|KUMPULAN BLOG MFR
|RANGKAIAN MFR
|MISI MFR
|KOLEKSI TULISAN TOKOH
(soalan merujuk KUASA POLIIK BAHARU: APA ANAK MUDA MAHU? )

Soalan:

Salam, saudara apakah yang dimaksudkan dengan pendidikan berinstitusi? Saya kurang faham.
Terima kasih.

Jawapan:

pendidikan berinstitusi bermaksud sistem sekolah dan universiti yang ada sekarang.

Saya berpandangan sistem sekolah dan universiti yang mengandungi sistem hirarki dan pengurusan tak wajar bercampur dengan pendidikan kerana falsafah pendidikan tak dapat dicapai.

Beberapa contoh masalah sistem pendidikan berinstitusi ini adalah seperti berikut:

1. Kualiti guru/pensyarah bukan pada keupayaannya dalam mendalami ilmu dan menyebar ilmu.

-guru/pensyarah menjadi sebuah profesyen makan gaji, dengan sesiapa pun yang punya kelulusan tertentu, boleh mohon jadi guru/pensyarah, dengan hanya memuntahkan segala ilmu dalam sillabus sudah cukup menjadikan tugas mereka selesai. mereka yang tak punya akhlak dan kecintaan tinggi pada ilmu juga boleh diangkat sebagai guru di sekolah atau pensyarah di universiti. Hasilnya, anak-anak kita bakal dididik oleh manusia yang tak berjiwa cinta ilmu dan punya adab dan akhlak tinggi, maka bagaimana dapat kita jamin proses pendidikan menghasilkan manusia yang berilmu dan berakhlak mulia.

- cadangan saya adalah pendidikan berinstitusi ini dihapuskan, hapuskan semua guru dan pensyarah yang tak terjamin kualiti dan hapuskan bidang perguruan sebagai profesyen makan gaji. sebagai ganti, peruntukan gaji guru itu disalurkan kepada tokoh-tokoh yang mendalami ilmu dan diperakui punya akhlak mulia sebagai tanggungan kehidupan mereka. mereka boleh meneruskan kajian-kajian mendalam tentang pelbagai ilmu tanpa ada sikit pun hati mereka mahu mengejar pangkat, gaji atau naik hirarki jadi pengetua, pegawai pendidikan dan sebagainya kerana semua itu telah dihapuskan. maka hasilnya kita akan dapat melahirkan pelajar-pelajar yang cintakan ilmu dan berakhlak mulia, malah budaya pengkajian untuk mencipta ilmu dan teknologi baru akan tercapai.

2. Peruntukan pendidikan banyak disalurkan kepada pengurusan pendidikan dan bukan kepada membangunkan kajian, ilmu dan teknologi baru.

-apabila pendidikan berinstitusi maka banyaklah keperluan-keperluan membayar hal-hal pengurusan seperti gaji kerani-kerani, gaji ketua-ketua, kontrak-kontrak penyelenggaraan sekolah/ universiti, kursus-kursus pengurusan dan banyak lagi. sehingga peruntukan yang benar-benar untuk membangunkan kajian, ilmu dan produk teknologi baru menjadi sangat kecil.

-cadangan saya apabila pendidikan berinstitusi dihapuskan, semua peruntukan boleh disalur kepada tanggungan hidup para tokoh ilmu dan kepada kajian-kajian mereka dan anak murid mereka. maka dengan peruntukan yang besar dapatlah fokus kepada pengkajian ilmu dapat dibuat lebih mendalam dan pembangunan teknologi baru dapat jadi lebih cergas dan cepat.

3. Psikologi pelajar terhadap sekolah dan universiti serta terma "belajar" adalah negatif.

- atas kerana pendidikan berinstitusi perlu menjaga reputasi dan institusi masing-masing, di samping pengurusan dan tenaga pengajar terfokus pada sekadar menyelesaikan tugasan dan mencapai perjalanan karier, maka hasilnya tekanan-tekanan diberikan kepada pelajar untuk mencapai keputusan-keputusan yang dikehendaki sekolah. Pelajar mula tertekan dengan belajar, dan lebih suka dengan cuti, sama ada ponteng sekolah, ponteng kuliah menjadi pilihan atau belajar secara hempas pulas tanpa faham apa tujuan dirinya belajar. cinta kepada ilmu pun tak dapat difahami dengan jelas. apatah lagi nak cinta Allah dalam proses belajar.

-cadangan saya apabila pendidikan berinstitusi dihapuskan, semua orang boleh belajar ikut kemampuan dan keperluan masing-masing. apa yang mereka perlu lakukan adalah pergi pada tokoh ilmu untuk mencedok ilmu yang mereka minati dan bersama mengkaji ilmu dan membangunkan produk teknologi untuk maslahat masyarakat. Ilmu boleh disebar secara bebas, akan ada banyak perkongsian percuma di jalanan-jalanan, dialog-dialog untuk mengintegrasikan bidang ilmu, juga debat-debat untuk mematahkan ilmu sesat dan salah. masyarakat akan berlumba-lumba untuk persiapkan diri dengan pelbagai ilmu. ilmu akan dicintai. kajian akan menjadi dalam. teknologi akan dibangun dan diperbaiki. Cinta pada Allah akan dicari.

Banyak lagi yang tak dapat saya coretkan kerana akan jadi sangat panjang lebar mungkin jadi jurnal atau thesis 300-400 muka surat.

Ringkasnya konsep pendidikan yang saya cadangkan adalah seperti berikut:

1. Pendidikan Awal- Home Schooling/ Community Schooling, mengajar asas akidah, membaca al quran, bahasa, adab muslim dan manusiawi, ibadah asas, konsep dunia, nafsu, bakat diri, sejarah tamadun, senaman dan permainan.

2. Pendidikan Umum- Perkongsian Percuma Oleh Ahli Masyarakat,
mengajar ilmu-ilmu alat, usul agama, maqasid, mengira, matematik, mantik, logik, konsep asas teknologi, kreativiti, ilmu alam, geografi, asas sains dan lain-lain

3. Pengkajian Ilmu dan Pembangunan Produk- Menggali ilmu bersama tokoh yang mengkaji ilmu, untuk mendalami ilmu, adab dan akhlak guru seterusnya membangunkan produk-produk yang membawa manfaat pada tamadun dan maslahat masyarakat.

Apa yang saya harap akan tercapai dari pendidikan terbuka ini, sekurang-kurangnya kita akan berjaya meramaikan tokoh ilmuwan, membangunkan produk teknologi sendiri seterusnya memimpin dunia ke arah tamadun yang lebih islami.

Sekian.

mfr