hapuskan semua cukai (total free tax bussiness) dan qanaah serta infak dijadikan cara hidup pemimpin hingga rakyat bagi memenuhkan perbendaharaan negara. Tapi nak berbicara idea baru sebegini, mungkin di lain pentas. Di sini saya harap kita bangunkan hujah yang betul-betul konkrit dalam mencari root cause masalah harga barang naik. Guna teori kiraan matematik seperti YB Rafizi jelas tak membantu menegakkan hujah bahawa caj GST semata-mata menaikkan harga jualan barangan.

----TAMBAHAN: komen mengenai realiti pula----
Saya sedar orang akan tanya jadi kenapa harga barang naik secara realiti jika caj GST ke atas produk sepatutnya tak menaikkan harga jualan? Ini menunjukkan caj GST SEMATA-MATA ke atas produk tidak menaikkan harga jualan produk itu TETAPI, YB Rafizi sendiri membuktikan bahawa harga jualan HANYA boleh jadi tinggi dalam contohnya JIKA PERATUS KEUNTUNGAN DINAIKKAN.

Saya sedar, akan ada nanti orang tanya, bagaimana dengan peniaga yang terpaksa menaikkan peratus keuntungan untuk menampung kos-kos lain seperti bil, pekerja, mesin sistem GST dalam pelaksanaan GST dan lain-lain supaya setelah tolak kos tersebut mereka boleh dapat untung yang sama dengan semasa SST? Maka penyataan ini sudah membuktikan,PERATUS KEUNTUNGAN DARI JUALAN YANG TERPAKSA DINAIKKAN OLEH PENIAGA TERSEBUT, BAGI MENAMPUNG KOS-KOS TAMBAHAN PELAKSANAAN GST YANG MENYEBABKAN HARGA BARANG NAIK.

Ya, kalau kerajaan tak wartakan GST semua ini takkan terjadi. Saya secara peribadi setuju bukan saja GST wajar dimansuhkan malah semua cukai wajar dimansuhkan supaya ekonomi benar-benar berjalan secara bebas dengan teori penawaran dan permintaanlah akan tentukan harga pasaran.

TETAPI untuk bergerak ke arah pemansuhan, perlu tunggu majoriti ahli parlimen baru yang menyetujui untuk mansuhkan semua cukai itu dilantik dahulu. Mereka hanya akan dilantik jika majoriti rakyat pilih mereka semasa PRU.

Maka, bagaimana nak mengekang harga barang naik SEBELUM PRU (kerana kerajaan takkan mansuhkan GST sehingga kerajaan lain ambil alih)?

PENIAGA boleh membantu dengan cara mereka TIDAK MENAIKKAN HARGA BARANG WALAU DENGAN APA CARA SEKALIPUN. Antara caranya adalah dengan mengecilkan margin keuntungan dan berusaha mengoptimum kapasiti sedia ada supaya kos-kos tambahan dapat ditampung tanpa perlu menaikkan harga barang. KENAPA PENTING PENIAGA BERSIKAP BEGINI? supaya, domino effect tak terjadi yang menyebabkan jika dia menaikkan harga barang, maka barang-barang berkaitannya juga akan TERPAKSA DINAIKKAN, yang akhirnya peniaga itu sendiri susah untuk beli barang keperluan kerana semua terkesan.

Saya sedar, 99.9% PENIAGA tak kan setuju dengan perkara ini. Maka, harga barang naik akan berlaku. DAN SAYA AMAT SEDAR 99.9% dari peniaga yang menaikkan harga barang AKAN MENGAMBIL KESEMPATAN UNTUK MENAMBAH UNTUNG LEBIH DARI SEMASA SST dengan cara antara lainnya campur terus harga semasa SST dengan GST hingga harga barang NAIK BERKALI GANDA. INILAH YANG SAYA SEBUT KAPITALIS TAMAK DI MALAYSIA. Mereka ini menguasai dan mendominasi perniagaan di Malaysia. Mereka ini yang memburukkan lagi keadaan.

Maka, yang tinggal adalah KUASA PENGGUNA SAJA. Jika peniaga tak nak berkorban sikit dalam menstabilkan pasaran, dan ditambah buruk dengan kehadiran peniaga kapitalis tamak yang mendominasi perniagaan Malaysia, maka PENGGUNA TERPAKSA BERUSAHA MELAHIRKAN PENIAGA-PENIAGA BAIK YANG SANGGUP BERSUSAH PAYAH BERSAMA PENGGUNA DENGAN BOIKOT PENIAGA JAHAT, KAYAKAN PENIAGA BAIK.

Teruskan hal ini sehingga akhirnya perniagaan di Malaysia dipenuhi peniaga-peniaga baik dan semua kapitalis tamak menjadi bankrap.

SEHINGGA PRU TIBA, lantiklah pemimpin yang bawa aspirasi rakyat. Jika saya, saya akan undi pemimpin yang akan berjuang menghapuskan cukai di Malaysia dan akan berusaha adakan program hingga rakyat dan seluruh pemimpin hidup secara qanaah dan berinfak harta pada perbendaharaan negara untuk membangunkan Malaysia.

Saya yakin jika kita mencapai kehidupan qanaah yang diredhai Allah, infak-infak kita akan diberkati dan Allah pelihara kita dengan memandu pemimpin-pemimpin qanaah yang kita lantik untuk urus harta negara ke arah paling bersih, optimum dan bebas rasuah.

Dengan ini moga Allah kurniakan ketaqwaan pada seluruh rakyat, dan kita yakin rezeki orang-orang bertaqwa akan dipelihara Allah. Biar qanaah, biar sikit, inshaAllah cukup dan diberkati. Dan dapatlah kita dihisab dengan mudah di akhirat kelak.

Tulusly,
muhammad fakhrul razi
(grad jepun yang tak ada CGPA)
SOMBONG

Bukan main sombong manusia hari ini. Berlagak konon imannya tidak rapuh.

"Ingat kalau kami tengok salib, kami terus tukar jadi Kristian? Iman kami tak rapuhlah!"

"Ingat kalau kami masuk gereja, kami terus tukar jadi Kristian? Iman kami tak rapuhlah!"

"Ingat kalau kami ucap Merry Chrismas, kami terus tukar jadi Kristian? Iman kami tak rapuhlah!"

"Ingat anak aku tengok Pokemon, tukar jadi Yahudi? Iman kami tak rapuhlah!"

"Ingat anak aku tengok Doraemon, terus syirik pada Allah? Iman kami tak rapuhlah!"

"Aku tengok Ultraman sejak kecik, aku masih Islam sampai hari ini! Iman kami tak rapuhlah!"

Betul, kamu masih Islam, kamu tak tukar jadi Kristian, kamu tak tukar jadi Yahudi, kamu mungkin tak syirik pada Allah, tapi betulkah iman kamu tak rapuh?

IMAN YANG RAPUH

Dewasa ini, apabila banyak pemuka-pemuka kesombongan iman tak rapuh ini berinteraksi dengan non muslim, mereka cukup payah untuk merasakan risau dalam hati pada sahabat-sahabat non muslim mereka yang belum kenal kebenaran Islam, malah mereka langsung tidak pernah berasa takut tidak menerangkan Islam pada sahabat-sahabat mereka, apatah lagi menangis teresak-esak ketika tahajjud mendoakan hidayah buat teman dan sahabat mereka yang non muslim. Mereka tahu atau tidak, setiap non muslim yang kita kenal dan punya peluang untuk disampaikan Islam akan menuntut jawapan di akhirat kelak, mengapa kita sembunyikan kebenaran islam dari diterangkan pada mereka sedangkan kita mampu?

Mereka kata mereka sayang sahabat non muslim mereka, tapi sayangnya bukan seperti Nabi sayangkan umat baginda dengan menyeru umat baginda kepada tauhid, tapi sayang mereka berasa selesa melihat non muslim yang juga umat Nabi terus dengan keadaan tidak kenal Islam. Malah mereka ketawa gembira melihat teman dan sahabat non muslim terus menerus merayakan kekufurannya, diucapkan tahniah pula lagi. Bahkan mereka juga tak berapa amalkan Islam dalam kehidupan dengan perasaan bahawa tak berapa amalkan Islam itu adalah satu bentuk kesederhanaan Islam. Mereka percaya Islam menganjurkan bersikap sederhana dengan cara tidak berapa amalkan Islam dalam kehidupan? Itulah iman yang rapuh! Checkmate!

Membawa contoh peminat anime, game dan manga selain contoh Pokemon, Doraemon, dan Ultraman di atas pun sudah cukup bagus untuk mengukur iman rapuh atau tidak. Ketika rancangan dan aktiviti berkaitan anime, game dan manga yang diminati mereka ditayangkan, masing-masing cuba pandang pada hati, berbunga-bunga girang hati lain macam. Sekarang, ambil Quran dan baca pula, ada rasa girang yang lebih dari anime, game dan manga? Ambil hadis dan baca, girang lebih dari anime, game dan manga? Sebutkan zikir-zikir kepada Allah, ada rasa girang dan berbunga-bunga? Tonton dan dengar pengisian ilmu, ada rasa girang berbunga-bunga? Bagi semua peminat-peminat anime, game, dan manga ini yang sombong kata iman tak rapuh tapi rupanya dalam hati anime, game dan manga itulah mendapat tempat kesukaan tertinggi lebih dari rasa nak tadabbur Quran, selami Hadis, dan perbanyak zikir, maka itulah imannya rapuh!

Ada ibu bapa tak kisah lihat anak minat itu ini lebih daripada Quran, hadis, zikir dan solat, kerana menganggap anaknya masih beragama islam maka kesimpulan yang dibuat iman anaknya tidak rapuh. Padahal didikan anak semasa kecil apabila diabaikan untuk tanam rasa cinta pada agama lebih dari segalanya, maka itulah tandanya bukan saja iman anak kita bakal rapuh malah mungkin tidak kenal langsung apa maksud iman, apatah lagi nak rasa halwatul iman, kemanisan iman! Lebih menakutkan, Allah langsung tiada tempat di hati anaknya kerana sudah dipenuhkan dengan cinta dan kesukaan pada selain Allah, nauzubillah!

BUKTI BERIMAN

Apabila sekumpulan kaum Arab Badwi menyatakan mereka telah beriman, Allah s.w.t menegur dengan firmanNya:

Orang-orang " A'raab" berkata: " Kami telah beriman". Katakanlah (wahai Muhammad): "Kamu belum beriman, (janganlah berkata demikian), tetapi sementara iman belum lagi meresap masuk ke dalam hati kamu berkatalah sahaja: ` kami telah Islam '. Dan (ingatlah), jika kamu taat kepada Allah RasulNya (zahir dan batin), Allah tidak akan mengurangkan sedikitpun dari pahala amal-amal kamu, kerana sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani".(al hujurat ayat 14)

Bukti iman bukan sekadar mengucap "telah beriman", "iman tak rapuh", ia terbukti apabila kita diuji oleh Allah s.w.t, waktu itu baru kita tahu di mana tahap iman kita:

"Alif laaf miim,. Apakah manusia itu mengira bahwa mereka dibiarkan (saja) mengatakan:”Kami telah beriman”, sedang mereka tidak diuji lagi?. Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta,. Ataukah orang-orang yang mengerjakan kejahatan itu mengira bahwa mereka akan luput dari (azab) Kami ? Amatlah buruk apa yang mereka tetapkan itu,. Barangsiapa yang mengharap pertemuan dengan Allah, maka sesungguhnya waktu (yang dijanjikan) Allah itu, pasti datang.Dan Dia-lah yang Maha Mendegar lagi Maha Mengetahui,. Dan barangsiapa yang berjihad, maka sesungguhnya jihadnya itu adalah untuk dirinya sendiri.Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Kaya (tidak memerlukan sesuatu) dari alam semesta,. Dan orang-orang yang beriman dan beramal saleh, benar-benar akan Kami hapuskan dari mereka dosa-dosa mereka dan benar-benar akan Kami beri mereka balasan yang lebih baik dari apa yang mereka kerjakan,"(al ankabut ayat 1-7)

Selagi cinta kita pada Allah dan Rasul tak melebihi dari segalanya seperti disebut dalam hadis halwatul iman, selagi itulah iman kita masih perlu diusahakan. Apatah lagi jika dalam hati kita telah disedari dan diakui diletakkan tempat yang tinggi adalah unsur-unsur makhluk seperti wanita yang ingin kita kahwini, minat-minat kita pada keseronokan dunia, harta-harta yang banyak atau kuasa dan pangkat yang kita kejar dan gilakan, maka itu saja sudah menjadi bukti betapa rapuhnya iman kita. Belum lagi melihat di mana usaha kita memperbanyakkan amal ibadat dan amal soleh, solat jemaah di masjid, solat malam kita, zikir harian, hafal dan amal ayat alQuran dan hadis serta istiqamah dalam amalkan sunnah baginda Nabi Muhammad s.a.w.Semua itu refleksi rapuh atau tidak iman kita.

BENCI KEMUNGKARAN

Mungkin bukan kerana melihat salib, masuk gereja, ucap Merry Chrismas, tengok pokemon, doraemon, ultraman, yang buat iman kita tak rapuh tapi apakah perasaan iman kita apabila melihat salib lambang kesyirikan pada Allah, masuk gereja tempat Allah disyirikkan sehingga Allah terlalu murka pada penganut Nasrani dan Kristian, tergamaknya kita ucap Merry Chrismas syiar ucapan perayaan yang kufur pada tauhid, tengok segala babak pokemon, doraemon dan ultraman yang menyanggah bab akidah dan tauhid pada Allah Yang Maha Agung? Jika kita menjawab, iman saya tak rasa apa-apa, tahu benda itu mungkar dan lambang dan syiar yang bertentangan agama, tapi tetap rasa rileks, maka bacalah apa jenis tahap selemah-lemah iman seorang Muslim dalam hadis popular berikut:

"Barangsiapa di kalangan kamu melihat kemungkaran hendaklah mengubah dengan tangannya, jika tidak mampu, maka dengan lidahnya dan jika tidak mampu, maka dengan hatinya dan yang demikian itu adalah selemah-lemah iman" (riwayat Muslim)

Adakah kita benci mungkar atau tidak? Entah-entah selemah-lemah iman pun kita belum ada.Entah-entah kita bergelumang dan berlazat-lazat dengan mungkar saban waktu. Itulah rapuhnya iman kita.

USAHA ATAS IMAN

Benar, untuk usaha atas iman bukan dengan cara cabut salib-salib di gereja, bunuh teman dan sahabat non muslim, bom negara jepun yang mengeluarkan anime, game dan manga. Tapi kita juga tak boleh nafi, banyak usaha atas iman yang kita perlu buat tapi kita tak buat pun termasuk usaha menanam rasa cinta umat kepada ilmu alQuran, hadis, zikir, solat lebih dari segala keseronokan duniawi, dakwah dan tabligh ke atas non muslim, dialog dan debat untuk tegas menyatakan kebenaran islam kepada musuh islam yang menuduh dan memfitnah islam apatah lagi yang sengaja mahu melebarkan pengaruh dan menghalang tertegaknya syariat di bumi Malaysia. Iman kita banyak yang rapuh, kita semua mesti usaha atas iman.

22/4/2015
oleh: mfr

Beberapa bulan sebelum aku graduasi, hujung tahun 2009, berita mengenai misi NASA untuk menghantar teleskop ke angkasa untuk mengkaji bintang telah heboh diperkatakan di laman-laman sains. Hanya selepas tahun 2010, baru aku faham apa yang NASA cuba kaji dengan Misi Kepler bukan bintang-bintang, tapi lebih untuk mencari planet yang boleh didiami seperti bumi.

Apabila diterima masuk ke Agensi Remote Sensing Malaysia pada tahun 2010, dan didedahkan dengan pengetahuan satelit dan antena serta bagaimana teknologi remote sensing yang mencerap imej bumi berkembang di abad ini, aku mula obses untuk tahu cabang remote sensing di sebelah sana iaitu mencerap angkasa berkembang, maka aku tak habis-habis membaca perkembangan Misi Kepler.

Pada tahun 2011 ketika berkursus induksi di MOSTI, aku bangun bertanya pada pembentang modul, adakah cerapan angkasa dilaksanakan di Malaysia? Walaupun tak mendapat jawapan jelas dari pembentang modul, seorang peserta kursus dari Agensi Angkasa Negara merapati aku ketika senggang rehat dan menjawab bahawa di Malaysia bawah Agensi Angkasa Negara terdapat Observatari Negara di Langkawi khusus untuk mencerap langit dan bintang. Ya, Malaysia sudah ada infrastruktur untuk kajian bintang.

Pada Mei 2013, kapal pembawa teleskop Kepler mengalami masalah pointing dan pada November 2013, Misi K2 dihantar untuk menyambung Misi Kepler dengan memanfaatkan baki peralatan kapal Kepler yang masih boleh berfungsi dan mengumpul data. Sehingga hari ini misi K2 masih berjalan dan dijangka mati pada tahun 2017. Berpuluh planet telah diklasifikasi sebagai berpotensi besar boleh didiami dengan mempunyai unsur air dan batu dari berpuluh ribu planet dikaji mengelilingi beribu-ribu bintang.

Aku yakin kajian planet-planet dan bintang-bintang di langit menjadi sangat-sangat mencabar dan misteri buat saintis NASA. Apatah lagi jika tokoh saintis seperti Stephen Hawking yang pernah membangkitkan sejak beberapa dekad lalu soal hidupan lain atau alien mungkin mendiami planet di angkasa dan teori akan tiba masanya matahari dan bumi akan hancur atau mati, maka kumpulan saintis NASA berasa bertanggungjawab untuk segera mencari solusi jika nanti manusia perlu lari dari "kiamat dunia" untuk memulakan semula hidup manusia di planet lain.

Misteri itu akan terus misteri jika para saintis mengkaji alam tanpa letak apa-apa kepercayaan melainkan alam ini patuh pada hukum sains (fizik, kimia, biologi) semata-mata. Bagaimana hukum ini mampu menjadi konsisten baik di bumi atau angkasa jika tiada penetapan dibuat oleh sesiapa? Siapa yang mencipta aturan supaya di bumi ini berkembang biak hidupan dengan segala hukum, dan bintang dan planet di angkasa pula hidup dan mati dalam aturan mengikut hukum konsisten jua. Siapa yang menjalurkan segala hukum-hukum ini yang walaupun dikaji secara berasingan oleh sesetengah ahli sains dengan bidang fizik, kimia dan biologi, boleh meletakkan alam ini dalam satu aturan kompleks universal yang diungkap oleh Hawking sebagai The Theory of Everything itu? Siapa pencipta teori universal tersebut?

Maka sesiapa yang membaca surah Al Mulk setiap malam pasti sampai kepada ayat 3 yang berbunyi:
"Dia lah yang telah mengaturkan kejadian tujuh petala langit yang berlapis-lapis; engkau tidak dapat melihat pada ciptaan Allah Yang Maha Pemurah itu sebarang keadaan yang tidak seimbang dan tidak munasabah; (jika engkau ragu-ragu) maka ulangilah pandangan - (mu) - dapatkah engkau melihat sebarang kecacatan?"

Kemudian Allah s.w.t berfirman lagi dalam ayat 4:
"Kemudian ulangilah pandangan (mu) berkali-kali, nescaya pandanganmu itu akan berbalik kepadamu dengan hampa (daripada melihat sebarang kecacatan), sedang ia pula berkeadaan lemah lesu (kerana habis tenaga dengan sia-sia)"

Sungguh! Jika saintis yang telah berulang-ulang mencerap bintang itu membaca ayat ini seakan-akan langsung kalamAllah ini menuju pada diri mereka! Apatah lagi sepanjang saintis ini mengkaji planet-planet yang mengelilingi bintang itu sebenarnya mereka menggunakan teori jumlah cahaya bintang yang dikumpul oleh teleskop itu akan memberikan polar perubahan jumlah cahaya yang konsisten setiap kali planet melintasi hadapan bintang yang dicerap. Polar konsisten inilah yang membantu mereka mengagak wujud atau tidak, planet mengelilingi bintang tersebut. Dan polar yang konsisten ini menunjukkan betapa kiraan pusingan itu sangat seimbang dan sempurna!

Sungguh jika para saintis NASA faham apa yang saya cuba sampaikan, nescaya mereka akan beriman dengan Al Quran lalu misteri kejadian bintang ini akan terjawab pada firman Allah s.w.t pada ayat seterusnya, ayat 5 surah Al Mulk:

"Dan demi sesungguhnya! Kami telah menghiasi langit yang dekat (pada penglihatan penduduk bumi) dengan bintang-bintang, dan Kami jadikan bintang-bintang itu punca rejaman terhadap Syaitan-syaitan; dan Kami sediakan bagi mereka azab neraka yang menjulang-julang."

Langit yang mengandungi bintang-bintang itu benar-benar hiasan untuk kita. Bukan tempat untuk kita tuju dan bina hidup selepas kiamat. Dan Allah s.w.t dah janji kiamat akan berlaku di dunia bumi ini tanpa ada seorang manusia pun tertinggal. Lagi pula fungsi bintang itu pun telah dijelaskan oleh Allah s.w.t bahawa ia punca rejaman terhadap Syaitan-syaitan. Maka planet-planet yang mengelilinginya jua pasti dan pasti tiada satu pun yang sesuai untuk mengambilalih fungsi bumi.

Semua ini dijelaskan dalam banyak ayat mengenai kiamat dalam alQuran. Dan jika para saintis berasa janji Allah mengenai kiamat yang disampaikan oleh Rasulullah s.a.w itu palsu dan dusta dan betapa manusia mampu berusaha untuk lari dari kiamat, maka bacalah surah alMulk itu dari ayat 6 hingga tamat: http://www.surah.my/67

Betapa firman Allah s.w.t seterusnya adalah berkaitan manusia-manusia yang mengingkari kebenaran ajaran yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w, apa yang akan terjadi pada mereka, apa yang akan mereka katakan setelah dihukum, dan betapa manusia-manusia yang beriman dan takut untuk melanggar hukum Allah benar-benar selamat di akhirat nanti, dan Allah khabarkan betapa Allah Maha Berkuasa menghukum manusia yang ingkar dan sudah pernah pun hukum beberapa umat manusia sebelum umat Nabi Muhammad, seterusnya Allah tanyakan pada kita tentang siapa yang lebih tahu, kita atau Allah dan betapa semua yang ada di bumi ini Allah kuasai.

Benar-benar saya pasti akan mengalir air mata para saintis yang mengkaji bintang apabila membaca semua ini. Segala kajian bumi, air, hidupan, bintang dan kiamat (kemusnahan bumi) yang mereka telah bincangkan disebut secara langsung dan tak langsung dalam ayat ini.

Jika tak keberatan, saya syorkan juga, sesudah baca Al Mulk, bacalah jua apa yang Allah ingin khabarkan pada kita dalam Surah Bintang (An Najm): http://www.surah.my/53

Betapa surah ini dimulakan dengan sumpah Allah ke atas bintang, dan sekali lagi Allah isi surah ini dengan firman-firmanNya berkisar tentang manusia yang tak percaya pada apa yang Nabi Muhammad s.a.w telah sampaikan dan hanya percaya pada hawa nafsu, menyembah selain dari Allah, hukuman-hukuman ke atas kaum terdahulu yang ingkar dan 4 ayat terakhirNya benar-benar menyusuk ke jiwa:

"Maka patutkah kamu merasa hairan terhadap keterangan-keterangan Al-Quran ini (sehingga kamu mengingkarinya)? Serta kamu tertawa (mengejek-ejeknya), dan kamu tidak mahu menangis (menyesali kesalahan kamu serta takutkan balasan buruk yang akan menimpa kamu)? Sedang kamu adalah orang-orang yang sombong angkuh, lagi yang melalaikan kewajipan? Oleh yang demikian, hendaklah kamu sujud kepada Allah (yang telah menurunkan Al-Quran itu), dan beribadatlah kamu kepadaNya (dengan sepenuh-penuh tauhid)." (Surah An Najm ayat 59-62)

Tiga soalan bertubi-tubi dan dijawab dengan jawapan tuntas yang pasti buat semua saintis akhirnya faham segala misteri bintang-bintang itu untuk kita semua manusia ini sujud pada Allah dan beribadat padaNya dengan sepenuh tauhid.

Menitis air mataku.

22/4/2015

Bismillah.

Aku memilih pandangan bahawa cukai itu hanya harus dikutip bagi yang mampu membayarnya. Dan aku memilih pandangan bahawa cukai itu haram dikutip dan dipaksa dari mereka yang tak mampu membayarnya. Aku berlapang dada dengan pandangan yang berpegang kepada dharuriyat atau hajiyat seperti yang diulas oleh muzakarah fatwa atau yang diulas terperinci oleh sheikh zulkifli albakri mufti wilayah.

Dalam konteks GST, aku tak nampak ada unsur pemaksaan mengutip cukai kepada mereka yang tak mampu membayarnya. Sebab dalam senarai barang GST, barang-barang keperluan asas dikecualikan GST dan barang-barang lain dikenakan GST dengan nilai kurang dari cukai sebelumnya iaitu SST. Ada peniaga jahat ambil kesempatan, itu kita bincang bagaimana strategi penguatkuasaan undang-undang anti pencatutan supaya peniaga jahat dapat dihukum. Ada pemimpin yang boros dan tiris, itu kita boleh bincang penguatkuasaan undang-undang rasuah dan integriti ke atas pemimpin. Ada ahli parlimen sokong ahli parlimen naik gaji, itu kita boleh bincang bagaimana cara supaya ahli parlimen yang sokong ini dapat kita jatuhkan waktu pilihanraya.

Aku tetap sokong cadangan inspirasi dari kisah imam nawawi tadi agar para pemimpin guna duit sendiri untuk bangunkan negara termasuk infrstruktur. Pemimpin paling banyak tabungan di negara kita adalah para sultan. Para sultan perlu dididik oleh ahli ilmuwan agama untuk berinfak demi pembangunan negara dan hidup secara qanaah. Tabung perbendaharaan negara perlu mengambil konsep baitulmal di zaman Rasulullah dan para sahabat. Rakyat jelata yang kaya raya juga perlu mengikut contoh teladan para sultan untuk sentiasa berinfak pada negara. Para pemimpin dari kalangan rakyat perlu diangkat dari kalangan mereka yang hidup qanaah, bekerja dengan gaji cukup makan dengan gaji diberi dari baitulmal. Jika para pemimpin tak tahan hidup qanaah, boleh berhenti dari menerima amanah memimpin, boleh jadi peniaga. Tapi apabila telah banyak harta, sama juga, disarankan berinfak juga pada negara. Infak dan qanaah adalah kata kunci kepada masalah percukaian.

Antara GST dan cukai tanah, aku lebih cenderung melihat keharaman cukai tanah. Cukai tanah dikenakan pada semua yang ada tanah, tanpa melihat tanah itu mengeluarkan hasil atau hanya ada lalang dan tempat berteduh saja. Orang miskin terpaksa bayar cukai tanah kerana dia mewarisi tanah dari keluarganya, padahal dia miskin, dia nak berkebun pun tanah tak subur tak ada hasil tak ada wang, tapi dia masih dikenakan cukai tanah secara paksa! Dia tak ada pilihan. Berbeza dengan GST, dia boleh pilih untuk beli keperluan asas yang zero GST, dia masih boleh makan dan hidup, GST tak memaksa dia beli barang yang ada GST dan dipaksa bayar GST. Dia masih ada pilihan.

Aku berlapang dada kalau ada orang yang memilih pendapat cukai itu haram mutlak dari segi agama. Tapi apabila dia berkata, orang yang mengharuskan cukai menempah ke neraka, aku berlepas diri dengan orang seperti ini. Dia tentunya tak baca pendapat Ibn Hazm, Ibn Taimiyah, Ibn al-Musili al-Syafi'i, al-Syatibi dan Ibn Khaldun yang mengharuskan cukai dan menerakakan para ulama dengan mudah tentunya timbul dari kejahilan diri yang tak mahu membaca.

Tuntas.

Wallahua'lam.

Muhammad Fakhrul Razi
21/4/2015

Jemput baca juga karya komik lamaku yang menyentuh bab infak dan qanaah:
1. Pendidikan Percuma: http://mfrstudio.blogspot.com/search/label/pp
2. Nasihat Buat Orang Politik Tahun 2012: https://plus.google.com/photos/+mfribnmukhtar/albums/5748319840322228865